Thursday, November 8, 2007

Cinta Khairy Yang Mendalam Terhadap Beruk Dan Monyet

Baru-baru ini keluar lagi perkataan daripada mulut menantu Pak Lah yang juga merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin bahawa betapa beruknya manusia yang masih nak mengadakan perhimpunan rakyat 100 ribu pada 10 November ini. Kenyataan ini dibuatnya ketika disoal wartawan semasa menghadiri Mesyuarat Agung UMNO yang sedang berlangsung sekarang. Ungkapan ini bukannya baru. Tidak lama dulu ia pernah menyamakan para “bloggers” dengan monyet kerana banyak menulis dan menyiar bahan internet yang begitu kritis terhadap kerajaan pak mertuanya.

Bila diamati ungkapan dan perkataan budak mentah keluaran Oxford ini, tidak dapat tidak kita akan menjadi kagum dan kaget tentang minatnya yang mendalam kepada haiwan yang bergelar beruk atau monyet atau spesies lain yang sewaktu dengannya. Mungkinkah beliau berkelulusan bidang berkaitan ketika belajar di Oxford dahulu, yang dengan itu menjadikan Khairy sebagai pakar beruk dan monyet negara? Sehubungan dengan itu, mungkin juga hasil kajian beliau yang mendalam ketika di Oxford di dalam bidang Ilmu Beruk dan Monyet mendedahkan Khairy kepada keistimewaan makhluk yang pandai bergayut ini yang tidak kita ketahui selama ini? Jikalau ini benar, tentulah tidak adil bagi Khairy menyembunyikan kepakaran ini dan tidak berkongsi pengetahuannya dengan rakyat Malaysia. Malah, tidak keterlaluan juga jika sekiranya kita cadangkan supaya kerajaan Malaysia menimbangkan kemungkinan menubuhkan Jabatan atau Kementerian Beruk dan Monyet Malaysia dengan menterinya tidak lain tidak bukan oleh Saudara Khairy sendiri!

Saya yakin kita semua tidak ada masaalah dengan beruk dan monyet. Makhluk ciptaan Allah ini tentulah memiliki sifat dan keistimewaan tersendiri yang tidak terdapat pada makhluk lain. Tetapi untuk menyamakan berkali-kali makhluk berkenaan dengan manusia tentulah meminta kepada analisa yang berasingan. Orang Melayu dahulu memang banyak menggunakan bidalan atau peribahasa berkaitan dengan beruk, monyet dan kera (adik-beradik monyet). Contohnya, “macam kera dapat bunga” merujuk kepada orang yang tidak tahu menilai sesuatu kecantikkan, atau “macam kera kena belacan” berkait dengan jenis orang yang tidak tahu duduk diam, atau “kera di hutan disusukan, anak di rumah ditinggalkan” membawa makna seseorang yang lebih mementingkan orang lain daripada keluarga sendiri, dan banyak lagi contoh-contoh lain. Di sebelah utara ada istilah “beruk mat yeh” yang lazim digunakan di dalam perbualan yang merujuk kepada orang yang berperangai tidak senonoh. Pendek kata, masyarakat kita sejak dahulu memang banyak mengkaji aspek binatang bergayut ini dan adalah diyakini kehadiran Khairy akan memperkayakan lagi perbendaharaan bahasa kita berkaitan beruk dan monyet.

Persoalan kita seterusnya ialah kenapakah Khairy seringkali menyamakan mereka-mereka yang tidak bersama dengan Pak Mertua Hadharinya sebagai beruk dan monyet, dan benarkah perbandingan tersebut?

Cuba kita lihat makhluk ini secara lebih dekat. Salah satu keistimewaan beruk dan monyet ialah kepandaian mereka bergayut. Jikalau monyet bergayut pada dahan-dahan pokok, Khairy bergayut pada pak mertuanya untuk naik di dalam politik. Apakah jasa budak ini sampai boleh naik jadi Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia dengan begitu cepat dan tanpa bertanding pula! Macamana Khairy boleh menjadi “mastermind” kepada pengawalan media negara dan penguasaan ke atas menteri dan menteri besar di bawah ketiaknya jikalau tidak kerana “pengayutannya” kepada Pak Lah? Begitu juga mana mungkin ia terlibat di dalam pelbagai urusan “jual-beli” harta benda negara jika bukan kerana gayutannya kepada Pak Lah.

Satu lagi aspek menarik berkaitan beruk dan monyet ini ialah keupayaan mereka menarik perhatian orang ramai dengan aksi-aksi yang “luarbiasa” seperti memetik buah kelapa, mencari kutu dan sebagainya. Khairy pun tidak kurang hebatnya di dalam aspek ini. Walaupun tidak ada jawatan di dalam kerajaan, ia seringkali membuat kenyataan seolah-olah ia Perdana Menteri ke 2 Malaysia. Sehari dua ini pun ia ada mengeluarkan kenyataan meminta pihak keselamatan mengambil tindakan tegas ke atas penganjur himpunan 100 ribu rakyat kerana melanggar undang-undang negara! Dulu, walaupun negara kita ada pasukan bola sendiri, beliau tidak berminat untuk membantu memperbaiki mutu pasukan ini tetapi sebaliknya menubuhkan pasukan berasingan bertujuan untuk memalukan pasukan negara. Tetapi apabila prestasi pasukan myteamnya tidak menjadi nampaknya usaha “mencuri perhatian” telah gagal mencapai maksud.

Antara kegemaran kera-kera hutan ialah mencuri buah-buahan kepunyaan orang. Ini pun lebih kurang sama dengan perangai Khairy dan UMNO yang sibuk memunggahkan harta negara macam harta mak bapa mereka.

Inilah sedikit sebanyak hikayat Khairy dengan beruk dan monyetnya. Banyak lagi sebenarnya cerita berkenaan haiwan ini yang boleh kita kaitkan dengan Khairy tetapi memadailah setakat itu dulu. Saya yakin kita akan mendengar banyak lagi ulasan Khairy di dalam tajuk berkaitan pada masa-masa akan datang. Tetapi satu yang pasti, perbandingan beruk dan monyet yang ia ungkapkan itu sebenarnya lebih adil untuk dirinya dan pemuda UMNO, dan wajar Khairy merefleksi dirinya sedalam-dalamnya supaya kelak tidak “memberuk” di dalam jiwa sanubarinya.

Anak Bapa: Jika berkesempatan, saya sebenarnya ingin mendapatkan khidmat Khairy dan beruk monyetnya untuk memetik kelapa yang banyak di kebun ayah saya. Sila hubungi saya pada talian 999 untuk berurusan.

No comments: