Saturday, January 26, 2008

Perhimpunan Aman Rakyat: Strategi Baru UMNO


Saya baru pulang daripada menyertai perhimpunan aman rakyat membantah kenaikkan harga minyak dan barangan keperluan di sekitar KLCC sebentar tadi. Kesimpulannya, Pak Lah dan kuncu-kuncunya nampak begitu terdesak sekali dan sanggup mengkudakayukan pihak polis semaksima yang mungkin untuk menutup kemarahan rakyat. Pihak polis pula, sekali lagi telah membiarkan diri mereka menjadi alat tunggangan UMNO dan bersedia melacurkan prinsip keadilan dan profesionalisme mereka dengan bertindak zalim ke atas rakyat yang datang dengan aman untuk menyatakan kesulitan hidup yang mereka hadapi.

Di dalam pengamatan saya, terhadap beberapa perubahan strategi yang pihak polis telah ambil berbanding perhimpunan aman yang lalu. Buat kali kedua injunksi mahkamah telah diperolehi melarang mana-mana pihak daripada berhimpun di sekitar KLCC. Dan buat pertama kalinya mereka secara membuta tuli memberkas sesiapa saja yang disyaki berhasrat untuk menyertai perhimpunan aman ini. Malah individu yang memakai baju kuning BERSIH akan diberkas sertamerta jika berada di sekitar kawasan berkenaan. Mana-mana pemimpin parti pembangkang dan NGO yang berada di sekitar kawasan turut ditahan sertamerta. Kawasan operasi tidak terhad di sekitar KLCC sahaja malah diperluaskan hingga ke Ampang Park. Ramai juga peserta perhimpunan yang ditangkap berhampiran Hotel Nikko.

Saya menganggap tindakan ‘paranoia’ pihak polis ini berkait rapat dengan tekanan yang dihadapi oleh Pak Lah dan UMNO menjelang pilihanraya umum akan datang (diberitakan pembubaran parlimen ialah pada 26 Februari 2008 dan pengundian pada 15 Mac 2008). Pak Lah benar-benar ingin menutup segala perkara yang boleh memburukkan imej BN agar ‘feel good factor’ mudah di’spin’ oleh satu lagi kuda tunggangan mereka iaitu akhbar dan tv. Beliau tidak mahu sebarang isu atau insiden yang boleh menggangu gugat tarikh pilihanraya ini kerana jika ditangguhkan lagi, faktor Anwar layak bertanding tentunya lebih menggerikan lagi.

Lagi satu sebab kenapa tindakan liar pihak polis iaitu untuk ‘mengajar’ rakyat yang lain bahawa polis akan mengambil tindakan yang serupa ke atas mereka jika mereka berani menyertai perhimpunan serupa di masa-masa akan datang. Dalam perkataan lain mereka cuba mewujudkan ‘fear culture’ di kalangan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan. Jika sekiranya 58 orang yang ditahan setakat ini tidak dibebaskan malam ini, maka ini membawa satu lagi implikasi bahawa Pak Lah cuba memberi tekanan kepada yang ditahan dan mereka-mereka yang bakal ditahan bahawa kepayahan di dalam bentuk kewangan yakni ikat jamin dan naik turun mahkamah. Pendekata, strategi baru mereka ialah menakut-nakutkan rakyat dengan tangkapan, ikat jamin dan naik turun mahkamah walaupun kita tahu akhirnya OKT ini akan dibebaskan kerana mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan. Mereka hanya melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat yang mengamalkan prinsip demorasi yakni hak berhimpun secara aman.

Sikap tidak professional polis berkait rapat dengan kebejatan ketua mereka, Musa Tilam yang merupakan kroni ‘hard core’ UMNO. Rakyat ditangkap sewenang-wenangnya kemudian diperlakukan dengan kasar sedangkan perompak penyamun termasuk yang membunuh adik Nurin dan yang mencolek adik Sharlinie masih berkeliaran mencari mangsa baru. Ratusan polis dikerah menjaga rakyat yang datang secara AMAN untuk membantah kebejatan pemimpin UMNO di dalam menanggani masaalah kenaikkan kos sara hidup sedangkan khidmat mereka diperlukan untuk menanggani jenayah di tempat lain. Tetapi apa nak dikata, kalau atas dah haprak sampai ke ekorlah hapraknya.

Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang masih cintakan negara ini supaya bangun dan berusaha bersungguh-sungguh meyakinkan semua bahawa kita tidak ada pilihan lain melainkan menukar kerajaan BN yang korup dan zalim ini. Selagi kita tidak berbuat demikian, usaha untuk membetulkan aspek pemerintahan yang lain seperti polis, kehakiman, dan lain-lain lagi hanyalah impian di siang hari kerana semuanya menjadi barua kepada UMNO dan BN. Kita perlu terus berjuang dan mendesak mereka dengan perhimpunan yang lebih besar. Tekanan bertubi-tubi perlu dibuat menjelang pilihanraya supaya kesannya lebih terasa dan cadangan Pesta Rakyat ‘Jom BERSIH’ pada 23 Februari ini amat relevan sekali. Cuma permintaan saya kepada pihak penganjur supaya merancang dengan baik dan kepada rakyat semua supaya berani menyertainya beramai-ramai.

Anak Bapa: Ketika di depan KLCC tadi sempat juga saya menegur beberapa orang polis dan SB bahawa apa yang kita lakukan adalah untuk kebaikan semua termasuk juga anggota polis. Seluruh rakyat termasuk polis terkesan dengan kenaikkan harga minyak dan barangan keperluan. Mereka bersetuju dengan saya tetapi bagai yang dijangka, jawapan mereka ialah “kami hanya menjalankan tugas’. Kamu tahu kerja ini adalah zalim dan tidak betul tetapi kamu sanggup lakukan kerana mengemis seringgit dua daripada UMNO/BN yang korup dan zalim. Berhenti saja dan cari kerja lain. Kalau di dunia pun tahu tak betul bila mati nanti di depan Allah apa kau orang nak jawab?

1 comment:

Laksarian said...

Polis: Kami hanya menjalankan tugas.

Rakyat: Kami hanya melaksanakan tanggungjawab kami!