Tuesday, March 27, 2012

Isu Pengharaman Pembelian Minyak Mentah Iran: Kemunafikan UMNO Terserlah


Negara-negara yang paling benci terhadap Iran ialah Amerika dan Israel. Kebencian ini dipertontonkan di muka dunia sejak Ayatollah Ruhollah Khomeini beserta rakyat Iran berjaya menumbangkan kerajaan Shah Mohammad Reza Pahlavi, kerajaan boneka Amerika, pada Disember 1979. Sejak itu permusuhan mereka terhadap Iran tak pernah kunjung padam.


Kejayaan Iran memajukan industri teknologi nuklear menjadikan negara-negara tersebut bertambah bimbang dan sakit hati. Pelbagai usaha telah mereka lakukan samada secara bersendirian atau dengan memperalatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi menekan Iran supaya tunduk kepada kehendak mereka.


Selain daripada melancarkan sekatan dagangan ke atas Iran, Amerika dan sekutunya telah melakukan pelbagai sabotaj ketenteraan terhadap Iran termasuk menggunakan Iraq untuk melancarkan perang proksi ke atas Iran di era Saddam Hussein dahulu yang menyebabkan kematian dan kesengsaraan besar ke atas umat Islam kedua-dua negara.


Hujah rasmi mereka adalah mudah, Iran membahayakan kestabilan rantau tersebut dengan pembangunan program senjata nuklear mereka. Walaupun dakwaan ini tidak mempunyai bukti yang kukuh, sebagaimana bukti tentang program senjata biologi dan kimia Iraq dahulu, ditambah pula dengan penafian berulang kali daripada kerajaan Iran betapa teknologi nuklear yang mereka sedang bangunkan adalah untuk tujuan keamanan, Amerika dan Israel tetap berkeras bahawa Iran sedang membangunkan senjata nuklear secara rahsia.


Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sendiri mengakui bahawa tidak ada sebarang bukti kukuh untuk mensabitkan Iran dengan pembangunan teknologi senjata nuklear dan setakat ini siasatan yang mereka lakukan menunjukkan bahawa Iran mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh agensi berkenaan.


Teknologi nuklear bukan hak mutlak mana-mana negara tak kira samada Amerika atau Israel. Negara mana pun berhak memajukannya. Malahan pembangunan teknologi senjata nuklear sendiri adalah bukan hak mutlak Amerika dan Israel. Di Israel hari ini dilaporkan terdapat banyak peledak senjata nuklear (nuclear warheads) yang tidak pernah dipantau oleh IAEA. Ini belum lagi dikira senjata yang serupa di Amerika dan Rusia. Tetapi tiada sebarang tindakan dibuat untuk mengawal negara-negara ini.


Sekarang mereka pula nak membuli negara yang sedang berjinak dengan teknologi berkaitan. Siapa yang beri hak kepada mereka untuk berbuat demikian? Keselamatan dunia hanya boleh dicapai dengan muafakat dan berbaik-baik sesama negara dan bukan tindakan membuli dan tunjuk samseng. Keadaan akan menjadi lebih gawat lagi apabila negara-negara “berkecuali” lain turut serta menyokong Amerika dan Israel membuli Iran.


Ini adalah hakikatnya apa yang sedang berlaku hari ini. Langkah terbaru Amerika dan sekutunya memboikot perdagangan dengan Iran telah turut disambut dengan mesra oleh Malaysia dengan pengharaman pembelian minyak mentah Iran. Walaupun suatu ketika dahulu apabila didakwa perkara ini, Najib menafikannya tetapi kini mereka mengesahkannya.


Apa hujah tindakan ini? Sebab Amerika suruh? Atau Israel paksa? Di tanah air, mereka berdegar-degar bercakap mengenai perjuangan rakyat Palestin dan kekejaman Israel tetapi dalam nafas yang sama mereka cuba mensabotaj ekonomi negara Islam yang paling kuat menyokong Palestin dan musuh utama Israel.


Jelas kemunafikan Najib dan UMNO dalam isu berkaitan Israel. Mereka sebenarnya hamba yang setia kepada tuan Amerika (baca Zionis Israel) mereka. Mereka sanggup berbelanja jutaan ringgit semata-mata nak buat temujanji dengan Presiden Amerika. Mereka sanggup mengadakan pertemuan dengan pimpinan Israel dan berbalas surat dengan mereka bagi menjaga hati tuan-tuan mereka di saat umat Islam Palestin ditindas dan dizalimi. Ketika Malaysia menjadi anggota Majlis Keselamatan PBB dahulu mereka menyokong Amerika dengan mengundi menyokong serangan ke atas Iraq. Malah dagangan kerajaan UMNO/BN dengan Israel telah berterusan sejak sekian lama sehingga hari ini.


Di Malaysia, UMNO mengambil APCO, syarikat pakar “komunikasi korporat" yang dipelopori oleh pemimpin Zionis Israel untuk membantu mereka mengekalkan kuasa. Rakyat pula dihidangkan dengan fitnah dan berita palsu saban hari bahawa Dato’ Seri Anwar dan pimpinan PR adalah agen Israel sebenar. Demonstrasi tajaan UMNO diadakan berulang kali untuk kononnya membantah sikap pemimpin PR.


Rakyat kena bijak dalam isu ini. Fakta yang ada jelas menunjukkan bahawa UMNO/BN memang talibarut Amerika dan Israel. Jangan terpedaya dengan kemunafikan mereka. Mereka telah sering menipu rakyat dalam semua hal. Apakah yang menghalang mereka daripada menipu kita lagi dalam isu Palestin dan Israel?


Anak Bapa: Dah lama tak percayakan UMNO dan BN. Sokong ABU (Asalkan Bukan UMNO).

1 comment:

Blog Politikus said...

Salam. Mohon bertukar link dengan blog sahabat kami http://blogpolitikus.blogspot.com/