Friday, September 28, 2007

Satu Untuk Aku, Satu Untuk Engkau .....

Kemelut yang melanda negara akhir-akhir ini membuat kita tertanya-tanya apa sebenarnya yang berada di dalam benak fikiran pemimpin-pemimpin negara.

Selepas mereka mewarisi legasi rasuah dan korupsi bernilai ribuan juta ringgit banyaknya sejak zaman berzaman lagi, mereka tidak serik untuk terus melakukannya malah dengan angka yang lebih besar! Jikalau di zaman Tun Mahathir kita biasa mendengar skandal rasuah me
libatkan jumlah jutaan atau puluhan juta ringgit, kini kita sudah mula berjinak dengan angka rasuah ratusan malah ribuan juta ringgit pula. Jikalau dulu kaum keluarga pemimpin buat “bisnes” cara diam-diam, kini mereka begitu berani isytihar secara terang-terangan. Saya tertarik dengan komen Tunku Aziz Ibrahim, Presiden Integrity Institute of Malaysia semalam apabila membicarakan tentang isu rasuah di Malaysia. Kata beliau, “….. jika dulu apabila kita membicarakan rasuah, kita akan merujuk kepada Filipina dan Indonesia sebagai contoh bentuk rasuah yang telah berakar umbi (systemic corruption). Tetapi kini Malaysia pun dah setanding dengan mereka di dalam aspek rasuah tegar dan kita boleh menang tanpa perlu susah payah bersaing …..”. Skandal pembelian kapal selam Scopene, pesawat pejuang Sukhoi, projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Kelang (PKFTZ), dan sebagainya mengesahkan pandangan beliau dan juga pandangan kita betapa berleluasanya budaya rasuah di kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Saya berpandangan bahawa pemimpin-pemimpin BN ini tidak mungkin berjaya melakukan kerja-kerja terkutuk ini berseorangan. Mereka memerlukan teman seperjuangan (accomplice) atau kroni untuk menjayakan agenda mereka. Malah mengikut pengamatan saya, berani saya katakan bahawa di peringkat sesama parti komponen pun mereka dah mengatur “harta rampasan” masing-masing. Ini penting supaya semua dapat habuan masing-masing dan jikalau berlaku apa-apa skandal maka mereka akan “cover” satu sama lain. Itu sebab kenapa apabila ada pertuduhan ke atas mana-mana pemimpin BN, maka pemimpin BN dari parti komponen yang lain akan cepat-cepat melindunginya atau menutup mulut masing-masing. Dan jika ada pemimpin bawahan yang cuba mengungkit-ungkit tentang mana-mana skandal yang melibatkan pemimpin atasan mereka, maka dengan sepantas kilat dia akan “didiamkan”. Tengok saja kes Samy Vellu berhubung projek MRR2 dan siling bocor. Membisu seribu bahasa pemimpin BN lain walaupun kes ini cukup terang dan nyata. Dan tentang isu PKFTZ ini pun semuanya senyap sunyi kecuali sedikit ngomelan daripada Shahril Samad. Saya yakin dia pun akan “didiamkan” tidak lama lagi. Perkongsian sulit atau kolusi (collution) pemerintah hari ini tidak terhad sesama parti komponen BN tetapi lebih serius lagi, juga melibatkan pegawai kerajaan dan golongan korporat.

Apabila skandal Lingamgate (yakni pendedahan pita video VK Lingam) terburai di hadapan mata rakyat, kecurigaan kita selama ini berhubung kolusi antara pemimpin BN, pegawai kerajaan da
n golongan korporat bertukar menjadi kenyataan. Kita memang dah bertahun mengesyaki bahawa pemimpin BN sentiasa bekerjasama dan lindung melindungi sesama mereka di dalam melakukan kerja-kerja kotor ini. Pihak korporat akan membuat cadangan projek-projek mega atau tawaran bisnes (business deal) yang menarik dengan janji “bahagian” yang lumayan kepada pemimpin BN dan pegawai-pegawai kerajaan bagi meluluskannya. Di dalam proses perlaksanaan projek atau “business deal” tersebut, acapkali akan berlaku pertembungan atau perlanggaran peraturan atau undang-undang (kerja-kerja jahat memang tak mengikut peraturan pun!). Apabila keadaan ini timbul, maka pihak keselamatan, peguam negara dan hakim akan dikerah untuk mempastikan semua berjalan lancar (demi untuk negara!). Lihat saja isu Air Molek, perbicaraan Anwar, skandal Zakaria Deros dan banyak lagi skandal-skandal lain. Itu sebab mengapa pemimpin yang ada akan sentiasa mempastikan pegawai-pegawai kerajaan dan kehakiman terdiri daripada balaci-balaci mereka. Dan memang tidak memeranjatkan apabila Lingam, selaku orang kanan Vincent Tan (korporat) bersekongkol dengan Tengku Adnan (pemimpin BN) dalam menyusun hakin-hakim “mereka” di peringkat tertinggi manakala hakim-hakim yang tidak rela “dilacurkan” oleh UMNO akan diketepikan.

Saya bersetuju dengan Majlis Peguam bahawa klip video ini merupakan bukti “smoking gun” betapa anggapan kita selama ni berhubung kehancuran sistem kehakiman negara yan
g bermula sejak pemecatan Tun Salleh Abas benar-benar berlaku dan akan terus membarah jikalau sesuatu tindakan yang drastik tidak diambil. Sebarang usaha “melepas batuk di tangga” (seperti alasan dangkal dan tidak berotak Nazri Aziz) tidak akan mampu menyekat kehancurannya dan saya secara peribadi berkeyakinan hanya dengan menghancurkan UMNO/BN saja baru kita akan dapat melaksanakan pembaharuan di negara kita ini. Ini pandangan saya sejak tamat belajar pada tahun 1984 dan akan terus menjadi pandangan saya sampai bila-bila.

Anak Bapa: Perumpamaan orang yang nak baiki UMNO ni macam cerita nak baiki kereta buruk yang dah berkarat. Kalau disental sekuat mana pun kereta tu tak akan berkilat malah silap-silap berderai hancur karat besi. Kalau nak diketuk atau tampal badan kereta dengan besi baru pun rasanya tak mungkin berjaya kerana tak tertampung oleh karat. Jadi pilihan yang ada ialah samada jual kat besi buruk RM1.20 sekilo atau tolak ke dalam laut buat tukun ikan!

Wednesday, September 26, 2007

Our Lawyers In Action At Putrajaya

Photos of Our Lawyers' March From the Palace of "In"Justice to Pak Lah's Office on Wednesday September 26, 2007 to Submit a Memorandum Regarding VK Lingam's Video Clip




Calm before the storm.....



From the distance, the real storm is really brewing.....


The arrival of the messengers of justice.....

"They" are equally as busy.....


Understood to be one of the biggest gatherings by our lawyers..... kudos.....


The sky is sharing our mourns and glooms.....

The usual pleasant reception..... but no live bullets this time.....


The first step in the Walk For Justice..... with many more to come.....

Ultimately, Justice must prevail.....




Tuesday, September 25, 2007

Kewibawaan Seorang Presiden

Ketibaan Presiden Iran, Ahmadenejad di Amerika dua hari lepas menjadi begitu kontroversial walaupun beliau bukan ke sana untuk melawat bumi Uncle Sam tersebut. Hal ini tidaklah menghairankan kerana Ahmadenejad adalah satu-satunya pemimpin dunia yang mampu dan berani berdepan dengan satu-satunya kuasa besar dunia yang tinggal. Kehebatannya berpidato dan berhujah menambah lagi nilai berita (news worthiness) pemimpin ini dan meletakkannya sebaris dengan Bush di muka depan akhbar-akhbar utama dunia.

Sebaik saja telah disahkan bahawa Presiden Iran itu akan ke New York untuk berucap di PBB, maka beberapa institusi di Amerika berebut-rebut untuk menjemputnya sebagai tetamu mereka. Keghairahan mereka menjemput Ahmadenejad ini sedia kita fahami dan tentulah bukan kerana Presiden Iran ini seorang yang sangat dikasihi dan dirindui rakyat Amerika. Minat mereka yang mendalam terhadap Presiden Iran ini adalah lebih kepada “keceluparan” mulutnya di dalam mengkritik dasar-dasar Amerika dan Israel. Institusi-institusi ini berpandangan bahawa ini peluang terbaik mereka untuk “meratah dan melanyak” Ahmadenejad habis-habisan secara langsung di hadapan khalayak ramai. Tetapi kadangkala perancangan manusia ini banyak kecacatannya. Niat awal mereka untuk memburuk-burukkan Ahmadenejad telah bertukar menjadi sebaliknya hasil daripada ketokohan dan kewibawaan Presiden Iran ini di dalam berinteraksi dengan mereka.

Majlis pertama Ahmadenejad ialah siaran langsung “videoconferencing” anjuran National Press Club of America (NPC) berpusat di Washington DC. Presiden NPC, Jerry Zremski menggunakan sepenuhnya sesi soal jawab untuk mengemukakan soalan-soalan yang sukar dan “brutal” kepada Ahmadenejad. Walaupun kita sedia maklum dengan jawapan Presiden Iran ini, tetapi cara beliau menjawab dan mengawal diri ketika diasak-asak bertubi-tubi oleh penganjur membayangkan kehebatan dan keistimewaan insan bernama Ahmadenejad ini.

Ketika di satu lagi majlis ucapan dan bersoal jawab dengan siswa Universiti Columbia di New York, sekali lagi Ahmadenejad mempamerkan “statesmanship’nya yang unggul. Pada permulaan majlis tersebut, Presiden Universiti Columbia Lee Bollinger telah menggunakan ucapan al
u-aluannya untuk menghina Ahmadenejad. Kata-kata seperti “diktator yang kejam”, “mengarut” dan “gemar membuat provokasi atau sememangnya tidak berpendidikan” telah dilemparkan kepada Ahmadenejad di hadapan khalayak ramai. Presiden Iran yang berucap selepas ucapan Bollinger, dengan tenang, membidas Presiden Universiti berkenaan dengan menyebut bahawa budaya masyarakat negaranya melayan tetamu dengan hormat dan sopan santun dan menasihatkan Bollinger supaya tidak terpengaruh dengan fitnah akhbar dan pemimpin politik mereka mengenai dirinya.

Jika kita lihat dengan teliti insiden ini, impaknya bagaikan satu pukulan maut kepada Amerika. Bayangkan sebuah negara yang mengaku begitu bertamadun memperlakukan tetamu jemputan mereka sebegitu rupa, dan di hadapan khalayak ramai! Sikap Bollinger ini telah dikritik dengan hebat oleh pengulas-pengulas politik Amerika dan juga rakyat Amerika sendiri. Melalui media dan laman web mereka bersependapat sikap sebegini akan memburukkan lagi reputasi Amerika dan menaikkan imej Ahmadenejad di mata dunia.

Isu Israel dan peristiwa “holocaust” menjadi tajuk utama persoalan. Presiden Iran dengan tenang menerangkan bahawa perisitwa ini perlu terus dikaji dari pelbagai perspektif kerana alasan peristiwa ini telah digunakan sewenang-wenangnya untuk menjustifikasikan tindakan Israel. Sebagaimana juga sains dan lain-lain aspek kehidupan lain, tidak ada satu pun yang mutlak, malah semuanya terdedah kepada kajian dan analisa yang berterusan. Ahmadenejad berpendapat bahawa kelainan perspektif di dalam kajian berhubung peristiwa “holocaust” perlu diraikan dan bukan dihukum seperti yang berlaku sekarang di Eropah. Beliau juga menambah walauapapun natijah daripada peristiwa hitam itu, tidak sewajarnya rakyat Palestin yang perlu menanggung akibatnya. Bukan salah rakyat Palestin menyebabkan berlaku peristiwa “holocaust” kerana ia berlaku di Eropah. Di Iran sendiri ada ramai orang Yahudi dan mereka dilayan dengan baik. Malah kerajaan Islam Iran memberikan hak istimewa melantik wakil mereka untuk duduk di parlimen walaupun kuota penduduk Yahudi kurang daripada sepatutnya. Ahmadenejad mencadangkan supaya rakyat Palestin (terdiri daripada umat Islam, Yahudi dan Kristian) diberi peluang menentukan sendiri nasib masa depan negara mereka melalui referendum yang adil dan sah.

Berhubung dengan isu nuklear, Presiden Iran menyatakan bahawa apa yang dibuat oleh Iran adalah sah dari segi undang-undang dan memenuhi haknya sebagai anggota IAEA. Peruntukan perlembagaan IAEA membenarkan anggotanya membangunkan tenaga nuklear untuk tujuan keamanan dengan syarat pengkayaan Uranium tidak melebihi 5%. Sehingga hari ini IAEA mengesahkan bahawa Iran tidak pernah melanggar mana-mana peraturannya. Ahmadenejad seterusnya membidas Amerika kerana cuba memonopoli teknologi nuclear dan berterusan membangunkan senjata nuklear yang jauh lebih merbahaya, dan dalam masa yang sama menghalang negara lain untuk memajukan teknologi yang sama untuk tujuan keamanan. Malah beliau beranggapan orang yang tidak waras sahaja yang menggunakan senjata nuklear untuk membunuh insan lain.

Isu penindasan ke atas kaum wanita juga menjadi isu panas. Ahmadenejad berkata bahawa 2 orang Naib Presiden Iran adalah wanita, 60% pelajar universiti-universiti di Iran adalah wanita, dan wanita memenuhi setiap jawatan utama di dalam kerajaan dan swasta. Malah di Iran sesuai dengan budaya Islam, wanita diberi tempat istimewa dan dicium tangan oleh anak-anak. Tidak timbul isu penindasan atau diskriminasi ke atas wanita di Iran.

Banyak lagi isu-isu lain yang diperbincangkan termasuk homoseksual, hukuman bunuh, sokongan Iran ke atas pengganas, dan lain-lain lagi. Ini pun telah dijawab dengan baik dan meyakinkan oleh Presiden Iran.

Dalam saya asyik menonton majlis tersebut secara langsung, hati saya benar-benar tercuit dan tersentuh dengan kehebatan dan kewibawaan Ahmadenejad. Beliau bukan saja menunjukkan keberanian mengunjungi negara yang menanggap dirinya sebagai musuh ketat Amerika dan berdailog secara terbuka dengan rakyat Amerika tanpa sekatan, tetapi juga beliau berdiri sebagai seorang Islam yang mewakili suara ummah seluruh dunia. Dengan ucapan beliau yang lantang bersandarkan ayat-ayat suci Al-Quran, berhemah di dalam berkata-kata dan penghujahan, dan kelembutan wajah walaupun ketika dihina dan nista, semuanya akan memberi kesan yang mendalam kepada imej Islam dan umat Islam di Amerika dan dunia. Semoga Allah swt memberi kekuatan dan keselamatan sentiasa kepada beliau.

Anak Bapa: Bila memperkatakan ketokohan Presiden Republik Islam Iran, saya cuba buat perbandingan dengan Perdana Menteri Islam Hadhari Malaysia di dalam menanggani isu antarabangsa yang mega hebat ini. Entahlah, mungkin saya salah. Tetapi saya yakin Pak Lah tidak mungkin dapat berhujah sebagaimana Ahmadenejad. Jangan kata isu antarabangsa, isu tempatan, contoh bab video Lingam, pun dia tak tahu nak jawab. Kalau setakat “Saya tak tahu” atau “Kita akan siasat” atau “zzzzzZZZZZZ” Pengerusi JKK kampong pun boleh jawab. Nasib! Nasib!

Monday, September 24, 2007

UMNO Bermaharajalela Di Kampus-Kampus

Ketika anak saya yang menuntut di Universiti Malaya (UM) dan yang lagi satu di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pulang ke rumah pada hampir setiap hujung minggu, saya berkesempatan berbual-bual mengenai perkembangan semasa keadaan di menara gading tempat mereka belajar. Bukan apa, kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita lihat tahap prestasi universiti-universiti tempatan begitu merosot sekali jiika dibandingan dengan universiti-universiti lain di luar negara. Pada suatu ketika dahulu Universiti Malaya, umpamanya, menduduki senarai 100 tangga terbaik universiti di dunia sebelum merosot tahun demi tahun dan sekarang khabarnya di tempat yang agak corot.

Kebimbangan saya ini bukan semata-mata berkaitan mutu pendidikan akademik yang bakal mereka terima tetapi yang lebih penting kualiti pendidikan dan pendedahan insaniah yang wujud di
persekitaran institusi pengajian tinggi ini. Kita sedia maklum bahawa institusi pengajian tinggi sebegini merupakan tempat persinggahan terakhir pelajar sebelum mereka terjun ke dalam masyarakat. Keupayaan dan penglibatan mereka di dalam pelbagai aktiviti sosial dan kemasyarakatan ketika di universiti, sebenarnya, banyak mempengaruhi dan membentuk jenis manusia yang akan hidup di tengah-tengah masyarakat nanti. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sebahagian besar daripada mereka ini merupakan bakal pemimpin kita masa hadapan dan dengan itu wajar menerima ilmu dan pengetahuan yang terbaik yang boleh kita tawarkan.

Antara perbualan yang menyentuh perasaan saya ialah berhubung dengan kebebasan siswa di kampus. Campur tangan UMNO yang cukup ketara kebelakangan ini banyak mempengaruhi suasana dan menjadi semakin gawat menjelang Pilihanraya Kampus (PRK) tidak lama lagi. Mahasiswa cuba dipaksa menurut kehendak proksi mereka yakni kumpulan yang
disebut Aspirasi. Kumpulan ini yang mendapat restu daripada Timbalan Naib Canselor (HEP) dan dibiayai dan dibimbing oleh UMNO, berperanan untuk mempastikan siswa-siswa tunduk dan patuh kepada kehendak UMNO. Program-program yang melalaikan dan tidak relevan seperti pesta dan hiburan digalakan manakala program berbau agama atau berkait dengan pimpinan selain daripada UMNO akan dihalang. Mana-mana siswa yang disyaki penyokong kepada “kumpulan pembangkang” akan diugut atau dikasari. Malah ada laporan di UM dan UPM bagaimana Kumpulan Aspirasi (KA) (yang berselindung di belakang TNC (HEP)) bertindak samseng ke atas siswa semata-mata kerana mereka agak kritis kepada KA. Kita mendapat makluman ada di kalangan siswa yang digantung belajar, ada juga yang telah dibuang kampus, ada yang diserbu bilik mereka dan dirampas komputer dan telefon bimbit, malah ada juga yang dicederakan. Apa yang menghairankan kita ialah ada dikalangan “samseng” ini terdiri daripada mahasiswa tahun pertama. Pelbagai alasan digunakan untuk membenarkan tindakan mereka dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) merupakan alasan mudah yang selalu digunakan. Tetapi yang peliknya, UMNO melalui Pemuda dan Puteri UMNO, dibenarkan pula keluar masuk dan menganjurkan pelbagai program universiti tanpa sekatan. Oh! Lupa saya bahawa Malaysia ini mak bapa UMNO punya! Jadi anak cucu UMNO ini bebas berbuat apa saja di bumi Malaysia.

Persoalan di sini, adakah ini "role model" jatidiri yang UMNO nak lihat pada para siswa kita? Setahu saya pusat pengajian tinggi adalah tempat siswa mengapai kecemerlangan ilmu, menyuburkan percambahan minda, mencanai akhlak mulia, membentuk kepimpinan yang bersih dan bertanggungjawab, permuafakatan membina masyarakat yang aman dan bertoleransi, bertatih membina tamadun madani, yang semuanya bercanggah dengan apa yang dipamerkan oleh UMNO dan kuncu-kuncunya. Atau mungkin peranan pusat pengajian ini dah bertukar sesuai dengan perlaksanaan Islam Hadhari UMNO!

Saya bernasib baik kerana berpeluang belajar di luar negara pada peringkat Sarjana Muda dahulu (jangan UMNO dok kata dia yang bagi biasiswa pulak!) dan dalam masa yang sama berpeluang merasai kebebasan hidup di universiti di England. Hasilnya bukan saja saya memperolehi kelulusan akademik yang agak baik tetapi juga pengalaman yang berharga di dalam aspek kemasyarakatan dan keagamaan. Saya akui agak pelik jikalau saya katakan bahawa saya banyak belajar agama ketika di England daripada di Malaysia. Ini kerana suasana yang diwujudkan di kampus menyuburkan minda siswa dan menggalakkan budaya silaturahim dan permuafakatan. Sebarang perbalahan atau pertikaian akan diselesaikan secara intelek dan perbincangan. Malah aktiviti demonstrasi aman (yang di sini dipanggil rusuhan) untuk menyatakan bantahan terhadap isu-isu yang menyentuh masyarakat sangat digalakkan. (Saya masih ingat bagaimana pihak polis di sana akan mengawal kita daripada diancam oleh pihak lain acapkali kita menganjurkan demonstrasi!) Kekuatan minda dan keupayaan berhujah ditonjolkan sebagai pekerti siswa yang perlu diteladani. Hasilnya terbentuk masyarakat yang cerdik, progresif dan bertanggungjawab.

Sebaliknya di Malaysia, IPTA kini menjadi sepertimana negara Malaysia, iaitu “negara polis”. Sebarang percanggahan dengan pimpinan yang ada dianggap sebagai pengkhianat dan perlu diambil tindakan. Kalau perlu tembak pun tembaklah, kalau perlu ISA ISAkanlah, atau apa saja asalkan UMNO terus memerintah. Jikalau tuan mereka pun bersikap “borek” sudah tentulah anak murid mereka di IPTA pun menjadi “rintik”. Jadi apa yang kita lihat hari ini ialah “pemerkosaan” universiti ke tahap yang amat menyedihkan dan memalukan sekali. Fenomena ini, saya yakin, berkait rapat dengan pemerintahan UMNO dan akan berterusan selagi UMNO terus memerintah Malaysia. Mari kita beramai-ramai jatuhkan UMNO/BN di dalam Pilihanraya Umum akan datang demi kemaslahatan semua!


Anak Bapa: Saya nasihatkan mana-mana bapa yang ada duit tu elok hantar anak belajar ke luar negara, kat Indonesia pun tak apa. Keadaan universiti tempatan begitu teruk dan mencemaskan sekali. Universiti kita ni bila dicongak-congak mutu dia dah nak sama dengan pusat serenti pulak!

Friday, September 21, 2007

Bukti Teori Konspirasi!

Cuba tonton klip video ini dan lihat bagaimana peguam VK Lingham sedang merangka konspirasi bersama-sama kuncu-kuncunya di kalangan "mereka yang berpengaruh" pada sekitar 2002 lalu. Jelas apa yang diperkatakan mengenai usaha untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim ada unsur-unsur kebenarannya. Apa yang penting, isu ini bukan saja melibatkan soal Anwar difitnah atau tidak tetapi juga integriti dan kewibawaan sistem pemerintahan dan kehakiman negara ini. Selepas kita menonton video ini bolehkah kita terus mempercayai segala keputusan mahkamah hari ini kerana "kepalanya" adalah orang yang didakwa terlibat di dalam konspirasi ini?

Sebagai seorang rakyat yang prihatin, saya menyeru bersungguh-sungguh kepada Majlis Raja-Raja, Majlis Peguam, Parti-Parti Politik (yang masih ada jatidiri), NGO dan seluruh warga Malaysia supaya berbuat sesuatu SEGERA kerana negara kita telah terlalu parah!





Anak Bapa: Hairan sungguh saya apabila mendapati keesokkan harinya selepas pendedahan klip video ini tiada berita langsung daripada akhbar utama bahasa Melayu (UM dan BH) sedangkan berita ini keluar di dalam akhbar berbahasa Inggeris dan Cina. Beginilah bertahun-tahun orang Melayu diperbodohkan. Akhbar-akhbar Melayu akan hanya mewar-warkan berita yang boleh mengangkat pemimpin-pemimpin UMNO atau untuk memburuk-burukkan pembangkang. Walaupun nilai berita ini sangat tinggi, bagi akhbar-akhbar ini ia tidak penting kerana asas sesuatu berita itu mestilah tidak menjejaskan kedudukan tuan pemerintah mereka!