Sunday, September 16, 2007

Bahagian 1: Legasi Keangkuhan UMNO Dulu, Kini dan Selamanya .....



Nampaknya cerita berhubung dengan peristiwa berdarah di Batu Buruk, Terengganu masih tidak mahu reda malah makin bertambah panas dengan pelbagai pendedahan baru. Berita yang paling terakhir ialah kenyataan terbuka daripada Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali bahawa beliau mempunyai bukti kukuh penglibatan UMNO terutamanya Datuk Wan Ahmad Farid, Setiausaha Politik Menteri Keselamatan Dalam Negeri (Pak Lah juga tu!) sebagai salah seorang perancang utama kejadian ini.

Selain daripada itu, kita juga jadi naik keliru dengan kenyataan berubah-ubah Ketua Polis Terengganu berhubung beberapa aspek kejadian. Antaranya pada hari pertama berlakunya tragedi berdarah ini, beliau dilaporkan berkata hanya 1 das tembakan telah dibuat oleh pihak polis (mula-mula kata anggota FRU lepas tu SB pula!) kearah orang awam. Itupun dalam keadaan terbaring dan bertindak untuk mempertahankan diri dari serangan ganas 20 orang perusuh. Keesokkan harinya beliau menukar kenyataan kepada 2 das tembakan, dan yang terakhir berkata 4 das tembakan dilepaskan. (Apa nak jadi dengan negara ni, dahlah PM pun banyak tidak tahu apa yang berlaku dalam negara, KPN pun juga tidak tahu apa yang anak buah dia buat!). Dalam pada itu keluar pula kenyataan bergambar daripada salah seorang saksi kejadian ini, Othman Ismail, bahawa banyak kenyataan Ketua Polis Negeri itu tidak benar. Beliau yang ada beberapa meter daripada tempat kejadian dapat melihat dengan jelas bahawa hanya ada 4 atau 5 orang yang sedang bertengkar dengan SB berkenaan, dan kemudian diikuti dengan sikit kejadian tolak menolak. Tiba-tiba SB berkenaan melarikan diri kearah FRU perdekatan sambil menembak ke arah belakangnya (ke arah “perusuh”) sebanyak 4 atau 5 das tembakan. Jadi pembaca bolehlah buat sendiri kesimpulan.

Hari ini KL Post pula melaporkan dengan panjang lebar analisa seorang pakar grafik tentang kesahihan gambar “hantu” yang sedang membakar jalur gemilang di tempat kejadian. Analisanya agak menarik dan membuka banyak persoalan baru.

Saya bersetuju dengan pendapat ramai bahawa satu badan siasatan bebas perlu diwujudkan untuk menyiasat kejadian yang amat memalukan ini. Kita tidak yakin pada polis kerana selama ini terbukti polis ini menjadi alat UMNO. Ingat dahulu apabila polis menyiasat kes mata lebam Dato’ Seri Anwar, beberapa minggu masa berlalu dan keputusannya Anwar terhantuk sendiri atau Anwar berbekam! Tetapi apabila Suruhanjaya di Raja membuat siasatan, baru 2 hari dah tahu bahawa Ketua Polis Negara yang buat. Dan baru-baru ini pun sama, tentang isu penglibatan Ketua Polis dengan kumpulan samseng dan kes rasuah Ketua Pengarah BPR. Pi mai pi mai tang tu, tidak ada siapa yang bersalah. Dan siapa yang membersihkan mereka, kuncu konspirator mereka Peguam Negara!

Sebenarnya saya dah naik muak dengan aksi dan tindakan UMNO berselindung di belakang pihak polis dan peguam negara. Tetapi memandangkan masih ada di kalangan rakyat Malaysia yang masih buta perut dan berterusan memberi sokongan membabi buta (bercakap tentang babi teringat pula satu cerita lain kat Melaka. Lain kali kita sembang bab tu .....) kepada UMNO maka saya terpaksa gagahi juga untuk menulis.

Saya selalu menggunakan perkataan UMNO dan bukan BN atau rakan-rakan sekutunya seperti MCA, MIC dan sebagainya di dalam tulisan saya kerana saya yakin UMNO sebagai tulang belakang BN bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang berlaku kepada negara dan rakyat. Parti-parti lain hanya jadi Pak Angguk dan Pak Turut kepada UMNO sahaja dan tidak akan berani bersuara tanpa mendapat restu UMNO!

Tragedi berdarah Batu Buruk ini adalah secebis daripada siri tindakan angkuh UMNO sejak dahulu lagi. Disebabkan kebebalan kita yang terus memberi mereka kuasa mutlak memerintah negara ini sejak merdeka (dah 50 tahun!), tanpa ada “check and balance” yang efektif, maka UMNO telah membesar daripada seekor binatang peliharaan yang jinak dan kini menjadi haiwan rimba yang liar dan buas. Mandat yang terus menerus diberi oleh rakyat menyebabkan mereka beranggapan bahawa hak pemerintahan Malaysia ini adalah hak mutlak mereka dan akan berkekalan sampai bila-bila walau apapun tindak tanduk mereka sekali pun. Tun Mahathir sendiri telah mengesahkan fenomena ini apabila baru-baru ini membuat kenyataan “tunggul sekali pun kalau diletak bertanding atas tiket BN, ia pasti menang”. Buatlah skandal apa sekali pun, rompaklah duit negara banyak mana pun, ambillah rasuah semau-maunya, tindaslah rakyat dengan pelbagai akta, tekanlah rakyat dengan kenaikan harga barang untuk menguntungkan tauke-tauke besar, gunalah polis dan segala ajensi kerajaan untuk menakut dan mengugut rakyat, dan macam-macam kebobrokan lagi, UMNO tetap yakin akan terus memerintah samada melalui pilihanraya yang sah atau tidak sah.

Kesombongan UMNO ni bukan terhad kepada pembangkang sahaja malah pemimpin-pemimpin mereka terdahulu yang begitu diagung-agungkan yang cuba membuat kritikan kepada pimpinan yang baru akan terus di bakulsampahkan apabila sudah tidak berkuasa. Lihatlah apa yang terjadi kepada nasib Tun Mahathir, Tun Ghaffar, Dato’ Seri Sanusi Junid dan ramai lagi bekas pemimpin UMNO lain.

Budaya UMNO yang “parochial” yakni sempit fikiran, feudalistik dan berasaskan “ampu”isme begitu ketara di dalam percakapan dan perbuatan mereka. Pemimpin yang ada akan diampu secukup-cukupnya dan dibenarkan segala percakapan dan tindakannya. Dalam masa yang sama, pembantah (dissenter) akan disiat hidup-hidup dan dianggap petualang dan pengkhianat negara. Lihat saja reaksi pemimpin UMNO di dalam kejadian bakar bendera dan peng”rap”an lagu negara ku baru-baru ini untuk memahami perangai busuk UMNO. Lihat juga jawapan Zaid Ibrahim kepada Prowaris di dalam Siasah keluaran terbaru berhubung dakwaan Prowaris bahawa akta yang digubal untuk Pembangunan Wilayah Iskandar di Johor adalah bercanggah dengan Perlembagaan negara dan pembangunan ini tidak menguntungkan rakyat malah boleh membahayakan kedaulatan negara. Antara jawapan Zaid ialah supaya Prowaris tidak dijadikan alat politik (maknanya dipergunakan oleh orang lain). Ini contoh klasik mentaliti pimpinan UMNO, kalau bercanggah sedikit dengan pandangan mereka maka kita akan dilemparkan dengan bermacam-macam tuduhan. Setahu saya Prowaris adalah badan bebas profesional yang ingin memberi sumbangan kepada negara. Jelas UMNO tidak berminat kepada bantahan dan kritikan dan akan cuba menutup serapat-rapatnya pintu maklumat supaya rakyat kebanyakkan tidak mengetahui apa yang berlaku dan dengan itu mudah bagi mereka untuk dibeli dan disembelih setiap 5 tahun. Ini juga puncanya mengapa mereka begitu marah kepada bloggers dan pengendali laman web kerana maklumat yang dikeluarkan tidak dapat dikawal oleh UMNO.

Dalam siri-siri berikutnya saya akan mendedahkan lagi bukti-bukti kukuh kenapa saya menganggap UMNO ini begitu sombong dan angkuh dan rakyat patut memberi "pelajaran" kepada mereka dalam Pilihanraya Umum yang ke 12 nanti.

Anak Bapa: Bercakap mengenai haiwan rimba yang liar dan buas ini, saya pun bimbang juga sebab kita ada mendengar berita tentang tuan haiwan sendiri kadang-kadang yang kena baham dek haiwan liar yang cuba dijinakkannya. Dalam ingatan saya UMNO ni pun dah baham banyak benda dah. Dan saya yakin jika ada di antara kita yang belum lagi kena baham, sekurang-kurangnya ramai yang dah pernah kena cakar atau kena gigit atau mungkin rakan taulan atau saudara mara kita yang pernah kena baham. Persoalannya adakah kita nak dok saja tak buat apa-apa hanya serah tengkok aje????

1 comment:

Wira Siber said...

UMNO tidak boleh dibiarkan bermaharajalela lagi. Rakyat dah perit sengsara. Kita boleh buat perubahan jika kita ada keberanian