Saturday, November 6, 2010

Apa Ertinya Kekalahan Di Galas Dan Batu Sapi


Keputusan PRK Galas dan Batu Sapi telah pun kita semua ketahui, BN menang 2-0.

Anak Bapa tak berminat nak hurai panjang lebar perkara ini kerana kita semua boleh baca pelbagai ulasan dan komen dari pelbagai pihak sebab-sebab kekalahan PR dan kemenangan BN. Anak Bapa juga yakin, sebagaimana biasa, PR akan membuat “post-mortem” berhubung kekalahan mereka agar gerak kerja pilihanraya hadapan akan lebih kemas dan teratur.

Cuma apa yang ingin kita perkatakan di sini ialah perjalanan PRK kali ini mendedahkan beberapa aspek tentang PR yang agak membimbangkan. Biarlah UMNO dan BN terjun dengan “labu-labu” mereka, kita peduli apa. Tetapi PR yang menjadi harapan rakyat perlu memberi perhatian serius kepada beberapa perkara penting jika Putrajaya masih menjadi idaman dan agenda kita.

Kita perlu ingat bahawa rakyat memilih kita dalam PRU ke 12 kerana inginkan perubahan. Perubahan di sini bermaksud kepada kehidupan yang lebih baik dari apa yang mereka nikmati sekarang. Ini meliputi bukan saja kehidupan beragama mereka tetapi ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya.

Pimpinan PR perlu mempastikan bahawa perubahan ke arah kebaikan ini berlaku terus walau pun berdikit-dikit. Persoalannya adakah fenomena perubahan berdikit-dikit ini terus berlaku di negeri-negeri PR? Kita tahu pengaruh besar kerajaan persekutuan ke atas pentadbiran negeri-negeri. Tetapi jangan jadikan itu alasan untuk tidak berbuat apa-apa untuk kesejahteraan dan kemajuan rakyat.

Sebagai contoh, isu berkaitan geran tanah kepada orang-orang asli di Galas. Wajarkah kita berhujah bahawa sebab fail hilang ketika Ku Li keluar Semangat 46 dan masuk UMNO dulu menyebabkan hak milik tanah tidak dapat diproses? Tuduhan tidak “gentleman” dan alasan yang rapuh begini menyebabkan rakyat bosan kerana jika dah tahu fail hilang, buatlah ganti segera. Jika kaedah yang sedia ada agak lambat dan birokratik, ubahlah kepada kaedah yang lebih efisyen. Bukankah itu tujuan rakyat memberi mandat dan kuasa kepada kita sebagai pemerintah?

Anak Bapa teringat dulu ketika kita memerintah Terengganu, apabila didapati ukur tanah agak lambat untuk memproses permohonan tanah rakyat maka kerajaan negeri memutuskan mengupah juru ukur swasta untuk mempercepatkan proses berkenaan. Jika ini boleh dibuat di Terengganu kenapa ia tidak boleh dibuat di Kelantan? Apa yang perlu ialah kreativiti dan “political will” untuk melaksanakan tugas dengan lebih baik dan cekap.

Kita mungkin ada masa lagi sebelum menghadapai PRU ke 13. Jadi segeralah pakat bangun semua pimpinan PR daripada tidur lena bagi menghadapi kenyataan bahawa kita masih lagi di takuk lama. Anak Bapa yakin rakyat masih meluat dengan UMNO/BN tetapi dalam masa yang sama mereka juga tertanya-tanya “mampukah pimpinan PR memerintah Malaysia jika kami beri mereka peluang?” Sama-samalah kita jawab dengan tindakan dan gerak kerja kita mulai sekarang.

Anak Bapa: Bila fikir-fikir balik, bagus juga kita kalah di Galas dan Batu Sapi baru-baru ini…

No comments: