Tuesday, September 8, 2009

Setahun Berlalu .........



Kata orang masa adalah penawar paling mujarab dalam menyembuh segala jenis penyakit terutama penyakit yang tidak ada ubatnya. Tentu kenyataan ini ada yang pertikaikan kerana mengikut hadis Nabi saw “semua penyakit ada ubat kecuali tua dan mati”. Jikalau begitu Anak Bapa tarik balik kenyataan di atas dan menggantikan dengan penyakit yang paling payah nak cari penawar iaitu penyakit pilu dan rindu.

Hari ini genap sudah 1 tahun pemergian puteri tersayang Anak Bapa, Siti Hajar. Pada 8 Ramadan tahun lepas bersamaan 7 September 2009, ketika umat Islam sedang sibuk mengerjakan solat tarawih, Kakak pergi dengan tenang meninggalkan kita buat selama-lamanya di dunia fana ini. Sepanjang setahun yang lepas kami sekeluarga setiap hari terpaksa berhadapan dengan hakikat bahawa Kakak ”pergi tak kembali” lagi. Wajahnya, tingkah lakunya, tutur bicaranya sentiasa menghiasi kehidupan keluarga kami seolah-olah Kakak sentiasa di sisi kami dan tak pernah pun meninggalkan kami. Acapkali kami kembali ke rumah asal di Kelana Jaya pada hujung minggu, kesuraman tetap terasa dan kerinduan terus memukul kalbu. Tetapi apakan daya, Allah swt lebih mengetahui dan lebih bijaksana. KetentuanNya jauh lebih adil dan bijak daripada perancangan dan kehendak makhluk.

Kesyukuran yang amat sangat ke hadrat Allah swt kerana memberi kekuatan kami sekeluarga dalam menghadapi ujian yang amat berat ini. Alhamdulillah kami berjaya setakat ini menghadapi ujian ini, malah ia dapat pula dijadikan pengiktibaran kepada anak-anak yang masih tinggal. Anak Bapa seringkali mengingatkan ahli keluarga bahawa betapa istimewanya Kakak dan keistimewaan itu adalah kerana kehidupannya sentiasa berlandaskan Islam. Dan jika sekiranya kita sayang antara satu sama lain dan ingin dibangkitkan bersama di akhirat nanti maka kehidupan Kakak perlu dijadikan contoh dan diikuti. Ketika hidup dahulu, Kakak sentiasa menjaga ibadatnya terutama solat Tahajjud, menjaga aurat dan kehormatan, suka membantu rakan dan orang lain, tidak terikat dengan kemewahan dan perhiasan duniawi, benci kepada perkara mungkar (malah untuk belajar di UIA pun dia tak mahu ambik pinjaman kerana ada unsur riba’), menegur perkara yang dianggap mungkar (seperti bapa-bapa saudaranya yang kaki perokok) dan pelbagai lagi ciri-ciri makruf lain yang terpancar dari kehidupannya.

Ada satu ciri yang seringkali menyentuh perasaan Anak Bapa apabila mengenangkannya, iaitu betapa sayang dan manjanya beliau kepada Anak Bapa. Selaku anak sulong, sifat manja keanak-anakkan tetap terserlah setiap kali bertemu Anak Bapa. Apabila ada teguran daripada Anak Bapa, Kakak akan spontan menjawab ”yes daddy” dengan nada yang penuh jenaka dan menghiburkan. Anak Bapa seringkali menalipon Kakak dan anak-anak lain waktu dekat-dekat Maghrib ketika mereka berada di Universiti masing-masing untuk bertanya khabar dan samada mereka sedang membuat persiapan untuk solat. Istimewanya Kakak ialah apabila habis bercakap, selang beberapa minit kemudian Anak Bapa akan menerima SMS daripadanya yang berbunyi ”You are the best dad in the whole world. Kakak saaaaayang ayah”. Begitulah kehidupan Kakak, tenang dan tabah dalam menghadapi segala kesukaran.

Anak Bapa masih ingat lagi ketika Kakak dibesarkan, berbanding dengan anak-anak yang lain, kehidupan Anak Bapa agak susah dan dengan itu Kakak pun terpaksa berpuas hati dengan keperluan hidup ala kadar. Tetapi beliau tak pernah merungut malah kehidupan yang serba sederhana ini telah menjadi sebati dengannya sehingga apabila kehidupan Anak Bapa agak mewah pun beliau masih lagi bersederhana dalam segala segi. Inilah kepiluan dan kerinduan yang ”I missed so much” tentang Kakak. Apa yang penting baginya ialah ilmu dan sumbangan kepada perjuangan Islam dan membantu sahabat dan rakan lain. Anak Bapa doakan anak-anak yang lain juga akan mewarisi sifat Kakak dan alhamdulillah adik perempuannya yang di UM dan adik lelaki yang di UIA pun dah mula nampak mengikuti jejak langkah Kakak kesayangan mereka.

Rakan-rakan Kakak daripada UIA dan Darul Ulum pun tak henti-henti mengunjungi kami dan bertanya khabar. Anak Bapa yakin mereka pun terasa kehilangan seorang sahabat dan pemimpin. Moga qudwah yang dibawa olek Kakak akan juga memberi semangat dan pedoman kepada mereka dalam menjejaki kehidupan seharian mereka. Pada kami sekeluarga pula, pemergian Kakak sebenarnya mengukuhkan lagi komitmen dan kesedaran betapa kerdilnya kita insan ini dan betapa kehidupan sebenar adalah disisi Allah swt kelak. InsyAllah kami sekeluarga berjanji akan terus tabah dan akan menjadikan pemergian Kakak sebagai sumber inspirasi kepada kami dan mereka-mereka yang bersama dengan kami dalam menjejaki kehidupan berlandaskan marzatillah ini selagi mana hayat di kandung badan.

Anak Bapa: Sayang anak tangan-tangankan, sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang Kakak ............ (Allah saja yang tahu) .......

2 comments:

husna rosli said...

assalamu'alaikum p.cik idzham..
ni husna, anak en rosli.dlu tggl di kj jiran p.cik awg bakar.
firstnye,husna nk mntk maaf dekat p.cik sekeluagra t'utamanya kat m.cik sbb smnjk arwah k.hajar pergi, husna xprnh lg ziarah kuarga p.cik..maaf sgt2.
smmgnye bnyk kngan dgn arwah k.hajar yg husna xleh nk lupekn..
pertama kali approach arwah untuk join jemaah di mtrik,jd naqibah arwah wlupun dri ini mmg xlyk nk dbandingkn dgn arwah k.hajar yg bnyk sgt bimbing dri ni..dari sekecik2 p'kara shinggalah ke sebesar2 p'kara,arwah slalu ingatkn husna.x kirelah dr bab pakaian atau perjuangan..husna sgt2 rindukan k.hajar..tak sangka pertemuan smasa tamrin d tanjung karang adlh pertemuan t'akhir husna dgn k.hajar.usai tamrin,kami blik b'sama ke pj sambil b'cerita mengenai hal msing2.arwah ad selitkan psl p.cik.dr raut wajahny,husna tahu die sgt kagumkn p.cik..tahniah p.cik sbb m'punyai anak sprti k.hajar..t'ingat waktu kecik2 dlu ms family msih tinggal d kj..klu ade usrah,pru o ceramah y melibatkn cwgn kj,msti jumpe anak2 p.cik dan anak2 ayah y lain..rindu sgt zmn tu..
akhir kalam,smg p.cik dan keluarga sntiasa tabah m'hdapi ujian Allah ini.smpikn slm husna pd m.cik,sarah n y lain..allah yubarik fik..

Anonymous said...

Kita semua amat menyayangi dan merindui Allahyarham. Doa kita semoga ruh beliau dicucuri rahmat Allat sentiasa dan digolongkan di kalangan hambaNya yang solihin.

Anak Bapa