Saturday, December 5, 2009

Masih Ada Yang Belum Faham


Perbedaan pandangan jangan disalahtafsirkan sebagai tidak walak. Kita boleh rujuk kepada banyak contoh-contoh di zaman Nabi saw dan para sahabah ra bagaimana berlaku perbedaan pandangan antara mereka dan langkah penyelesaian yang mereka ambil. Satu contoh ialah kisah perjalanan beberapa orang sahabat ke perkampungan Bani Quraizah, di mana sebelum memulakan perjalanan Rasulullah saw memerintahkan mereka supaya bersolat Asar apabila tiba ke perkampungan tersebut. Mengikut cerita, ketika di pertengahan jalan masuk waktu Asar menyebabkan ada para sahabah yang bersolat kerana bimbang solat Asar akan habis apabila tiba ke destinasi kelak manakala para sahabah yang lain tetapi berpegang teguh kepada arahan Nabi saw supaya mereka solat apabila tiba di perkampungan Bani Quraizah walaupun mungkin ketika itu waktu Asar dah habis. Apabila bertemu Nabi saw mereka pun mengadu tentang apa yang berlaku. Rasulullah saw tersenyum mendengar cerita mereka dan memperakukan kedua-dua kaedah yang diambil oleh para sahabah. Adakah Rasulullah saw menempelak para sahabah yang solat di tengah perjalanan sebagai tidak walak?

Ketika perjanjian Hudaibiah selesai dimeterai, Rasulullah saw mendapati para sahabah tidak bertahallul sedangkan baginda telah mengarahkan mereka berbuat demikian kerana tiada haji untuk tahun itu. Apabila Nabi saw mengadu kepada isteri baginda tentang perasaannya seolah-olah kenabiannya telah dipersoal oleh para sahabah, isterinya dengan tenang memaklumkan bahawa Nabi saw sendiri tidak bertahallul dan baginda perlu melakukannya terlebih dahulu. Nabi saw tidak kata para sahabah tidak walak kerana enggan menuruti arahannya. Baginda mendengar pandangan isterinya dan terus bertahallul, lantas diikuti oleh para sahabah tanpa perlu disuruh lagi.

Banyak lagi contoh-contoh indah bagaimana perbedaan pandangan di kalangan para sahabah dapat diselesaikan dengan baik melalui perbincangan dan pandangan semua pihak. Anak Bapa yakin semua pimpinan dan ahli sangat sayangkan jamaah tetapi cara menzahirkan sayang tu kadang-kadang tak kena. Sebagai contoh sayang kita pada anak kita. Kita tak curahkan segala kemewahan, yakni menurut apa saja kehendaknya semata-mata kerana kita sayang padanya. Ini satu konsep yang salah kerana jika kita berbuat demikian, kita telah menanamkan dalam fikirannya bahawa sayang ayahnya bermakna dia boleh buat dan dapat apa saja tanpa perlu bersusah payah. Minta saja semua beres. Tentu kita semua boleh ramal apa akan jadi pada anak ini apabila dewasa kelak.

Di dalam keluarga, apabila kita kata kita sayang kepada ahli keluarga kita, kita tidak akan duduk diam apabila salah seorang daripada mereka melakukan kemungkaran. Walaupun di ketika itu yang ditegur akan marah kerana menganggap seolah-olah ahli keluarganya bencikannya tetapi akhirnya dia akan sedar bahawa dia ditegur untuk kebaikan dirinya sendiri. Maknanya, kita berbeda pandangan atau tegur menegur antara satu sama lain (termasuk menegur pimpinan) adalah berasaskan kepada rasa tanggungjawab dan sayang kepada jamaah dan tidak sanggup melihat anasi dalaman atau luaran yang cuba untuk merosakkannya. Mungkin akan ada di kalangan kita yang memandang sinis kepada tindakan sebegini tetapi dalam banyak keadaan kebaikannya akan terserlah akhirnya. Rentetan sejarah PAS daripada sejak penubuhannya hingga ke hari ini boleh kita kaji untuk melihat kebenaran hujah Anak Bapa.

Dan ini merupakan alasan utama kenapa Anak Bapa berpandangan muktamar itu penting sebagai platform untuk benar-benar membincangkan dasar dan halatuju parti dan dengan itu perlu diperuntukkan cukup masa dan ruang supaya ahli-ahli dapat menyalurkan pandangan dan cadangan dengan lebih mantap. Jatuh bangun, mundur maju dan rosak sikit atau besar organisasi kita berkait rapat dengan kefahaman semua (pimpinan dan ahli) tentang dasar dan halatuju kita. Benda—benda lain tercetus daripada kefahaman mengenai dasar dan halatuju parti. Jikalau semua faham perkara ini tak kan ada pimpinan yang akan membuat onar berulang kali yang boleh menjahanamkan Pakatan Rakyat walaupun muktamar sebelum itu telah memutuskan supaya kita bersama MEMPERKUKUHKAN PAKATAN RAKYAT!

Anak Bapa: Ada pimpinan parti yang menganggap tahalluf siasi itu bukan dasar parti dan boleh di kemudiankan. Kata mereka dasar kita ialah Islam (setiakawan itu bukan Islam ke?) dan yang perlu dijunjung, manakala tahalluf siasi ini mungkin diletak setakat bahu aje. Jikalau tahalluf siasi tu bukan berdasarkan kepada Islam, buat apa kita ambil sebagai dasar kerana dasar PAS hanyalah Islam?

No comments: