Saturday, May 2, 2009

Perihal Mi Celup, Mi Goreng dan Mi Maggi


Perbincangan minggu ini di ‘blogsphere’ amat menyelerakan. Apa taknya, cerita makan! Ceritanya bermula dengan salah seorang sahabat blogger kita mengisahkan mengenai golongan mi celup, yang merujuk kepada golongan yang berlagak pandai dalam sesuatu bidang padahal hakikatnya tidak begitu. Saya tak nak mengupas lebih lanjut mengenai dakwaan ini tetapi lebih berminat nak komen mengenai cerita mi celup atau mi-mi lain yang sewaktu dengannya.

Jikalau kita kaji cerita mi ni, kita akan dapati makanan jenis ni sebenarnya bukan berasal dari makanan orang-orang Melayu. Ia diciplak daripada masakan orang-orang Cina. Dalam erti kata lain, mi ini terlebih dahulu bertahalluf dengan masakan orang-orang Melayu beratus tahun yang lalu dengan pendekatan ‘tahalluf ta’ami’. Walaupun orang-orang Melayu beragama Islam ketika itu, mereka tidak menolak bentuk makanan yang asing daripada makanan orang-orang Melayu asalkan ianya halal dan baik (halalan tayyiban) dan tambah lagi, sedap. Mereka tidak pula berkata yang makanan ini boleh menjejas ketuanan Melayu dan perlu ditentang habis-habisan. Manakala orang-orang Cina pula tidak berkata bahawa makanan ini adalah hak mutlak mereka dan orang lain tidak berhak meniru atau menciplak makanan tradisi kecinaan mereka. Mereka dengan besar hati meraikan ‘fusion’ atau muhibbah makanan ini dengan tangan terbuka. Hasil daripada tahalluf ini kita dapati hari ini bermacam-macam variasi mi yang wujud, yang bukan saja dimasak oleh orang-orang Melayu, malah juga dari kalangan orang-orang India. Kita tengok ada mi goreng, mi rebus, mi sup, mi kuah, mi udang, mi ketam, mi kari, mi bandung, mi hailam, mi kungfu, mi kantonis, mi segera dan berpuluh-puluh jenis mi lagi di pasaran yang naik bingung kita memilihnya.

Mi celup ni sebenarnya proses penyediaan kebanyakan daripada jenis masakan mi di atas. Ia melibatkan proses merendamkan mi mentah yang kuning tu sebentar di dalam air mendidih sebelum dihidangan dengan kuah dan ramuannya. Mi mentah ini tidak dimasak bersama dengan ramuan dan kuah kerana dibimbangi ia jadi lembik atau ‘soggy’ atau silap-silap jadi bubur. Maknanya peranan mi celup sangat penting. Tanpa mi celup ini, kita tidak akan dapat merasai kelazatan kebanyakan jenis mi yang telah disebutkan sebelum ini. Ia menjadi mi celup bukan kerana ia tidak berkemampuan untuk jadi mi goreng atau sebagainya tetapi kerana peranannya diperlukan menjadi mi celup pada ketika ini. Mi celup bersedia berkorban dengan hanya menjadi mi celup agar kita yang memakannya akan dapat merasai kesedapan maksima daripada masakan ini. Takkan selepas menikmati masakan mi yang lazat ini kita kutuk habis-habis mi celup pula!

Seperkara lagi, apa yang tak kena dengan mi celup ni? Ia hanya melaksanakan tugas mengikut displin yang telah dianugerahkan kepadanya sebagai mi celup. Takkan kita nak suruh mi celup jadi mi goring atau mi maggi pula? Habislah selera kita dan silap haribulan tutup habis gerai-gerai mi sebab mi celup dah mogok dan menyamar sebagi mi-mi lain!

Kisah mi goreng ni pun agak menarik. Kita akui mi goreng ni bukan jenis mi celup kerana dia jenis dimasak lama dengan ramuannya. Itu jika kita nak lihat kepada perbedaannya. Dari segi persamaannya pun agak banyak terutama asal usul mi goreng ini, ia adalah sama dengan mi celup diperbuat daripada mi kuning. Dan mi celup jikalau nak digunakan untuk mi goreng pun memang boleh tetapi kalau mi goreng nak dibuat mi celup mungkin ada masalah sikit.

Satu lagi jenis mi yang unik ialah mi segera terutama mi maggi. Mi jenis ni bukan saja terkenal di kalangan orang-orang dewasa, ia juga terkenal di kalangan pelajar termasuk pelajar-pelajar bakal ustaz kita di dalam dan luar negara. Semasa saya belajar bahasa Arab selama setahun di Jordan dahulu, saya dapati hampir setiap rumah ustaz-ustaz kita mesti ada stok mee maggi ni. Saya tak kata mi ni tak boleh dimakan. Saya cuma ingin berbicara mengenai mi istimewa ini dan kenapa ia begitu terkenal. Pertama, mi jenis ini sangat murah dan mudah didapati di pasaran. Bungkusannya amat menarik dan iklannya amat mengasyikkan, ‘Cepat dimasak Sedap dimakan’ boleh menawan hati sesiapa saja terutama yang jenis malas memasak. Hasil daripada pendekatan pemasaran yang menarik inilah kita dapati mee maggi begitu terkenal dan menghasilkan keuntungan puluhan jutaan ringgit kepada Syarikat Nestle. Tetapi jangan lupa bahawa mee jenis segera ini dipenuhi dengan pelbagai jenis bahan kimia dan ‘taste enhancer’ bertujuan menyedapkan makanan secara tidak asli. Jenis makanan ini pada jangka panjang akan tetap memudaratkan si pengguna yang sentiasa memakannya. Jadi kita perlu berhati-hati kepada jenis mi segera ini, nampak cantik bungkusannya, sedap dan menyelerakan tetapi akhirnya mungkin boleh meracunkan kita. Fikir-fikirkanlah ………

Anak Bapa: Walaupun ada pelbagai jenis mi di pasaran, kita tak lihat mereka bergaduh sesama sendiri dengan dakwaan ia lebih baik daripada yang lain kerana mereka sedar peranan masing-masing dan semuanya berguna kecuali mee segera?

3 comments:

mudin001 said...

Saya suka kesimpulan Anak Bapa. :)

Salam.

Listrik said...

Apalah 'uncle' kupas pasal 'mee' ni.
Ini bukan isu pokok yang sebenarnya.

Kupas lah isu pokok nya.

Anonymous said...

wah nampak best sangat mi maggi tu!
boleh join dah ni peraduan maggi http://www.maggi.com.my/myway/