Monday, September 24, 2007

UMNO Bermaharajalela Di Kampus-Kampus

Ketika anak saya yang menuntut di Universiti Malaya (UM) dan yang lagi satu di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pulang ke rumah pada hampir setiap hujung minggu, saya berkesempatan berbual-bual mengenai perkembangan semasa keadaan di menara gading tempat mereka belajar. Bukan apa, kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita lihat tahap prestasi universiti-universiti tempatan begitu merosot sekali jiika dibandingan dengan universiti-universiti lain di luar negara. Pada suatu ketika dahulu Universiti Malaya, umpamanya, menduduki senarai 100 tangga terbaik universiti di dunia sebelum merosot tahun demi tahun dan sekarang khabarnya di tempat yang agak corot.

Kebimbangan saya ini bukan semata-mata berkaitan mutu pendidikan akademik yang bakal mereka terima tetapi yang lebih penting kualiti pendidikan dan pendedahan insaniah yang wujud di
persekitaran institusi pengajian tinggi ini. Kita sedia maklum bahawa institusi pengajian tinggi sebegini merupakan tempat persinggahan terakhir pelajar sebelum mereka terjun ke dalam masyarakat. Keupayaan dan penglibatan mereka di dalam pelbagai aktiviti sosial dan kemasyarakatan ketika di universiti, sebenarnya, banyak mempengaruhi dan membentuk jenis manusia yang akan hidup di tengah-tengah masyarakat nanti. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sebahagian besar daripada mereka ini merupakan bakal pemimpin kita masa hadapan dan dengan itu wajar menerima ilmu dan pengetahuan yang terbaik yang boleh kita tawarkan.

Antara perbualan yang menyentuh perasaan saya ialah berhubung dengan kebebasan siswa di kampus. Campur tangan UMNO yang cukup ketara kebelakangan ini banyak mempengaruhi suasana dan menjadi semakin gawat menjelang Pilihanraya Kampus (PRK) tidak lama lagi. Mahasiswa cuba dipaksa menurut kehendak proksi mereka yakni kumpulan yang
disebut Aspirasi. Kumpulan ini yang mendapat restu daripada Timbalan Naib Canselor (HEP) dan dibiayai dan dibimbing oleh UMNO, berperanan untuk mempastikan siswa-siswa tunduk dan patuh kepada kehendak UMNO. Program-program yang melalaikan dan tidak relevan seperti pesta dan hiburan digalakan manakala program berbau agama atau berkait dengan pimpinan selain daripada UMNO akan dihalang. Mana-mana siswa yang disyaki penyokong kepada “kumpulan pembangkang” akan diugut atau dikasari. Malah ada laporan di UM dan UPM bagaimana Kumpulan Aspirasi (KA) (yang berselindung di belakang TNC (HEP)) bertindak samseng ke atas siswa semata-mata kerana mereka agak kritis kepada KA. Kita mendapat makluman ada di kalangan siswa yang digantung belajar, ada juga yang telah dibuang kampus, ada yang diserbu bilik mereka dan dirampas komputer dan telefon bimbit, malah ada juga yang dicederakan. Apa yang menghairankan kita ialah ada dikalangan “samseng” ini terdiri daripada mahasiswa tahun pertama. Pelbagai alasan digunakan untuk membenarkan tindakan mereka dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) merupakan alasan mudah yang selalu digunakan. Tetapi yang peliknya, UMNO melalui Pemuda dan Puteri UMNO, dibenarkan pula keluar masuk dan menganjurkan pelbagai program universiti tanpa sekatan. Oh! Lupa saya bahawa Malaysia ini mak bapa UMNO punya! Jadi anak cucu UMNO ini bebas berbuat apa saja di bumi Malaysia.

Persoalan di sini, adakah ini "role model" jatidiri yang UMNO nak lihat pada para siswa kita? Setahu saya pusat pengajian tinggi adalah tempat siswa mengapai kecemerlangan ilmu, menyuburkan percambahan minda, mencanai akhlak mulia, membentuk kepimpinan yang bersih dan bertanggungjawab, permuafakatan membina masyarakat yang aman dan bertoleransi, bertatih membina tamadun madani, yang semuanya bercanggah dengan apa yang dipamerkan oleh UMNO dan kuncu-kuncunya. Atau mungkin peranan pusat pengajian ini dah bertukar sesuai dengan perlaksanaan Islam Hadhari UMNO!

Saya bernasib baik kerana berpeluang belajar di luar negara pada peringkat Sarjana Muda dahulu (jangan UMNO dok kata dia yang bagi biasiswa pulak!) dan dalam masa yang sama berpeluang merasai kebebasan hidup di universiti di England. Hasilnya bukan saja saya memperolehi kelulusan akademik yang agak baik tetapi juga pengalaman yang berharga di dalam aspek kemasyarakatan dan keagamaan. Saya akui agak pelik jikalau saya katakan bahawa saya banyak belajar agama ketika di England daripada di Malaysia. Ini kerana suasana yang diwujudkan di kampus menyuburkan minda siswa dan menggalakkan budaya silaturahim dan permuafakatan. Sebarang perbalahan atau pertikaian akan diselesaikan secara intelek dan perbincangan. Malah aktiviti demonstrasi aman (yang di sini dipanggil rusuhan) untuk menyatakan bantahan terhadap isu-isu yang menyentuh masyarakat sangat digalakkan. (Saya masih ingat bagaimana pihak polis di sana akan mengawal kita daripada diancam oleh pihak lain acapkali kita menganjurkan demonstrasi!) Kekuatan minda dan keupayaan berhujah ditonjolkan sebagai pekerti siswa yang perlu diteladani. Hasilnya terbentuk masyarakat yang cerdik, progresif dan bertanggungjawab.

Sebaliknya di Malaysia, IPTA kini menjadi sepertimana negara Malaysia, iaitu “negara polis”. Sebarang percanggahan dengan pimpinan yang ada dianggap sebagai pengkhianat dan perlu diambil tindakan. Kalau perlu tembak pun tembaklah, kalau perlu ISA ISAkanlah, atau apa saja asalkan UMNO terus memerintah. Jikalau tuan mereka pun bersikap “borek” sudah tentulah anak murid mereka di IPTA pun menjadi “rintik”. Jadi apa yang kita lihat hari ini ialah “pemerkosaan” universiti ke tahap yang amat menyedihkan dan memalukan sekali. Fenomena ini, saya yakin, berkait rapat dengan pemerintahan UMNO dan akan berterusan selagi UMNO terus memerintah Malaysia. Mari kita beramai-ramai jatuhkan UMNO/BN di dalam Pilihanraya Umum akan datang demi kemaslahatan semua!


Anak Bapa: Saya nasihatkan mana-mana bapa yang ada duit tu elok hantar anak belajar ke luar negara, kat Indonesia pun tak apa. Keadaan universiti tempatan begitu teruk dan mencemaskan sekali. Universiti kita ni bila dicongak-congak mutu dia dah nak sama dengan pusat serenti pulak!

No comments: