Tuesday, April 1, 2008

Kalah Dah Tentu Susah, Menang Pun Susah!

Lama benar rasanya saya berhenti menulis blog. Bukan kerana kecewa atau malas tetapi kerana kesibukkan menghadapi pilihanraya dan mengisi kemenangan di peringkat awal. Atas sebab itu saya memohon jutaan kemaafan daripada anda semua.

Sebagaimana juga anda, saya melalui pilihanraya umum ke 12 (PRU 12) lepas dengan penuh debaran dan keterujaan. Apa tidaknya. Dahlah dilantik sebagai pengarah pilihanraya di dewan undangan negeri (DUN) yang parti saya tidak tandingi (yakni membantu rakan Barisan Alternatif) dengan petugas parti sendiri (yakni yang tidak bertanding) hampir 90% dan jumlah petugas parti rakan BA sangat sedikit serta ditambah dengan sokongan kewangan yang agak terhad, kami berjaya melalui pilihanraya tersebut dengan penuh gemilang (cuma bukan terbilang ……). Berkat kerja kuat dan doa, kami berjaya memenangi semua kerusi-kerusi yang dipertandingkan yakni 1 parlimen dan 2 DUN dengan majoriti yang selesa. Tahniah semua!

Ekoran daripada tsunami politik 8 Mac 2008, begitu banyak analisa dan isu yang diperkatakan mengenai PRU 12 lalu samada mengenai sokongan luarbiasa masyarakat Cina dan India, sokongan senyap kaum Melayu yang tinggal di bandar-bandar atau yang terdedah kepada informasi dunia siber, makkal sakhti, gerak kerja luarbiasa Anwar Ibrahim, kelumpuhan jentera UMNO, kekalahan teruk UMNO sejak merdeka dan puncanya, dan bermacam-macam lagi kupasan. Saya yakin anda telah mengunyah dan menghadam ledakan maklumat yang diperolehi melalui internet dan sebaran am lain, dan telah menjadi begitu arif mengenai pelbagai aspek pilihanraya lepas.

Cuma saya nak tambah sikit hal berkaitan kawan kita, UMNO dan BN yang buat julung kalinya tewas teruk di dalam pilihanraya umum sejak penubuhannya. Malah tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa keputusan pilihanraya ini adalah paling teruk daripada PRU 1969, dan jika SPR kita benar-benar adil dan bebas, saya yakin UMNO dan BN dah lama terkubur. Kekalahan teruk BN telah menyerlahkan sikap sebenar mereka. Ada yang dapat menerima dengan baik dan bersedia menjadi pembangkang sehingga PRU akan datang. Tetapi ramai yang tidak boleh menerima hakikat kekalahan ini dan lantas menyalahkan rakyat kononnya rakyat terpedaya dengan janji-janji manis pembangkang, rakyat akan menyesal kerana memilih pembangkang kerana mereka tidak akan berjaya memerintah dengan baik, rakyat yang pulang mengundi macam virus kerana menjangkiti rakyat lain supaya mengundi pembangkang, dan pelbagai lagi tohmahan nakal. Malangnya, mereka gagal mengenalpasti bahawa mereka sebenarnya punca kekalahan BN kerana begitu sombong, angkuh dan korup. Apa nak kita katakan kepada pemimpin yang beri penyapu kepada rakyat kerana prestasi tak bagus atau konon nak hilangkan deposit calun pembangkang atau nak pembangkang sifar atau nak merawat rakyat dan pelbagai macam gelagat yang gila dan tidak sopan ini. Nah! Rasakan sendiri perbuatan hasil daripada tangan-tangan mereka sendiri.

Kadang-kadang kita lucu melihatkan perangai pemimpin dan ahli UMNO selepas kalah. Bagi kita kekalahan itu sesuatu yang biasa walaupun kita tahu puncanya banyak disebabkan oleh SPR. Ada pemimpin UMNO yang berkurung di dalam kediaman resmi mereka berhari-hari menangis, ada yang lari daripada bertemu muka dengan wartawan, ada juga yang cuba memujuk parti pembangkang tertentu supaya bergabung dengan mereka bagi membentuk kerajaan campuran, dan malah ada yang cuba meyakinkan raja dan sultan supaya melantik mereka sebagai menteri besar atas dasar kerajaan minoriti kerana mereka yakin pembangkang tidak akan dapat bersatu membentuk kerajaan campuran. Ahli-ahlinya pula seperti anak ayam kehilangan ibu, meminta “nyawa” pemimpin-pemimpin mereka yang menyebabkan mereka kalah teruk, dan saya yakin akan terus mencari jalan menjatuhkan pemimpin-pemimpin tertentu, dan ada juga sehingga sanggup berdemonstrasi (demonstrasi bukan budaya kita) bagi kononnya memperjuangkan Melayu dan Islam. Saya yakin fenomena ini akan berterusan sehingga karamnya bahtera UMNO dan BN tidak lama lagi.

Kalau mereka bersikap demikian kerana kalah, itu bagi saya mungkin masih boleh diterima lagi. Tetapi bagi mereka yang menang di dalam BN suasana lebih pelik lagi. Bayangkan Shahidan Kassim dan Idris Jusoh yang menang besar di Perlis dan Terengganu, dan diberi watikah perlantikkan sebagai menteri besar oleh Pak Lah, pun ditolak oleh raja dan sultan. Apalah malangnya nasib pemimpin BN. Arahan Pak Lah bukan saja tak laku lagi malah “anugerahnya” dalam bentuk perlantikkan menteri dan timbalan menteri pun tak laku. Setakat ini sudah 3 orang timbalan menteri menolak jawatan yang ditawarkan Pak Lah kepada mereka. Saya tak pernah lihat dalam sejarah suasana begini berlaku, dan Pak Lah sendiri pun diminta berundur walaupun beliau berjaya mempertahankan kerusinya dan pemerintahan BN di Malaysia. Tak tahu lah saya apa nak kata lagi. Serba tak kena UMNO dan BN kebelakangan ini. Kalah dah tentu susah tetapi menang pun susah juga!


Anak Bapa: Saya tertarik dengan komen Shahidan dan Idris Jusoh apabila mendapat tahu pencalonan mereka sebagai menteri besar di tolak oleh raja dan sultan. “Saya rela menerima apa saja ketentuan atau Qada’ dan Qadar Allah…..” kata mereka. Tetapi dibelakang tabir mereka mengupah penyokong dan balaci mereka supaya menderhaka kepada raja-raja. Inilah lakonan buruk pemimpin UMNO selama ini, cuma rakyat baru mula nampak. Bagi mereka semua lain boleh jalan, yang penting kuasa dan jawatan mereka kekal. Saya ucapkan SELAMAT TINGGAL UMNO DAN BN.

No comments: