Wednesday, December 2, 2009

Dewasanya PAS Memerlukan Pendewasaan Pimpinan Dan Ahli (Bahagian 1)



PAS pasca 8 Mac 2008 tidak boleh dianggap PAS yang sama dengan PAS yang sebelumnya. Perbedaan ini bukanlah dilihat dari segi matlamat, dasar dan perjalanan parti tetapi lebih kepada peranan dan harapan rakyat terhadapnya. Jika dahulu PAS hanya dilihat sebagai parti serpihan UMNO atau parti orang-orang Melayu, yang sesuai wujud di kawasan Pantai Timur Malaysia sahaja, kini rakyat mula meletak harapan tinggi agar PAS dapat memainkan peranan lebih besar di persada politik negara.

Mungkin ramai yang menganggap harapan rakyat itu lebih kerana kecewanya mereka kepada prestasi UMNO/BN. Setelah bertahun-tahun bergantung harap dengan kerajaan UMNO/BN, rakyat melihat bagaimana parti yang mereka bergantung harap selama ini terjerumus teruk dalam pelbagai skandal dan masaalah sehingga ke tahap Dr. Mahathir mengungkapkan sebagai “busuk hingga ke usus”. Mungkin ada juga yang beranggapan bahawa harapan ini timbul kerana PAS tidak ada pilihan lain kecuali bekerjasama dengan parti-parti lain yang mereka anggap sekular jika ingin bersama memerintah. Mungkin ada kebenaran daripada pelbagai telahan di atas. Tetapi apa yang penting di sini ialah, samada kita suka atau tidak, untuk 4 atau 5 tahun akan datang PAS akan terus menjadi parti arus perdana negara. Ini satu hakikat yang rakyat dan PAS kena terima. PAS juga tidak ada pilihan lain melainkan bekerjasama dengan parti-parti lain jika ingin terus menjadi parti arus perdana dan kekal relevan. Samada kerjasama dengan UMNO atau PR bukanlah menjadi tajuk perbincangan kita kali ini (malah sudah banyak kali kita bicarakan tentang perkara ini) tetapi sebaliknya kita ingin melihat satu proses apa yang Anak Bapa panggil “pendewasaan” PAS bagi menjamin penerusan kegemilangan parti berkenaan.

Adakah PAS sudah bersedia menghadapi “pendewasaan” ini? Jawapannya sedia ada dan kita sendiri boleh menjawabnya. Caranya ialah dengan kita semua meneliti sikap dan tindak tanduk pimpinan dan ahli sendiri dalam menjalani kehidupan politik mereka seharian samada ketika menghadapi UMNO/BN atau parti-parti komponen PR. Bagaimana boleh terjadi perbincangan PAS dengan musuh Barisan Alternatif (BA) yakni BN (BA adalah gabungan PAS dan PKR sebelum PRU ke 12) tanpa merangka strategi dan persiapan rapi bersama PKR, rakan politik kita terlebih dahulu? Adakah wajar ciri seorang pimpinan Islam melakukan tindakan sebegini rupa walau atas apa alasan sekali pun? “Kebijaksanaan” sesetengah pimpinan mengemukakan hujah-hujah bahawa Islam yang dibawa oleh PAS akan terancam atau hak kedudukan orang-orang Melayu-Islam perlu diberi keutamaan atau perdamaian daripada UMNO yang perlu kita pertimbangkan demi kemaslahatan ummah, semuanya dibuat demi untuk membenarkan tindakan mereka berpakat secara politik dengan UMNO/BN, yang dibuat secara tergesa-gesa dan hanya mewakili segelintir pimpinan dan ahli tanpa mengambil kira integriti dan maruah perjuangan Islam yang dibawa PAS. Islam bukan saja menceritakan hubungan kita sesama Islam tetapi juga hubungan kita dengan yang bukan Islam. Mereka juga mempunyai hak di sisi Islam termasuk yang berkaitan dengan perjanjian yang mereka buat dengan kita? Adakah kita akan mengkhianati perjanjian kita dengan mereka semata-mata alasan “perpaduan ummah” yang dijaja oleh UMNO? Apa yang dibuat oleh rakan bukan Islam kita yang melayakkan kita untuk mengkhianati perjanjian ini sedangkan Rasulullah saw sendiri tidak mengkhianati perjanjian baginda dengan kafir Quraish dahulu? Anak Bapa bercerita tentang kaum India dan Cina yang duduk di dalam Kelab Penyokong PAS dan PKR yakni BA dan bukan menyentuh tentang DAP lagi.

Jadi, kita dapat lihat di sini sifat kebudak-budakkan (yakni belum dewasa) segelintir pimpinan kita dalam tindak tanduk mereka. Malangnya ramai juga dari kalangan mereka ini terdiri saripada ulama yang terkenal di kalangan ahli dan rakyat. Ini lebih membahayakan kedudukan PAS kerana mereka dianggap mewakili PAS! Jika kita telah berbincang panjang lebar mengenai sesuatu dasar dan kemudian disahkan pula oleh para muktamirin di dalam muktamar PAS, Anak Bapa yakin kita tidak silap. Kita kena terus beristiqamah dalam keputusan dan tindakan yang kita telah persetujui walaupun pada masa itu nampak seakan-akan kita akan rugi atau ada peluang lebih baik untuk direbut. Perjanjian Hudaibiah pun pada peringkat awalnya ditentang habis-habisan oleh sebahagian besar para sahabah kerana nampak macam berat sebelah tetapi kemudiannya terbukti memberi manfaat besar pada umat Islam. Jika keputusan muktamar telah bulat bahawa kita bersama dengan BA dan kemudiannya PR, maka kita hendaklah mengambil segala langkah perlu untuk memertabatkan keputusan berkenaan dan bukan bertindak sebaliknya. Lainlah kalau kita dimainkan atau dikhianati oleh rakan-rakan PR lain terlebih dahulu. Jika itu pun berlaku kita kena bawa semula ke muktamar untuk dibincangkan semula keputusan lalu dengan lebih lanjut dan cadangan tindakan susulan. Ini baru melambangkan kedewasaan pimpinan dan ahli kita dalam menghadapi sebarang kemelut perjuangan …..

Anak Bapa: Bahagian 2 nanti kita bincang lagi samada kita masih kanak-kanak lagi atau dah akil baligh, insyAllah ……..

No comments: