Sunday, January 20, 2008

Cerita Menarik Kickdefella dan Malaysia Today

Bahang pilihanraya begitu terasa seolah-olah parlimen akan dibubarkan sehari dua lagi. Semua pihak sibuk memperkatakan mengenai fenomena 5 tahun sekali ini yang kebiasaannya disambut jauh lebih hebat dari segala jenis raya lain. Di alam siber, para bloggers juga tidak ketinggalan berbicara dan berdialog, malah ada ketikanya berdebat dan berpolemik tentang pelbagai aspek pilihanraya umum akan datang. Antara banyak-banyak postings yang dilayari sehari dua ini, saya amat tertarik pada komen-komen daripada blog Kickdefella dan laman web Malaysia Today berkaitan kerjasama sesama parti pembangkang dan dengan itu wajar diperincikan untuk tatapan bersama.

Saya begitu teruja dengan komen Sheih di dalam blognya Kickdefella dan sentiasa mengikuti pandangan-pandangan “unconventional”nya yang kadangkala agak kontroversi dan sensasi. Namun saya menghormati pandangan beliau walaupun ada sesetengah pandangannya tidak begitu saya persetujui. Tulisan mutakhir beliau berkaitan barisan pembangkang dan pilihanraya telah menjadi begitu kontroversi sehingga artikel berkenaan terpaksa dikeluarkan daripada blognya. Artikel bertajuk “As murky as it can be” dan “Viagra for the oppositions” saya dapati sarat dengan komen, pandangan dan kritikan pedas kepada sikap dan kepimpinan parti-parti pembangkang di dalam menghadapi pilihanraya akan datang.

Saya akui, setelah membaca artikel-artikel berkenaan berulangkali, bahawa Sheih berniat baik di dalam penulisannya. Walaupun beliau seorang ahli UMNO, pandangan ikhlas beliau wajar diberi perhatian dan dijadikan tajuk perbincangan sesama kita. Malah saya yakin kebanyakkan bloggers “brutal” lain pun seperti Raja Petra, Bakaq, Zorro dan lain-lain adalah antara insan-insan yang ikhlas di dalam penulisan mereka. Jikalau tidak, masakan mereka sanggup membahayakan diri dengan tulisan-tulisan kontroversi dan pendedahan yang boleh mengancam UMNO dan BN! Mungkin gaya penulisan mereka kadangkala agak keterlaluan (?) dan tidak dapat ditelan oleh majoriti rakyat Malaysia, tetapi kita perlu ingat bahawa kepelbagaian adalah satu kemestian untuk mengalahkan musuh yang kuat seperti UMNO dan BN. Pesakit yang sedang pengsan di atas katil kadangkala tidak dapat kita sedarkan sekadar mengoyang-goyangkan badannya atau menyapu air sejuk ke mukanya saja. Adakalanya kita terpaksa menggunakan kejutan elektrik untuk menyedarkannya. Walaupun nampak kaedah ini agak kasar tetapi di dalam keadaan tertentu ia membawa hasil!

Untuk makluman Sheih, saya adalah seorang ahli PAS yang agak lama dan dari latarbelakang golongan profesional. Saya aktif dengan PAS sebaik saja pulang daripada belajar di England pada tahun 1984. Sudah 24 tahun saya bersama dengan PAS dan dengan pengalaman yang tidak seberapa ini ingin saya berkongsi dengan Sheih bagaimana perasaan saya apabila berhadapan dengan sesetengah pimpinan dan ahli PAS. Beberapa peristiwa besar telah saya lalui di dalam masa 24 tahun ini termasuk peralihan kuasa kepimpinan PAS daripada Dato’ Asri kepada Haji Yusof Rawa (bermulanya era Kepimpinan Ulamak), Peristiwa Memali, Ustaz Fadhil Noor menjadi Presiden PAS, Ustaz Nakhaie keluar PAS dan menyertai UMNO, pembentukkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dengan Parti Semangat 46, Kelantan ditawan APU (34-0), DS Anwar Ibrahim disingkir daripada UMNO dan dipenjarakan, pembentukkan Barisan Alternatif (BA), kematian Ustaz Fadhil dan pemilihan Ustaz Hadi sebagai Presiden baru PAS, dan banyak lagi peristiwa yang terlalu panjang untuk disenaraikan. Pendek kata saya telah lalui zaman PAS di kala jumlah pokok pisang dan kelapa lebih banyak daripada orang yang datang mendengar ceramah berbanding kehadiran ribuan atau puluhan ribu hari ini. Perisitiwa-peristiwa dialami ini telah berjaya mendewasakan kita dan juga menjelaskan lagi sikap dan keperibadian sesetengah kalangan kita.

Memanglah diakui bahawa banyak kelemahan yang wujud di dalam PAS. Tetapi suatu yang pasti, majoriti pemimpin dan ahli PAS adalah dari kalangan mereka yang ikhlas di dalam perjuangan. Mereka sanggup menghadapi segala rintangan dan berkorban apa saja demi melihat Islam ditegakkan. Ini telah mereka buktikan sejak dahulu hingga ke hari ini. Mungkin kadang-kadang cara mereka boleh dianggap sebagai tidak begitu “mesra rakyat” terutama di dalam negara berbilang bangsa seperti Malaysia, tetapi usaha berterusan untuk memperbaiki aspek ini yang dimulai oleh Ustaz Fadhil Noor telah banyak membawa perubahan kepada PAS. Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah kesukaran atau lambat untuk kita melakukan perubahan di dalam PAS. Ustaz Fadhil menghadapi begitu banyak rintangan dan terpaksa berdepan dengan kritikan pedas ahli-ahli PAS apabila beliau memulakan program “memasyarakatkan PAS”. Malah beliau pernah dituduh cuba mengUMNOkan PAS dan langkah-langkahnya boleh mencemarkan Islam yang dibawa parti. Namun hasil kecekalan beliau dan sokongan sebahagian besar ahli, Ustaz Fadhil berjaya membawa PAS ke suatu mercu yang menjadikannya sangat relevan pada hari ini. Fenomena ini tidaklah menghairankan jika kita melihat dengan teliti struktur organisasi PAS itu sendiri. PAS menghulur tangan kepada sesiapa saja yang ingin menyertainya asalkan individu berkenaan seorang Islam, berumur lebih 18 tahun dan warganegara Malaysia. Pada satu segi ini memang baik, tetapi masaalahnya ia akan membuka pintu pagar kepada segenap lapisan masyarakat dan dari pelbagai latarbelakang untuk menyertai PAS. Hasilnya kita akan dapati seribu satu jenis manusia dengan seribu satu jenis ragam mewarnai PAS dan ikatan sesama mereka hanya satu saja iaitu Islam. Memandangkan mesej Islam itu sendiri amat luas dan terdedah kepada banyak tafsiran terutama di dalam aspek politik dan perjuangan, maka kita akan dapati banyak aliran dan pendekatan akan wujud di dalam PAS dan bergantung kepada kepimpinan untuk menerimapakai “approach” mana yang sesuai dan efektif. Di sinilah yang selalu menimbulkan banyak permasaalahan dan kadangkala menimbulkan pergeseran antara apa yang disebut golongan “ulamak” dan golongan “profesional”.

Sebenarnya fenomena “ulamak dan profesional” ini adalah hasil daripada persepsi kalangan luar PAS sahaja kerana ramai kalangan ulamak PAS adalah terdiri daripada mereka-mereka yang sangat “profesional” seperti Dr. Harun Din, Ustaz Nasharuddin, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Nik Aziz dan ramai lagi. Malah Ustaz Hadi sendiri adalah seorang ulamak yang sangat terbuka di dalam pendekatannya. Cuma apa yang beliau perlukan ialah sokongan dan bantuan yang lebih hebat daripada pimpinan lain di dalam aspek-aspek tertentu yang beliau agak kekurangan. Justeru itu saya amat mengharapkan orang-orang seperti Ustaz Nasha, Dato’ Kamaruddin, Dr. Hatta, Mat Sabu, Dato’ Husam dan lain-lain dapat terus menerus memberi sumbangan bermakna kepada Presiden PAS di dalam memperkemas halatuju PAS dan memastikan proses transformasi PAS berjalan lancar. PAS perlu berfikiran besar kerana ia satu-satunya parti yang mampu menandingi UMNO dan mengambilalih tampuk pemerintahan negara. Pemimpin dan ahli PAS perlu menanam di dalam benak fikiran mereka bahawa mereka bukan lagi berperanan sebagai pembangkang tetapi lebih kepada “government in-waiting” dan dengan itu perlu “clean their acts” supaya selaras dengan status yang baru ini. PAS perlu menjadi parti yang mewakili rakyat dan bukan untuk orang Islam semata. Jika ada halangan dalaman PAS ke arah cita-cita ini maka ia perlu memperkukuhkan hubungan dengan parti-parti pembangkang lain tanpa syarat yang remeh temeh. Saya yakin PAS mampu memenuhi impian rakyat tanpa perlu mengorbankan prinsip perjuangannya.

Justeru itu saya meminta Sheih dan mereka-mereka yang sewaktu dengannya supaya banyak bersabar dan menggunakan pendekatan yang lebih sesuai untuk menyalurkan pandangan. Di peringkat awal dulu saya pun memang ingin melihat perubahan drastik di dalam PAS dan sehingga hari ini pun ada aspek yang saya ingin lihat perubahan segera. Tetapi perpatah Melayu ada berkata “tarik rambut di dalam tepung kena berhati-hati, jangan sampai rambut putus atau tepung bertaburan”. Ketika kita diambang “peperangan” pilihanraya, kita tidak mahu banyak “Trojan horses” berkeliaran yang boleh memudaratkan keutuhan barisan pembangkang. Dalam masa yang sama kita juga ingin lihat lebih banyak perubahan di dalam barisan pembangkang supaya cabaran mereka lebih kental dan berbisa. Jadi saya harap pandai-pandailah masing-masing memainkan peranan.

Artikel “Trojan horses in the opposition ranks” tulisan Raja Petra juga tidak kurang panasnya. Cuma bedanya Raja Petra tidak bekerja dengan PAS. Namun saya tetap menerima kritikan dan juga pujiannya terhadap PAS dengan senang hati. Malah banyak komen yang tertera di bawah artikel berkenaan membuatkan saya teruja terutama komentar daripada mereka-mereka yang bukan Islam. “Seeing is believing”. Jika rakyat Malaysia berpeluang ke Kelantan dan melihat sendiri bagaimana ia ditadbir oleh PAS, saya yakin kita mempunyai peluang cerah untuk Malaysia. Banyak prejudis yang timbul adalah hasil daripada manipulasi jentera penerangan BN dan rakyat tidak akan berupaya melepasi belenggu ini jika tidak ada inisiatif sendiri untuk mendapatkan maklumat bebas.

Akhir kata, saya menyeru semua pihak supaya memilih prioriti kita dengan betul. Saya tidak boleh bayangkan diri saya terpaksa duduk di bawah pemerintahan BN untuk 5 tahun lagi. Kenapa perlu kita mendakapi penderitaan dan kesengsaraan sedangkan “our country is blessed with rich resources and talented people”? Sementara itu parti-parti pembangkang tolong dengar rintihan rakyat dan perkemaskan gerakkerja dan kerjasama antara kamu. Selesaikan semua pembahagian kerusi, senarai calon dan manifesto bersama, dan tumpukan baki masa selepas ini untuk membawa satu suara, suara rakyat ke seluruh pelusuk negara ke arah perubahan. Ini peluang terbaik anda, dan tolong jangan hampakan kami!

Anak Bapa: Ada ketikanya memang rasa macam nak keluar PAS melihat gelagat beberapa kerat pimpinan dan ahli PAS. Tetapi apabila memikirkan pimpinan hebat seperti Ustaz Fadhil, Tok Guru Nik Aziz dan lain-lain yang telah terbukti kewibawaan dan integriti mereka, dan juga perlembagaan parti yang luhur dan mulia, niat serba tak menjadi. Saya yakin PAS boleh berubah ke arah yang lebih baik lagi kerana ia telah membuktikannya. Cuma kita jangan jemu mencari jalan terbaik mengagendakan perubahan. Apa yang penting ialah keikhlasan dan kesabaran.

1 comment:

Anonymous said...

Sdr AB,

Benar PAS adalah parti pembangkang yang kuat pengarohnya diMalaysia selain drpd DAP. PKR saperti kata Pak Nik Aziz telah hilang pengarohnya sedikit demi sedikit. Ramai antara penyokong PKR sekarang ini yang keliru mengenai hala tuju dan keberkesanan PKR untok menjadikan ia sebagai parti pembangkang yang mantap. Arwah ayah dan ibu adalah penyokong Barisan dan saya tahu keluarga saya ada yang menyokong Barisan dan ada yang menyokong PAS. Pada saya kita semua adalah rakyat Malaysia yang mempunyai hak masing masing untok mengundi parti apa yang kita suka tampa dikategorikan sebagai tidak patriotik, sebagai 'traitor' dsbnya. Apa yang penting dalam masyarakat majmuk diMalaysia kita tidak bolih bermusuhan hanya kerana ada kawan kita yang menyokong Barisan. Begitu juga dengan Barisan, jika ada yang menyokong Pembangkang, jangan pula mereka dijadikan musoh. Disinilah silapnya sistem Demokrasi negara sama saperti Kenya dan Pakistan. Masyarakat sering bermusuh musuhan hanya kerana mereka menyokong parti bukan kerajaan.

Malangnya inilah yang berlaku dinegara kita dan kita lihat sendiri penyokong parti pembangkang didiskriminasikan dan disingkirkan. Eloknya kita tidak saperti Kenya dan Pakistan yang berbunoh bunohan. Masyarakat Malaysia takot untok menyokong parti pembangkang hanya kerana faktor survival. Saya yakin jauh disudut hati kebanyakan mereka, mereka dapat melihat kepincangan sistem negara dengan segala macam rasuah, penyelewengan dsb tetapi tidak berdaya untok bersuara kerana takot periok nasi mereka ditutop. Ini sudah menjadi semacam cliche yang disebut berulang ulang kali.

Saya bersetuju 100% yang Malaysia perlu ada 'auditor' yang kuat yang meng-audit segala kepincangan yang dilakukan oleh mereka yang memegang kuasa. Harakah, Malaysia Today dan Malaysia Kini sudah pun bertapak sebagai media bebas yang dapat menyalurkan informasi dikalangan masyarakat dan ini adalah satu tanda yang baik dalam usha Malaysia untok memberikan kebebasan bersuara kepada rakyat.

Kebebasan bersuara juga tidak sepatotnya kita salahgunakan. Kita tidak boleh menyebarkan fitnah hanya untok menjatohkan lawan. Masyarakat dapat mengesan taktik kotor ini. Kebebasan bersuara ini perlu untok memperbaiki sistem yang ada dan kritik kritik perlulah disalurkan secara ;constructive' dan tidak secara 'destructive'. Kebebasan bersuara juga perlu diawasi supaya ia tidak mencetuskan perbalahan yang boleh melumpohkan pentadbiran negara dari segi ekonomi, keselamatan dan kestabilan negara kita yang tercinta ini.

Ramai yang bertanya - kemanakah penyokong PKR akan bertapak nanti jika mereka sudah tidak yakin dengan perjuangan PKR dan jika sekiranya PKR berkubor?. PKR selama ini dilihat sebagai parti yang dapat menyatukan segala rumpun bangsa Malaysia - Melayu, Cina dan India dan lain lain bangsa. Perjuangan PKR di-lihat sebagai Parti yang memperjuangkan keadilan sosial (social justice) dan 'opportunity for all'. Ini sangat menarik dan sepatotnya mendapat mandat dari masyarakat Malaysia kerana keadilan masyarakat adalah asas kepada 'civil society'. Anehnya dari Pilihan raya ke Pilihan raya yang lain, wakil PKR gagal membawa kemenangan.

Kenapa kah ini berlaku?. Jika PKR adalah parti yang mencerminkan kepada keadilan dan 'opportunity for all' kenapa ia tidak dapat bertahan di kawasan kawasan yang majoriti nya kaum Cina atau India. Sangat menganehkan!.

Pak Nik baru baru ini berpendapat bahawa PKR sudah hilang pengaroh dan hala tuju perjuangan dan ramai yang berpendapat ia sudah menjadi parti pengacau. Pemimpin PKR hanya mahu mencetuskan kacau bilau, berdemonstrasi dijalan raya dan melemparkan fitnah disana sini. Pada hemat saya mesej ini sangat merosakkan pengaroh PKR dan perlu disingkirkan. PKR perlu balik kepangkal jalan daan berjuang secara ikhlas untok kepentingan rakyat jelata yang ditindas dan didiskriminasikan.

Berbalik kepada soalan asal - kemanakah penyokong PKR akan bertapak nanti?. Saya rasa kebanyakan penyokong Melayu akan ke PAS. Lebih lebih lagi dengan adalah sdr Salahuddin Ayub yang dilihat sebagai 'influential figure' yang semakin lama semakin berpengaroh. Ramai juga yang berpendapat yang penyokong Melayu akan pulang kembali ke UMNO saperti yang pernah berlaku sekitar 80 dahulu dimana penyokong Semangat46 kembali semula ke UMNO selepas ia dibubarkan.

Tetapi bolehkah orang saperti Anuar Ibrahim yang dimalukan oleh Kerajaan Malaysia dan disingkirkan dan dikhianati oleh orang orang Melayu/UMNO sendiri dapat memaafkan an menjilat ludah sendiri setelah dibuang?. I dont really think so.

Anuar Ibrahim akan kePAS sama saperti penyokong PKR lain dan akan tetap menyokong Kesatuan Parti Pembangkang.