Saturday, July 12, 2008

Salah Besarkah Kita Apabila Bermuafakat Di Dalam Pakatan Rakyat?

Pelbagai tafsiran, analisa, kupasan, andaian dan kesimpulan telah dibuat oleh pelbagai pihak berhubung wawancara Tuan Guru Abdul Hadi Awang di dalam keluaran Harakah terbaru bertajuk “ Memantapkan Kedudukan PAS Dalam Pakatan Rakyat”. Ada yang kata Tuan Guru beri mesej supaya kita berhati-hati menjaga parti di kala sibuk berpakat dengan pihak-pihak lain; ada pula yang berpendapat Tuan Guru suruh kita lebih bertegas dengan rakan-rakan lain di dalam PR berkaitan isu agama dan peranan PAS; juga tak kurang yang menyatakan kesungguhan Tuan Guru di dalam usaha mengukuhkan PR; malah ada juga yang berpandangan bahawa mesej Tuan Guru ialah supaya kita bersedia untuk keluar daripada PR jika mereka masih merendah-rendahkan kita.

Saya tak tahu apa tafsiran teman-teman semua apabila menatap wawancara yang dimaksudkan. Tajuknya pun bagi saya dah cukup jelas kecualilah kalau ada “mufasirin-mufasirin” yang memiliki ilmu ghaib yang amat hebat dapat menangkap ayat-ayat mutasyabihaat di dalam wawancara tersebut. Biar saya lontarkan satu senario di sini. Katakanlah selepas beberapa kerat yang termakan umpan UMNO ini berjaya meyakinkan pimpinan PAS bahawa strategi bergabung dengan UMNO adalah jauh lebih menguntungkan PAS (?) dan Islam (?) daripada kekal di dalam PR. Sekurang-kurangnya UMNO dah berjanji nak beri kita Terengganu dan PAS boleh laksanakan hukum hudud di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Dan mungkin juga beberapa jawatan menteri pusat turut diserahkan kepada PAS. Duduk di dalam PR buat apa, nanti bila Anwar bawa masuk orang-orang bukan Islam dari Sabah dan Sarawak, peranan PAS akan lebih mengecil di dalam PR dan kemungkinan besar akan dipinggirkan. Justeru itu sudah tentu lebih baik kita bekerjasama dengan UMNO sekarang sebelum golongan “bukan Islam” menguasai negara. Bunyinya amat menarik sekali, begitu menggiurkan, malah boleh menawan hati sebahagian rakan-rakan kita yang tak menang pilihanraya baru-baru ini.

Tetapi ada satu perkara yang mereka ini lupa, iaitu erti semangat kerjasama dan kepercayaan rakyat. Kita bersetuju berpakat di atas nilai-nilai kemanusiaan sejagat (yang sememangnya selaras dengan Islam) seperti keadilan, ketelusan, bersih dan berkebajikan. Dan semua ini dikongsi bersama oleh rakan-rakan kita di dalam PR. Kita masuk di dalam pilihanraya berasaskan janji-janji ini dan rakyat dari pelbagai latarbelakang bersedia melupakan perbedaan mereka demi untuk perubahan, perubahan daripada cengkaman politik rimba UMNO BN selama 50 tahun. Dan dengan perubahan ini Kedah berjaya dibolot oleh PAS. Tetapi apabila dah menang ada pula di kalangan kita yang cuba nak punahranahkan permuafakatan ini atas alasan yang remeh temeh. Sapa kata mudah untuk kita mengadakan hubungan dengan orang lain, tambahan pula berbeda ideologi dan kepercayaan. Tentu susah. Tetapi itu tidak bermakna mudah pula kita menjalin hubungan dengan UMNO walaupun mereka ini sama agama dan bangsa dengan kita. Sejarah telah membuktikan bagaimana UMNO ini bukan satu puak yang boleh dipercayai bukan saja oleh orang luar malah sesama mereka pun! Ingat kisah Anwar dan Ku Li dahulu.

Jadi apabila kita sengaja mencari jalan untuk memecahbelahkan PR, dan jika ianya berhasil maka rakyat (termasuk sebahagian ahli PAS) akan menganggap PAS sebagai tidak amanah dan tidak setia kepada kehendak rakyat. Tambah siksa kita lagi jika kita keluar PR untuk kerjasama pula dengan UMNO. Mungkin kita akan selesa setahun dua dengan janji-janji manis UMNO. Tetapi apabila PAS tidak diperlukan lagi kita akan dihumban keluar dengan hina. Pada masa itu sapa yang akan menyambut kita?

Saya tak dapat bayangkan senario ini berlaku di waktu hayat saya masih ada. Tentu ia satu malapetaka yang besar jika terjadi perpecahan sesama kita. Betullah ada perkara yang tak berapa cantik di dalam PR. Itu tidak dapat kita nafikan dan sememangnya menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk PKR dan DAP untuk sama-sama bermuafakat. Sebab itu kita panggil pakatan rakyat. Apa-apa perkara yang menjadi masaalah perlu kita selesaikan secara baik dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara di hadapan. PKR dan DAP perlu hormat kepada prinsip perjuangan PAS dan begitu juga kita perlu menghormati rakan-rakan kita di dalam PR. Jika berlaku insiden-insiden yang kurang elok (seperti peristiwa di Stadium MBPJ Kelana Jaya) kita bawa berbincang untuk menyelesaikannya dan kita cari jalan terbaik mengatasinya. Bukankah selama ini pun kita sentiasa berbincang, baik mengenai kerusi yang nak ditandingi, pembahagian EXCO, ahli majlis, ketua kampong, JKKK dan lain-lain lagi. Perlukah kita berhenti berbincang sedangkan hubungan kita ini masih terlalu baharu, cuma lebih sikit 4 bulan. Orang berkahwin pun masih tak dapat sesuaikan diri di dalam masa 4 bulan, inikan pula 3 parti yang berlainan ideologi! BN yang telah lama bergabung tu pun tak terlepas daripada menghadapi masaalah sesama parti komponen mereka. Dan apa jaminan jika kita bergabung dengan UMNO kita tidak akan hadapi masaalah?

Saya tidak menyatakan kita perlu mengorbankan prinsip perjuangan kita demi nak memuaskan hati rakan-rakan di dalam PR. Mereka pun telah masak dengan fahaman dan pegangan kita. Bayangkan kalau kita mendapat majoriti di Perak tiba-tiba jawatan MB perlu diberi kepada orang lain. Saya yakin orang PAS akan merusuh jika keadaan ini berlaku. Tetapi orang-orang DAP masih boleh berkompromi dan sanggup berkorban untuk PR. Malah di Selangor dengan kedudukan menumpang, kita masih mendapat ruang yang cukup baik di dalam pembahagian kuasa. Dan dengan ruang yang ada ini kita telah mula mendapat manfaat di dalam kerja-kerja Islam dan dakwah kita. Cuma apa yang perlu ialah komitmen yang lebih daripada ahli dan aktivis untuk mempertingkatkan lagi jati diri dan pengaruh PAS di kalangan masyarakat. Saya yakin jika kita tingkatkan lagi usaha menggunakan ruang-ruang yang ada, peluang melonjakkan PAS dan PR nampak amat cerah sekali.

Anak Bapa: Cakap-cakap Tuan Guru itu dan diperkuatkan oleh kenyataan Tok Guru Nik Aziz sebelum ini meyakinkan saya bahawa pimpinan kita mampu menjaga PAS dan PR demi kemaslahatan umat Islam dan Melayu di negara ini. Kepada yang dua tiga kerat yang minat sangat dengan UMNO tu boleh pi isi borang dan ikut jejak langkah Ezam. Pimpinan suruh pi ajak orang-orang UMNO masuk PAS dan PR, yang dia orang pi ajak orang PAS join UMNO tu buat apa?

1 comment:

Anonymous said...

sejarah lalu jangan diulang kemabali