Sunday, December 13, 2009

Asyik Tembak Kaki Sendiri Berulang Kali


Perpatah Melayu ada berkata, “Terlajak perahu boleh diundur tetapi terlajak kata buruk padahnya”. Alangkah relevannya ungkapan ini. Malah di dalam Islam sendiri mengajar kita supaya berdiam sahaja jika kita tidak ada “fait accompli” untuk bercakap.

Nga tu kawan kita dalam Pakatan Rakyat jadi buatlah dia macam kawan. Ada ke Nga ni bawa bibit-bibit permusuhan kepada PAS selama ini? Dia tanya soalan yang sangat-sangat relevan, iaitu banyak mana perbelanjaan membina masjid-masjid yang telah dibuat selama ini oleh kerajaan BN? Dan kenapa tak ada peruntukan langsung untuk membina rumah-rumah ibadat bukan Islam? Jawab ajelah soalan-soalan ini. Kenapa pula nak dikaitkan tentang sensitiviti orang-orang Melayu dan Islam pula? Nga bukan mempertikaikan jumlah yang digunakan untuk membina masjid. Dia nak tahu kenapa duit pembayar cukai (yang termasuk di dalamnya duit orang-orang bukan Islam juga) tidak disalurkan sedikit untuk membina rumah-rumah ibadat mereka (bukan dia tanya duit zakat!). Bukankah rumah-rumah ibadat mereka juga akan digunakan untuk mendidik penganut-penganut agama mereka supaya menjadi orang baik-baik (kecuali kalau ada agama yang mengajar panganut mereka menjadi jahat!)? Jadi kalau tak ada maka terpaksa dibina di dalam segala hutan dan estet.

Inilah padahnya kita apabila kepala ini terlalu tebal dengan selaput perkauman Melayu-Islam. Apa saja berkaitan Melayu-Islam itu dianggap sensitif dan orang-orang bukan Islam tak boleh langsung pertikai. Alasan inilah yang selama ini digunakan UMNO/BN untuk melaksanakan kerja-kerja korup dan penyelewengan mereka dan rakyat kena diam sebab ini hak orang-orang Melayu-Islam. Soalan Anak Bapa, sejak bila Islam membenarkan penyelewengan dan kezaliman atas dasar kaum dan agama. Inilah ‘asabiyyah namanya kalau mereka-mereka yang berkenaan nak tahu! Mempertahankan bangsa atas dasar yang salah adalah ‘asabiyyah dan Nabi saw tak mengaku umat.

Anak Bapa yakin di bawah pemerintahan Islam, keadilan akan tertegak termasuk dalam hal-hal berkaitan dengan agama rakyat minoriti. Ini bukan cerita sedap Islam adil sana, Islam adil sini, tetapi pada realitinya, apabila datang ujian maka otak perkauman terus menjadi pedoman. Itu sebabnya Tun Mahathir sendiri tak mengaku dia rasis kerana mempertahankan dasar BTN kerana apa bangsa dia buat semua betul dan perlu dibela.

Kalau pendekatan pimpinan kita berterusan cara begini, tiada perubahan akan berlaku. Rakyat akan naik muak dengan sikap kita yang cakap saja tentang Islam tetapi bertindak ikut perkauman Melayu-Islam. Sudah banyak kali Anak Bapa mengesan tindakan beberapa kerat pimpinan PAS yang jelas bersemangat ‘asabiyyah tetapi malangnya mereka terus bebas berulangkali melakukan “dosa” sebegini tanpa ada apa-apa hukuman. Slogan “PAS For All” semakin hari semakin malap dan lesu. UMNO tak perlu berkerja keras untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat kerana mereka-mereka ini akan terlebih dahulu melakukannya. Ketika itu kita akan menangis dan UMNO akan ketawa besar. Renung-renungkan.

Anak Bapa: Bukan setakat “shoot their own feet” tetapi dah “including shooting my feet as well”. Sudah lebeeh. Mungkin EGM tu mula nampak macam satu cadangan yang baik kini.

Saturday, December 5, 2009

Masih Ada Yang Belum Faham


Perbedaan pandangan jangan disalahtafsirkan sebagai tidak walak. Kita boleh rujuk kepada banyak contoh-contoh di zaman Nabi saw dan para sahabah ra bagaimana berlaku perbedaan pandangan antara mereka dan langkah penyelesaian yang mereka ambil. Satu contoh ialah kisah perjalanan beberapa orang sahabat ke perkampungan Bani Quraizah, di mana sebelum memulakan perjalanan Rasulullah saw memerintahkan mereka supaya bersolat Asar apabila tiba ke perkampungan tersebut. Mengikut cerita, ketika di pertengahan jalan masuk waktu Asar menyebabkan ada para sahabah yang bersolat kerana bimbang solat Asar akan habis apabila tiba ke destinasi kelak manakala para sahabah yang lain tetapi berpegang teguh kepada arahan Nabi saw supaya mereka solat apabila tiba di perkampungan Bani Quraizah walaupun mungkin ketika itu waktu Asar dah habis. Apabila bertemu Nabi saw mereka pun mengadu tentang apa yang berlaku. Rasulullah saw tersenyum mendengar cerita mereka dan memperakukan kedua-dua kaedah yang diambil oleh para sahabah. Adakah Rasulullah saw menempelak para sahabah yang solat di tengah perjalanan sebagai tidak walak?

Ketika perjanjian Hudaibiah selesai dimeterai, Rasulullah saw mendapati para sahabah tidak bertahallul sedangkan baginda telah mengarahkan mereka berbuat demikian kerana tiada haji untuk tahun itu. Apabila Nabi saw mengadu kepada isteri baginda tentang perasaannya seolah-olah kenabiannya telah dipersoal oleh para sahabah, isterinya dengan tenang memaklumkan bahawa Nabi saw sendiri tidak bertahallul dan baginda perlu melakukannya terlebih dahulu. Nabi saw tidak kata para sahabah tidak walak kerana enggan menuruti arahannya. Baginda mendengar pandangan isterinya dan terus bertahallul, lantas diikuti oleh para sahabah tanpa perlu disuruh lagi.

Banyak lagi contoh-contoh indah bagaimana perbedaan pandangan di kalangan para sahabah dapat diselesaikan dengan baik melalui perbincangan dan pandangan semua pihak. Anak Bapa yakin semua pimpinan dan ahli sangat sayangkan jamaah tetapi cara menzahirkan sayang tu kadang-kadang tak kena. Sebagai contoh sayang kita pada anak kita. Kita tak curahkan segala kemewahan, yakni menurut apa saja kehendaknya semata-mata kerana kita sayang padanya. Ini satu konsep yang salah kerana jika kita berbuat demikian, kita telah menanamkan dalam fikirannya bahawa sayang ayahnya bermakna dia boleh buat dan dapat apa saja tanpa perlu bersusah payah. Minta saja semua beres. Tentu kita semua boleh ramal apa akan jadi pada anak ini apabila dewasa kelak.

Di dalam keluarga, apabila kita kata kita sayang kepada ahli keluarga kita, kita tidak akan duduk diam apabila salah seorang daripada mereka melakukan kemungkaran. Walaupun di ketika itu yang ditegur akan marah kerana menganggap seolah-olah ahli keluarganya bencikannya tetapi akhirnya dia akan sedar bahawa dia ditegur untuk kebaikan dirinya sendiri. Maknanya, kita berbeda pandangan atau tegur menegur antara satu sama lain (termasuk menegur pimpinan) adalah berasaskan kepada rasa tanggungjawab dan sayang kepada jamaah dan tidak sanggup melihat anasi dalaman atau luaran yang cuba untuk merosakkannya. Mungkin akan ada di kalangan kita yang memandang sinis kepada tindakan sebegini tetapi dalam banyak keadaan kebaikannya akan terserlah akhirnya. Rentetan sejarah PAS daripada sejak penubuhannya hingga ke hari ini boleh kita kaji untuk melihat kebenaran hujah Anak Bapa.

Dan ini merupakan alasan utama kenapa Anak Bapa berpandangan muktamar itu penting sebagai platform untuk benar-benar membincangkan dasar dan halatuju parti dan dengan itu perlu diperuntukkan cukup masa dan ruang supaya ahli-ahli dapat menyalurkan pandangan dan cadangan dengan lebih mantap. Jatuh bangun, mundur maju dan rosak sikit atau besar organisasi kita berkait rapat dengan kefahaman semua (pimpinan dan ahli) tentang dasar dan halatuju kita. Benda—benda lain tercetus daripada kefahaman mengenai dasar dan halatuju parti. Jikalau semua faham perkara ini tak kan ada pimpinan yang akan membuat onar berulang kali yang boleh menjahanamkan Pakatan Rakyat walaupun muktamar sebelum itu telah memutuskan supaya kita bersama MEMPERKUKUHKAN PAKATAN RAKYAT!

Anak Bapa: Ada pimpinan parti yang menganggap tahalluf siasi itu bukan dasar parti dan boleh di kemudiankan. Kata mereka dasar kita ialah Islam (setiakawan itu bukan Islam ke?) dan yang perlu dijunjung, manakala tahalluf siasi ini mungkin diletak setakat bahu aje. Jikalau tahalluf siasi tu bukan berdasarkan kepada Islam, buat apa kita ambil sebagai dasar kerana dasar PAS hanyalah Islam?

Wednesday, December 2, 2009

Dewasanya PAS Memerlukan Pendewasaan Pimpinan Dan Ahli (Bahagian 1)



PAS pasca 8 Mac 2008 tidak boleh dianggap PAS yang sama dengan PAS yang sebelumnya. Perbedaan ini bukanlah dilihat dari segi matlamat, dasar dan perjalanan parti tetapi lebih kepada peranan dan harapan rakyat terhadapnya. Jika dahulu PAS hanya dilihat sebagai parti serpihan UMNO atau parti orang-orang Melayu, yang sesuai wujud di kawasan Pantai Timur Malaysia sahaja, kini rakyat mula meletak harapan tinggi agar PAS dapat memainkan peranan lebih besar di persada politik negara.

Mungkin ramai yang menganggap harapan rakyat itu lebih kerana kecewanya mereka kepada prestasi UMNO/BN. Setelah bertahun-tahun bergantung harap dengan kerajaan UMNO/BN, rakyat melihat bagaimana parti yang mereka bergantung harap selama ini terjerumus teruk dalam pelbagai skandal dan masaalah sehingga ke tahap Dr. Mahathir mengungkapkan sebagai “busuk hingga ke usus”. Mungkin ada juga yang beranggapan bahawa harapan ini timbul kerana PAS tidak ada pilihan lain kecuali bekerjasama dengan parti-parti lain yang mereka anggap sekular jika ingin bersama memerintah. Mungkin ada kebenaran daripada pelbagai telahan di atas. Tetapi apa yang penting di sini ialah, samada kita suka atau tidak, untuk 4 atau 5 tahun akan datang PAS akan terus menjadi parti arus perdana negara. Ini satu hakikat yang rakyat dan PAS kena terima. PAS juga tidak ada pilihan lain melainkan bekerjasama dengan parti-parti lain jika ingin terus menjadi parti arus perdana dan kekal relevan. Samada kerjasama dengan UMNO atau PR bukanlah menjadi tajuk perbincangan kita kali ini (malah sudah banyak kali kita bicarakan tentang perkara ini) tetapi sebaliknya kita ingin melihat satu proses apa yang Anak Bapa panggil “pendewasaan” PAS bagi menjamin penerusan kegemilangan parti berkenaan.

Adakah PAS sudah bersedia menghadapi “pendewasaan” ini? Jawapannya sedia ada dan kita sendiri boleh menjawabnya. Caranya ialah dengan kita semua meneliti sikap dan tindak tanduk pimpinan dan ahli sendiri dalam menjalani kehidupan politik mereka seharian samada ketika menghadapi UMNO/BN atau parti-parti komponen PR. Bagaimana boleh terjadi perbincangan PAS dengan musuh Barisan Alternatif (BA) yakni BN (BA adalah gabungan PAS dan PKR sebelum PRU ke 12) tanpa merangka strategi dan persiapan rapi bersama PKR, rakan politik kita terlebih dahulu? Adakah wajar ciri seorang pimpinan Islam melakukan tindakan sebegini rupa walau atas apa alasan sekali pun? “Kebijaksanaan” sesetengah pimpinan mengemukakan hujah-hujah bahawa Islam yang dibawa oleh PAS akan terancam atau hak kedudukan orang-orang Melayu-Islam perlu diberi keutamaan atau perdamaian daripada UMNO yang perlu kita pertimbangkan demi kemaslahatan ummah, semuanya dibuat demi untuk membenarkan tindakan mereka berpakat secara politik dengan UMNO/BN, yang dibuat secara tergesa-gesa dan hanya mewakili segelintir pimpinan dan ahli tanpa mengambil kira integriti dan maruah perjuangan Islam yang dibawa PAS. Islam bukan saja menceritakan hubungan kita sesama Islam tetapi juga hubungan kita dengan yang bukan Islam. Mereka juga mempunyai hak di sisi Islam termasuk yang berkaitan dengan perjanjian yang mereka buat dengan kita? Adakah kita akan mengkhianati perjanjian kita dengan mereka semata-mata alasan “perpaduan ummah” yang dijaja oleh UMNO? Apa yang dibuat oleh rakan bukan Islam kita yang melayakkan kita untuk mengkhianati perjanjian ini sedangkan Rasulullah saw sendiri tidak mengkhianati perjanjian baginda dengan kafir Quraish dahulu? Anak Bapa bercerita tentang kaum India dan Cina yang duduk di dalam Kelab Penyokong PAS dan PKR yakni BA dan bukan menyentuh tentang DAP lagi.

Jadi, kita dapat lihat di sini sifat kebudak-budakkan (yakni belum dewasa) segelintir pimpinan kita dalam tindak tanduk mereka. Malangnya ramai juga dari kalangan mereka ini terdiri saripada ulama yang terkenal di kalangan ahli dan rakyat. Ini lebih membahayakan kedudukan PAS kerana mereka dianggap mewakili PAS! Jika kita telah berbincang panjang lebar mengenai sesuatu dasar dan kemudian disahkan pula oleh para muktamirin di dalam muktamar PAS, Anak Bapa yakin kita tidak silap. Kita kena terus beristiqamah dalam keputusan dan tindakan yang kita telah persetujui walaupun pada masa itu nampak seakan-akan kita akan rugi atau ada peluang lebih baik untuk direbut. Perjanjian Hudaibiah pun pada peringkat awalnya ditentang habis-habisan oleh sebahagian besar para sahabah kerana nampak macam berat sebelah tetapi kemudiannya terbukti memberi manfaat besar pada umat Islam. Jika keputusan muktamar telah bulat bahawa kita bersama dengan BA dan kemudiannya PR, maka kita hendaklah mengambil segala langkah perlu untuk memertabatkan keputusan berkenaan dan bukan bertindak sebaliknya. Lainlah kalau kita dimainkan atau dikhianati oleh rakan-rakan PR lain terlebih dahulu. Jika itu pun berlaku kita kena bawa semula ke muktamar untuk dibincangkan semula keputusan lalu dengan lebih lanjut dan cadangan tindakan susulan. Ini baru melambangkan kedewasaan pimpinan dan ahli kita dalam menghadapi sebarang kemelut perjuangan …..

Anak Bapa: Bahagian 2 nanti kita bincang lagi samada kita masih kanak-kanak lagi atau dah akil baligh, insyAllah ……..

Saturday, November 28, 2009

Konspirasi Jatuhkan Tok Guru Berjalan Lancar



Banyak sangat kejadian pelik kebelakangan ini. Jika sehari dua tak baca akhbar atau melayarai internet nescaya kita akan ketinggalan berita dan maklumat sensasi yang berlegar di alam nyata dan maya. Walaupun berita ini melibatkan semua pihak tetapi kita lihat lebih banyak perhatian adalah kepada Pakatan Rakyat (PR) terutama PAS. Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana dalam gelora politik negara hari ini, kedudukan PAS adalah kritikal kepada survival UMNO dan juga PR.

UMNO memerlukan PAS untuk menjadi batu loncatan dalam usaha memulihkan kembali imejnya yang teruk tercalar hasil daripada perbuatan mereka sendiri. Mengikut kajian penganalisa politik tempatan dan para bloggers (termasuk pengakuan daripada pimpinan PAS sendiri) ada beberapa kerat pimpinan tertinggi parti yang termakan umpan dan pujuk rayu UMNO. Biar pun mereka tidak mengaku secara langsung penglibatan ini, tetapi tindak-tanduk dan percakapan mereka jelas mengambarkan sumbangan mereka kepada agenda pemulihan UMNO. Isu kerajaan perpaduan, survival Melayu-Islam, propaganda kebencian DAP terhadap Islam dan lain-lain lagi adalah antara pendekatan yang membawa keuntungan kepada UMNO dan dalam masa yang sama merugikan PR.

Antara pimpinan yang paling tegas menghalang UMNO daripada terus menerus memperkudakan beberapa kerat pimpinan PAS ini adalah Tok Guru Nik Aziz sendiri. Beliau lantang di dalam menangani isu persepakatan politik dengan UMNO dan tidak berganjak walau seinci pun daripada sikap ini sehingga ke hari ini. Langkah tegas Tok Guru menyebabkan UMNO gagal mencapai hajat mereka ingin memusnahkan PAS. Anak Bapa yakin PAS akan musnah jika percaya dengan “keikhlasan” perpaduan tajaan UMNO kerana 3 perkara yang akan berlaku serta-merta. Pertama, orang-orang bukan Islam akan tinggalkan PAS secara berbondong-bondong, kedua, orang-orang Melayu termasuk pimpinan PAS akan berpecah dua, dan ketiga, majoriti orang-orang Melayu akan kembali menyokong UMNO kerana dasar Melayu-Islam lebih cocok dengan UMNO.

Jadi apa yang tinggal pada PAS? Perpecahan dan pergantungan mutlak kepada UMNO. Mungkin ada beberapa kerat pemimpin PAS yang menjadi menteri dan sebagainya atau mungkin Kelantan dan Terengganu dibenarkan melaksanakan hukum hudud. Tetapi semua ini hanyalah fenomena sementara yang akan berakhir secepat ia bermula. Pada penghujungnya PAS akan ditinggalkan seperti pengemis jalanan tanpa ada pembelaan daripada sesiapa.

Tok Guru nampak semua ini dan beliau berusaha keras untuk menghalang perkara ini daripada berlaku. Tok Guru tidak akan memarahi Ustaz Nasaruddin, Mustafa Ali dan Hasan Ali secara terbuka jika beliau tidak mempunyai maklumat yang tepat dan betul tentang apa yang sedang berlaku. Ini sememangnya bukan ciri Tok Guru.

UMNO sedar bahawa selagi Tok Guru ada maka cita-cita mereka untuk memporak-perandakan PAS tidak akan berjaya. Maka usaha rapi dibuat untuk meminggirkan Tok Guru daripada PAS dan seterusnya daripada PR. Dan tidak ada jalan yang paling baik selain daripada “character assassination” ke atas batang tubuh Tok Guru dan mereka yang rapat dengan beliau kerana hanya cara ini saja akan mencemarkan status Tok guru sebagai ikon PAS. Adalah sesuatu yang “naïve” bagi ahli-ahli PAS dalam menyangka bahawa serangan ke atas Tok Guru adalah secara kebetulan sahaja. Ia memang terancang, dirancang oleh UMNO dan mungkin dengan kerjasama beberapa kerat pimpinan PAS yang memang cukup benci dengan Tok Guru.

Anak Bapa tidak berkata Tok Guru itu maksum. Beliau pun ada buat silap. Sebagai contoh kisah pelantikan menantu beliau bagi memegang jawatan CEO Permodalan Menteri Besar Kelantan Berhad (PMBK). Anak Bapa tetap berpandangan ia tidak sesuai walaupun Ariffahmi layak. Ini lebih kepada tanggungjawap moral di dalam menjaga persepsi masyarakat bahawa kita bukan jenis jaga kroni. Begitu juga isu hadiah pakej pergi buat haji pun tetap Anak Bapa tidak bersetuju kerana pertama ia terlalu mewah dan kedua, walaupun pemberi hadiah berkenaan memang dermawan kepada Tok Guru sudah sekian lama tetapi beliau adalah penerima kontrak balak kerajaan negeri (mengikut makluman yang saya perolehi). Memang ada sedikit sebanyak kesilapan Tok Guru tetapi perkara ini diterima dengan baik oleh Tok Guru selepas teguran dibuat. Cuma Anak Bapa lebih suka pendekatan ayah-anak digunakan iaitu dengan memilih pendekatan penyelesaian secara dalaman kerana Tok Guru memang jenis yang “approachable” dan mudah dibawa berbincang. Kita merasakan serangan terbuka dan berterusan ke atas Tok Guru mempunyai agenda lebih besar, iaitu mencemar maruah beliau dan sekali gus meminggirkannya.

DAP dilihat lebih cerdik berpolitik apabila terus menyatakan sokongan bukan Islam kepada kepimpinan Tok Guru. Anak Bapa tak lihat sokongan serupa daripada PKR dan juga pimpinan PAS. Adakah “dosa” Tok Guru dah terlalu besar sehingga kita hilang pertimbangan dan percaya Tok Guru dah jadi liabiliti kini pada parti. Kenyataan Nik Mohd Amar (walaupun ada kebenarannya di ketika yang lain) dan Nik Abduh adalah tidak bersesuaian dalam keadaan serangan bertali arus ke atas ikon jamaah kita ini. Ketumpulan pandangan politik kita di dalam melihat “the big picture” agenda UMNO untuk memusnahkan PAS adalah sesuatu yang amat mendukacitakan Anak Bapa dan juga sebahagian besar ahli dan penyokong. Pimpinan PAS perlu meneropong jauh di dalam diri masing-masing dan melihat semula keutamaan dan gerak kerja kita. Langkah “fire fighting” atau ad-hoc ini tidak akan membantu PAS di dalam melonjakkannya jauh ke hadapan. PAS yang telah lama kerkecimpung di dalam arena politik negara dan merupakan parti komponen PR yang besar perlulah juga memiliki jiwa yang “equally as big”. Selagi kita tak memperkemaskan saf dan kepimpinan kita maka keupayaan untuk menyekat UMNO/BN dalam PRU ke 13 menjadi persoalan besar. Kajian Dr. Abu Hassan yang dibentangkan di Seminar Politik baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa persepsi masyarakat bahawa isu kepimpinan adalah isu besar yang melanda PAS. Persoalannya di mana kita bermula?

Anak Bapa: Islam yang kita bawa ini gagal mendidik pimpinan dan ahli daripada menjadi khairul ummah, di mana salahnya?

Friday, November 27, 2009

BTN Sudah Tidak Lagi Relevan



Timbalan PM, Muhyiddin Yassin berkata bahawa program BTN (Biro Tata Negara) yang telah dilaksanakan buat sekian lama tidak bermotifkan politik tetapi lebih kepada menerapkan semangat patriotisme di kalangan rakyat.

Jawapan Anak Bapa mudah sahaja, kepala hotak engkau. Anak Bapa sendiri pernah menghadiri kursus BTN dan dengan PASTI mengesahkan bahawa ia adalah program indoktrinasi UMNO ke atas orang-orang Melayu supaya terus menerus memperjuangkan konsep Ketuanan Melayu dan secara langsung menyokong perjuangan mereka. Ketika di kursus, Anak Bapa saban hari dilontarkan dengan “bom-bom” perkauman dan agenda kehebatan Melayu dan UMNO. Seringkali berlaku pertengkaran antara kami peserta kursus dengan fasilitator BTN kerana tindakan melampau mereka dalam mengapi-apikan sentiment perkauman Melayu. Mereka tanpa segan silu mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbau perkauman sehingga ke tahap tidak sanggup Anak Bapa sebutkan di sini. Dan Anak Bapa yakin ramai rakan-rakan di luar sana yang melalui pengalaman yang sama dan boleh mengesahkan keabsahan cerita yang Anak Bapa bawa ini.

Sememangnya ucapan Timbalan PM itu ada kebenarannya iaitu BTN bukan bermotifkan politik kerana ia sebenarnya lebih daripada bermotifkan politik. Semangat asabiyyah dan kaumiyyah yang pecacai-pecacai UMNO tiupkan bertopengkan BTN itu adalah penerusan agenda UMNO supaya orang-orang Melayu akan terus mencurigai kaum-kaum lain dan akan bersatu di belakang UMNO bagi menjamin kesinambungan legasi kaum Melayu. Malahan institusi Raja-Raja Melayu digunakan seluas-luasnya oleh UMNO melalui BTN bagi menunjukkan ketaatan mereka kepada raja-raja Melayu dan dalam masa yang sama mengambarkan golongan penentang UMNO sebagai golongan yang ingin menjatuhkan sistem pemerintahan raja-raja Melayu (yakni yang ingin menjadikan Malaysia sebuah republik).

Ramai di kalangan orang-orang Melayu terutama yang mempunyai kedudukan dan dari kelas menengah dan atas yang terpengaruh dengan dakyah UMNO selama ini, menyebabkan UMNO terus dapat bernyawa sehingga ke hari ini. Sudah sampai masanya kita tinggalkan agenda lapok BTN ciptaan UMNO dan kita cipta masyarakat baru Malaysia yang saling hormat menghormati antara sesama kaum dan yang tidak menjadikan perkauman sebagai asas kepada segala permasalahan kita hari ini. Orang-orang Melayu yang rata-ratanya beragama Islam perlu ingat bahawa dasar yang dibawa oleh BTN adalah bercanggah dengan prinsip keadilan Islam yang melihat semua bangsa adalah sama dan yang membedakan antara kita adalah sifat taqwa. Pendekatan menggunakan perkauman adalah diharamkan dan UMNO yang asyik dengan agenda Melayu ini sebenarnya kerana mereka tidak ada benda lain yang lebih baik yang boleh mereka tawarkan kepada rakyat. Sama-sama kita fikirkan.

Anak Bapa: Zahid Hamidi kata Hasan Ali pun pernah jadi Timbalan Pengarah BTN dan sudah tentu amat memahami kebaikan program BTN. Anak Bapa harap Hasan Ali akan segera membuka pekung BTN supaya seluruh rakyat Malaysia dapat lihat kebobrokan yang ada padanya. Kita menunggu ………..