Sunday, November 14, 2010

PAS Perlu Jauh Lebih Baik Daripada UMNO


Anak Bapa berkesempatan menghadiri Seminar “PAS Sedia Ganti UMNO” di Shah Alam semalam. Baguslah seminar yang macam ini, dan lagi pun ini bukan kali pertama PAS menganjurkan seminar. Cuma persoalan yang penting ialah apakah natijah daripada seminar sebegini dan bentuk tindakan susulannya?

Budaya “cakap serupa bikin” ini selaras dengan tuntutan Islam sendiri dan jika menjadi amalan pendokong parti, Anak Bapa yakin kita bukan setakat “sedia ganti UMNO” malah kita “parti harapan dan pergantungan rakyat Malaysia”.

Ada beberapa perkara yang agak menarik daripada siri ceramah dan forum yang diadakan semalam. Anak Bapa cuma ingin nak menyentuh satu aspek saja yang kelihatan menjadi tajuk utama perbincangan iaitu menyentuh isu kepimpinan.

PAS tidak ketandusan pemimpin yang hebat-hebat dan berwibawa tetapi mereka acapkali diselubungi awan gelap atau jerubu pemikiran jumud sesetengah pemimpin dan ahli. Sebagai contoh Dato’ Seri Nizar sendiri, yang tidak begitu dikenali sebelum ini telah menunjukkan kepimpinan yang luar biasa apabila diberi peluang.

Bersandarkan akhlak yang terpuji, pengorbanan yang tinggi, dan daya kepimpinan yang berwibawa, sebahagian besar pemimpin kita mampu melonjakkan parti ke arus perdana dan menjadi pilihan dalam menerajui kepimpinan negara dan dalam masa yang sama menenggelamkan terus bahtera UMNO dan BN.

Pemimpin yang hebat bukan sahaja berpendidikan tinggi, bijak dan berakhlak mulia tetapi mampu membawa penampilan segar demokrasi, keadilan dan kebajikan terhadap rakyat, dan bebas daripada unsur-unsur negatif terutama perkauman dan penyalahgunaan kuasa.

Kepimpinan tidak berdiri sendiri, yakni atas kekuatan individu semata tetapi berasaskan sistem kolektif atau syura. Itu sebabnya kenapa keputusan yang dicapai dalam muktamar (badan tertinggi dalam PAS) dan pimpinan pusat perlu dihayati dan diterjemahkan segera dalam bentuk tindakan yang konkrit dan bersepadu.

Perbedaan penampilan dan pendekatan antara pemimpin adalah sesuatu yang biasa, dan sepatutnya digalakkan. Ini menunjukkan kehebatan parti kita yang sentiasa terbuka dan meraikan perbezaan dan bukan parti “kepura-puraan” atau anti-fitrah. Tetapi apa yang pasti tindak-tanduk mereka tidak lari daripada paksi yang digariskan oleh muktamar dan PAS Pusat.
Sebagai contoh, kita lihat keputusan dua Muktamar Agong PAS sebelum ini yang menekankan perlunya “memperkukuhkan” Pakatan Rakyat yang parti komponennya terdiri daripada PAS, PKR dan DAP. Sampai hari ini ada lagi segelintir pemimpin atasan yang tak selesa dengan DAP dan menggunakan forum yang tidak sesuai untuk meluahkan kebimbangan dan ketidakselesaan mereka. Tindakan tidak cerdik sebegini dibimbangi akan disanggah oleh pemimpin lain yang berpegang teguh kepada keputusan syura (muktamar) dan fenomena ini akan berakhir dengan perpecahan parti dan kelemahan.

Anak Bapa berpandangan sudah tiba masanya kita meyakinkan minda masing-masing bahawa PAS adalah jauh jauh lebih baik daripada UMNO dalam apa segi sekali pun. Lantaran itu kita sama-sama pilih pemimpin yang mampu dan layak bukan sahaja yang akan menjadi PEMIMPIN KEPADA ORANG-ORANG PAS TETAPI PEMIMPIN KEPADA SELURUH RAKYAT MALAYSIA!

Anak Bapa: Dah lama dah anggap PAS jauh lebih baik daripada UMNO ……….

No comments: