Thursday, January 24, 2008

Sandiwara UMNO Yang Buruk Dan Meloyakan

Dr. Mahathir, di dalam komennya ketika bertemu para bloggers tahun lepas, ada menyebut bahawa UMNO tidak mungkin akan berubah, hanya rakyat saja yang boleh mengubahnya (dengan mengundi pembangkang).

Benar sekali telahan beliau! Walaupun dilanda pelbagai skandal dan penyelewengan sejak beliau sendiri dan selepas itu Pak Lah memegang tampuk pemerintahan negara, kita tidak lihat sedikit pun rasa gusar atau kekesalan UMNO dek perbuatan mereka. Malah mereka menjadi semakin sombong dan angkuh, dan berterusan seperti biasa dengan kerja-kerja kotor mereka, merompak dan memunggah harta rakyat untuk disumbat ke dalam tembolok mereka.

Lihat saja prosiding Suruhanjaya DiRaja mengenai skandal VK Lingham yang sedang berlangsung ketika ini. Selepas berhempas pulas menekan Pak Lah, rakyat akhirnya berjaya memaksanya supaya mewujudkan Suruhanjaya ini. Suruhanjaya ini amat penting kerana hasil siasatan dan cadangannya akan menentukan samada badan kehakiman negara dapat dipulihkan lagi atau tidak. Awal-awal lagi kita telah mempertikaikan komposisi panel Suruhanjaya ini terutama Pengerusinya, Haidar kerana sedikit sebanyak terlibat di dalam skandal pemecatan Tun Salleh Abas dahulu. Namun kita sanggup memberikan mereka “benefit of the doubt” dengan mengambil sikap tunggu dan lihat dahulu ke atas prosidingnya sebelum kita membuat sebarang ulasan. Walaubagaimanapun syak wasangka kita menjadi kenyataan selepas penampilan beberapa saksi utama termasuk Dr. Mahathir, “Tengku” Adnan, Eusoff Chin, dan Lingham. Golongan ini tanpa segan silu memutar belit kenyataan, menipu, berbohong, mempunyai ingatan berpilih-pilih, dan secara tidak langsung telah memusnahkan langsung kredibiliti Suruhanjaya ini yang memang telah pun tercemar. Cara pembawaan mereka di hadapan panel Suruhanjaya membuktikan tiada kekesalan langsung di sanubari mereka terhadap kebobrokan yang mereka telah lakukan selama ini dan saya percaya ia sememangnya menjadi budaya kepimpinan dan kroni UMNO dan BN untuk hidup di dalam kepura-puraan dan masih mengganggap rakyat mempunyai minda tahun 50an dan 60an dan dengan itu boleh diperbodoh dan ditipu. Dalam pada itu, saksi-saksi penting lain termasuk abang kepada Lingham dan Anwar Ibrahim tidak dipanggil dan dipercayai besar kemungkinan tidak berpeluang berhujah di depan Suruhanjaya ini. Kalau bukan sandiwara namanya saya tidak tahu apa kita nak panggil jenis lakonan ini.

Apabila HINDRAF terpaksa ke jalan-jalan raya bagi menuntut hak kaum India, apa yang Pak Lah boleh bagi hanya cuti Thaipusam untuk KL dan Putrajaya. Mungkin kalau HINDRAF buat demonstrasi lagi tahun ini dapat pula cuti Thaipusam tahun depan untuk negeri Pahang, lepas tu Kedah dan seterusnya. Kalau orang-orang India mudah termakan dengan gimik yang memualkan ini, saya ucapkan syabas dan anda memang layak menjadi hamba BN dulu, kini dan selamanya.

Di kala Pak Lah dilantik menjadi PM 4 tahun lepas, beliau berjanji akan lebih telus di dalam pemberian kontrak dan ini bermakna pemberian tender secara terbuka. Hari ini kita dapati bukan makin kurang tetapi makin banyak tender secara rundingan yang ditawarkan, dan kita yakini menelan berbilion ringgit wang negara dan tidak kurang ringgitnya yang masuk ke kantung anak pinak dan kroninya. Bukan setakat pemberian tender kepada pihak kontraktor sahaja, malah wang negara pernah diagih secara langsung oleh Pak Lah kepada Ketua-Ketua Bahagian UMNO (sebelum Perhimpunan Agung UMNO tahun lepas), sesuatu yang Dr. Mahathir sendiri tidak pernah lakukan (secara terbuka) dahulu. Bagi UMNO dan BN wang negara ini adalah hak mutlak mereka dan mak bapa mereka dan dengan itu boleh diperlakukan apa saja tanpa ada pertanggungjawaban kepada rakyat.

Tradisi Menipu Rakyat ini telah lama mereka amalkan dan jika rakyat dapat tahu penipuan mereka, maka media yang mereka kawal digunakan sepenuhnya untuk “spin” cerita supaya imej mereka akan sentiasa terpelihara. Lihat saja janji mereka ketika membentangkan belanjawan tahun lepas bahawa kerajaan telah memansuhkan yuran persekolahan dan kini (menurut Hishamuddin) Malaysia adalah antara negara istimewa yang memberikan pendidikan percuma kepada rakyatnya. Banyak pihak menyambut baik pengumuman ini dan di Dewan Rakyat tepukan gemuruh diberikan kepada Pak Lah. Suasana “feel good” ini hanya bertahan sehingga akhir Disember, kerana sebaik saja ibubapa mula mendaftar persekolahan anak masing-masing pada awal Januari, mereka semua terkejut beruk. Apa yang mereka alami berbeda daripada “indah khabar” Pak Lah yakni yuran percuma yang didakwa itu hanyalah yuran persekolah RM4.50 untuk sekolah rendah dan RM9.00 untuk sekolah menengah sedangkan yuran-yuran lain yang lebih besar tetap perlu dilunaskan. Malah kesengsaraan mereka makin bertambah apabila mendapati jumlah yuran sebenarnya meningkat daripada tahun lepas dengan pengenalan pelbagai yuran baru termasuk yuran tandas!

Kepincangan yang berterusan dan acapkalinya berulang-ulang menandakan ketidakprihatinan mereka kepada kehendak rakyat. Dan apabila rakyat bangun memprotes, mereka bersandiwara kononnya itu kelemahan kakitangan pihak itu dan ini atau kesilapan media, atau menggunakan media untuk memuntahkan pelbagai statistik yang “menyokong” segala program mereka. Strategi penipuan ini telah lama mereka lakukan dan mereka berkeyakinan penuh rakyat akan mudah digula-gulakan dengan pelbagai cerita menarik dan dengan itu akan berterusan memberi sokongan kepada kerajaan UMNO dan BN. Sebagai contoh, isu pembelajaran Sains dan Matematik menggunakan bahasa Inggeris di sekolah. Walaupun pelbagai pihak menyuarakan bantahan termasuk parti-parti politik, badan-badan bukan kerajaan, para cendiakawan, malah ibubapa dan guru-guru sendiri tetapi mereka tetap berdegil meneruskannya. Justeru itu, apabila didapati ramai pelajar telah merosot pencapaian mereka terutama yang di luar bandar, mereka bukan menukar semula ke bahasa Melayu tetapi sebaliknya merendahkan gred kelulusan semata-mata untuk menunjukkan pencapaian pelajar adalah munasabah. Begitu juga apabila didapati Pengerusi SPR akan tamat tempoh perkhidmatan akhir tahun lepas, bukan mereka usahakan mencari penggantinya yang lebih berwibawa sebaliknya mereka sanggup merubah perlembagaan negara semata-mata untuk meneruskan khidmat Rashid. Ini kerana mereka tahu Yang DiPertuan Agong tidak akan menyambung khidmat Rashid yang terkenal dengan pembohongan dan tukang bodek UMNO nombor satu, dan BN amat memerlukan Rashid bagi memenangkan (yakni tukang tipu) mereka di dalam pilihanraya umum akan datang.

Saya boleh menyenaraikan berpuluh-puluh lagi sandiwara UMNO yang di depan rakyat nampak manis dan menarik sekali tetapi hakikatnya buruk dan memualkan. Ini belum termasuk lakonan Najib Altantunya yang bercakap bab mesjid dan Islam apabila di Kelantan dan Terengganu dan bercerita bab fulus dan bagaimana nak layani Suruhanjaya DiRaja apabila bertemu Vincent Tan di Hotel Orchard Singapura pada hari Krismas yang lepas. Selagi rakyat mahu mempercayai gelagat penyangak pemimpin dan kroni UMNO maka selagi itulah media mereka akan berjaya menipu kita. Mari kita buat-buat buta dan pekak kepada apa saja cerita dan dongeng mereka mulai sekarang sehingga hari mengundi dan menetapkan fikiran kita HANYA AKAN MENGUNDI SELAIN DARIPADA BN walaupun calun pembangkang daripada pokok pisang sekali pun pada pilihanraya umum akan datang. Dengan cara ini saja kita boleh sampaikan mesej kepada UMNO dan BN bahawa “we are not amused with your charade” atau dalam perkataan lain “boleh jalan daaaa….”.

Anak Bapa: Di zaman ICT ni kita lihat pimpinan UMNO dan BN semakin hari semakin menjadi tidak relevan, dah sampai peringkat jadi dinosaur, hanya sesuai di muzium atau diawet jadi keras macam batu. Tok sah dok percaya cakap mereka, semuanya penipu dan terselit dengan semua jenis kepentingan diri dan kroni mereka. Dah berpuluh-puluh kali kena tipu takkan nak biar kena tipu lagi. Jangan jadi bodoh, beranikan diri dan buat perubahan.

No comments: