Sunday, November 11, 2007

Tahniah Rakyat Malaysia!


Hari ini saya mengisytiharkan betapa bangganya menjadi rakyat Malaysia. Hal ini berlaku bukanlah kerana kejayaan negara menghantar “pelancung” ke angkasa lepas atau kebijaksanaan Pak Lah di dalam mentadbir Malaysia secara Hadhari. Bukan, bukan …… bukan. Saya merasa bangga kerana rakyat Malaysia akhirnya telah membuktikan bahawa nilai-nilai keadilan dan keluhuran adalah jauh lebih penting dan lebih utama di dalam kehidupan mereka berbanding sogokan UMNO di dalam bentuk “kesenangan dan pembangunan”. UMNO mengajar rakyat Malaysia supaya taat kepada pemimpin secara membabi buta, jangan mempedulikan penyelewengan dan korupsi mereka, dan jangan melawan tauke. Sebagai balasan, rakyat akan menerima “habuan” di dalam bentuk pembangunan dan kemewahan. Tetapi UMNO telah silap di dalam perhitungan mereka. Mereka ingat dengan pelbagai sogokan kebendaan, rakyat akan terus patuh dan menghamba diri pada mereka, dan akan terus tunduk kepada ugutan dan ancaman. Peristiwa himpunan raksaksa rakyat pada Sabtu 10 November menukar segala-galanya dan jelas menjadi mimpi ngeri UMNO untuk jangka masa yang agak panjang.

Saya berada bersama-sama rakyat di dalam perhimpunan aman BERSIH selama 6 jam semalam (daripada 12.30 tengahari hingga 6 petang) bermula di Pasar Seni, Mesjid Jamek, Istana Negara dan Mesjid Negara. Ketika di Mesjid Jamek, di hadapan mata saya (walaupun kemudiannya berair teruk kena sembur air dan gas) jelas kelihatan bagaimana kasarnya pihak polis melayan rakyat yang tidak melakukan sebarang provokasi. Mereka hanya ingin berarak secara aman beramai-ramai ke istana untuk mempersembahkan memorandum kepada DYMM Seri Paduka Baginda yang DiPertuan Agung yang antara lain mengadu tentang penyelewengan kerajaan Hadhari Pak Lah di dalam proses pilihanraya. Itu saja. Permit telah diminta yang mana telah ditolak mentah-mentah dengan alasan yang remeh temeh sedangkan hak rakyat berhimpun secara aman telah termaktub di dalam Atikel 10 Perlembagaan Malaysia.

Saya perhatikan kehadiran rakyat daripada pelbagai lapisan, tua muda, dari bandar dan desa semuanya dengan penuh semangat kuning berkobar-kobar. Apabila pihak polis bertindak menyembur air asid dan gas, saya lihat ramai yang tercunggap-cunggap terutama orang-orang tua, perempuan dan anak-anak kecil. Menitis air mata saya melihat keadaan ini walaupun sebahagian airmata saya itu pun kerana kepedihan gas. Saya hadir bersama isteri serta 4 orang anak. Anak saya yang bongsu yang berumur 11 tahun adalah antara yang teruk terkena gas sehingga hampir pengsan. Namun beliau terus bangun dipapah oleh abangnya yang juga teruk kena gas bagi meneruskan perjuangan. Saya, isteri dan anak-anak yang terpisah oleh truk water cannon FRU, hanya dapat memerhatikan keadaan yang memilukan ini. Walaupun dalam kesedihan namun hati saya tetap berbangga dengan semangat yang mereka tunjukkan, “inilah anak bapa sejati”.

Dan di dalam pemerhatian saya, semangat ini dikongsi oleh semua yang hadir pada hari berkenaan. Walaupun sesetengahnya kuyup disembur air asid dan tercunggap cunggap kesesakan nafas terkena gas, tetapi apabila dah reda sikit keperitan, mereka terus bangun menyambung perjuangan. Apa kita nak panggil ini kalau tidak semangat “kejantanan” yang tulin dan yang tidak dimiliki oleh pemimpin UMNO. Malah pihak polis pun akhirnya keletihan dengan gelagat “main sorok-sorok” dengan rakyat.

Pemimpin UMNO pula hanya jaguh di kandang sendiri, di hadapan wartawan dan penyokong mereka. Khairy hanya berkokok di dalam perhimpunan UMNO, walaupun tanpa jawatan kerajaan boleh mengarahkan pasukan keselamatan bertindak tegas ke atas beruk demonstrasi. Saya pun kadang-kadang tertanya-tanya siapa budak mentah yang sombong satu macam ni? Jawatan Naib Ketua UMNO pun menang cara subsidi, menang tanpa bertanding, dah nak tunjuk lagak macam kaduk naik junjung. Percayalah cakap saya bahawa budak ini akan menerima nasib yang amat malang di dalam UMNO kelak!

Zainuddin Maidin (Zam) pula sibuk memperlekehkan semangat rakyat dengan mengandaikan betapa mustahil rakyat seramai 100,000 boleh berhimpun di Dataran Merdeka. Dia meminta supaya wartawan jangan tertipu dengan dakyah pembangkang kerana rakyat Malaysia senang lenang dan semuanya ada kerja tentu tidak ada masa untuk berdemonstrasi. Jadi, apabila perhimpunan ini benar-benar berlaku, Zam terkejut beruk dan terloncat-loncat macam kera kena belacan. Justeru apabila pemberita Al-Jazeera menemubualnya, beliau kedengaran begitu beremosi dan gagal menjawab soalan pemberita berkenaan dengan baik. Di hadapan mungkin jutaan penonton terserlah kebodohan Menteri Propaganda Malaysia ini yang tidak tahu berbahasa Inggeris dengan baik dan juga tidak tahu menjawab soalan. Saya mengesyaki RTM sengaja mengulangtayang berkali-kali wawancara beliau dengan Al-Jazeera bertujuan untuk memalukan Zam. Nasiblah kita dapat menteri minda kelas ke 3.

Pak Lah juga, yang tidur selama 4 tahun, terus bangun apabila mendapat tahu perhimpunan raksaksa ini benar-benar akan berlaku dan terus mencabar rakyat. Nah, rakyat dah pun menjawab cabaran awak, jadi mana awak nak letak muka yang comot dengan kekotoran Hadhari tu?

Kejayaan perhimpunan ini memberikan harapan baru kepada kita bahawa rakyat Malaysia boleh bersatu dan bukan hanya melalui Barisan Nasional semata-mata. Kita sudah 50 tahun merdeka dan dengan itu sudah cukup matang untuk mengenal mana permata dan mana kaca. Melihat kepada lautan kuning ketika berhimpun di hadapan istana dan deretan manusia yang tidak putus-putus menuju ke Mesjid Negara meyakinkan saya bahawa perjuangan menuntut keadilan dan pembebasan daripada perhambaan UMNO/BN sudah bermula dan hanya akan meningkat di masa hadapan. Gelombang kuning perlu kita lonjakkan demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

Samada 30,000 atau 40,000 atau 50,000 rakyat yang hadir semalam ia tidak begitu penting. Kenyataan keras pemimpin negara dan pihak keselamatan diikuti dengan sekatan polis di seluruh negara (hampir-hampir “curfew” Kuala Lumpur) dan propaganda media perdana untuk mengugut rakyat tetapi rakyat masih hadir dengan jumlah puluhan ribu secara aman dan berdisplin sehingga selesai majlis, sudah cukup membawa mesej kejayaan perhimpunan kita. Biar apa pun ulasan dan alasan mereka, ia hanya bertujuan untuk menyelamatkan air muka mereka dan tidak akan membawa apa-apa makna lagi.

Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada BERSIH dan juga tidak lupa Unit Amal dari PAS (tentera berbaju maroon) yang bertungkus lumus menjaga keselamatan dan displin peserta perhimpunan (walaupun mereka teruk terkena gas dan ada yang ditahan polis). Dan tidak lupa kepada seluruh rakyat yang bersama di dalam perhimpunan, TAHNIAH! you are all great and I love you. Kita bertemu lagi di medan perjuangan yang lebih besar.

Anak Bapa: Masih sengal-sengal lagi seluruh badan kesan semalam. Tapi hati rasa puas kerana mesej terlaksana dan kalau dipanggil esok sekali lagi untuk perhimpunan yang serupa hati melonjak-lonjak menyatakan kesediaan. Anda bagaimana?

12 comments:

Syafiq said...

Bacalah komen ikhlas daripada saya ini tanpa rasa ego dan prejudis......

--------------------------------------------------------

"Kita perlu bersatu dan bertekad untuk menjatuhkan UMNO/BN di dalam pilihanraya akan datang. Itu saja pilihan kita yang tinggal!" - Anak Bapa

Jatuhnya UMNO, Maka jatuhlah bangsa Melayu, jatuhlah kedaulatan orang Melayu, jatuhlah ketuanan Melayu, jatuhlah kedaulatan raja-raja Melayu, jatuhlah ekonomi orang Melayu, jatuhlah segala-galanya.

Saya bukan penyokong UMNO mahupun penyokong mana-mana parti politik di Malaysia, Saya hanya seorang Melayu yang kadang-kadang terlalu sedih melihat bagaimana orang Melayu diperalatkan dan diperbodohkan puak-puak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan yang telah bermati-matian mengangkat martabat Melayu.

Siapa Melayu pada hari ini tanpa sumbangan pemimpin-pemimpin Melayu yang secara kebetulan atau tidak, berada dalam UMNO/BN?

Tanpa pengorbanan pemimpin-pemimpin UMNO/BN yang anda gelar macam-macam ini,

Bangsa Melayu hari ini ialah:

BANGSA PENGEMIS!

BANGSA MEREMPAT!

BANGSA BANGSAT!

Sudah-sudahlah tu bergaduh... Umat Islam hari ini sudah banyak berpecah-belah, kafir-mengkafir, sini kata situ salah, situ kata sini salah, sini kata sini saja betul, sana kata sana saja betul...

Sampai bila semua ni nak habis? Sampai kiamat? Sampai Allah kata "Biar aku ajar bangsa Melayu Malaysia dengan Tsunami atau Gempa Bumi". Nak tunggu sampai Allah buat macam tu baru kita nak bersatu?

Lihatlah bagaimana Pergerakan Acheh Merdeka (GAM) sekarang ni sudah kembali damai dan bersatu dengan kerajaan Indonesia gara-gara Tsunami. Kalau Tsunami tu tak ada, sampai kiamatlah jawabnya pergaduhan itu akan terus berlaku.

Hentikanlah caci-cacian, maki-makian, tuduh-tuduhan sesama bangsa Melayu sendiri. Kita semua adalah satu bangsa yang sama, kita semua bersaudara, bak kata orang sampai tahap berkongsi darah dari keturunan yang sama. Mengapa kerana hal-hal nak rebut kuasa politik, kita harus lupakan nilai-nilai persaudaraan kita?

Cukup-cukuplah menyusahkan Perdana Menteri kita dengan Demonstrasi Jalanan dan sebagainya, Program tahun melawat Malaysia masih lagi berjalan, kita tak mahu mereka semua pulang membawa "cenderamata/buah tangan" berita tentang keburukan Malaysia ke negara Mereka.

Malu sangat saya tengok, orang-orang Melayu kita bergaduh, bertendang, berlawan dengan pihak berkuasa. Nampak seolah-olah mak bapak diaorang tak ajar anak dia ADAB SOPAN SANTUN bangsa Melayu.

Sedarlah yang kuasa pemerintahan Allah tak bagi dekat semua orang! Hanya sesetengah orang sahaja yang Allah ANUGERAHKAN darjat,pangkat dan kedudukan di dunia ini. Tak bolehlah semuanya nak berebut jadi pemerintah. Nak tegakkan Islam kononnya, tapi kelakuan dan sikap tak nampak macam orang Islam. Saya sendiri pernah hadiri ceramah parti politik seperti PAS di kawasan perumahan saya dan saya tahu macam mana dasyatnya "kualiti bahasa" yang digunakan.

Pengetua saya yang merupakan bekas guru agama ada berkata "Tugas sebagai ketua ini sangat berat, tetapi saya redha dilantik sebagai pengetua sekolah ini kerana Allah telah takdirkan saya untuk menjadi pemimpin. Saya sendiri tidak mahu tapi saya TERPAKSA terima kerana rasa tanggungjawab saya kepada Allah"

Malaysia sekarang ini sedang "berperang" dengan tuntutan KEDAULATAN Pulau Batu Putih dengan Singapura, Tuntutan Sabah daripada Filipina, Tuntutan lagu Rasa Sayang daripada Indonesia dan juga isu-isu domestik seperti penguasaan ekonomi orang Melayu yang lemah dan macam-macam isu lagi yang pada dasarnya lebih penting daripada berebutkan kuasa politik duniawi ini!

Lupakah saudara bagaimana generasi sebelum kita yang sanggup mengangkat senapang waima wanita sekalipun semata-mata mahukan negaranya merdeka? Lupakah anda bagaimana generasi sebelum kita sanggup menggadaikan harta benda, wang, barang kemas semata-mata mahu membiayai pemergian Allahyarham Tunku Abdul Rahman untuk mendapatkan kemerdekaan? Tidak terdetikkah perasaan INSAF dengan pengorbanan mereka? Seandainya mereka masih hidup, adakah saudara rasa mereka akan gembira melihat keadaan orang Melayu seperti sekarang ini?

Adakah saudara mahu mereka berkata yang kita ini generasi yang tak tahu bersyukur dan generasi penderhaka bangsa kerana suka bergaduh?

Sebagai sebuah negara DEMOKRASI, memanglah tidak salah kita mengkritik pemerintah, tapi biarlah kritikan itu kritikan yang membina. Memanglah tidak salah "berperang" politik untuk mendapatkan mandat memerintah. Tapi biarlah berpada-pada.

Baru-baru ini dalam Parlimen, saya lihat bagaiman beria-ia Lim Kit Siang dan sekutunya seperti Teresa Kok terjerit terlolong dalam Parlimen nak tuntut "Press Freedom". Saya hairan bagaimana orang Melayu boleh ikut telunjuk mereka untuk lakukan perkara yang sama.... Bila saya lawat websites yang berunsurkan politik, saya ada lihat gambar Teresa Kok dan gangnya jadi tulang belakang sewaktu Demonstrasi Peguam di Palace of Justice dan gambar beliau juga sewaktu di perhimpunan pelancaran 'BERSIH' di markas DAP.

Tak sedarkah wahai orang-orang Melayu yang menentang pemerintah semua bagaimana anda telah diperalat oleh golongan-golongan yang ada agenda tersembunyi ini?

Saya bukanlah anti kaum lain, tapi dalam hal ini saya terpaksa serba sedikit menjadi "bias" demi maruah bangsa saya sendiri.

Saya sendiri sebenarnya tak suka masuk campur hal-hal politik ini. Walaupun umur saya masih muda, tapi saya bukannya bodoh dan saya tahu POLITIK adalah kekuatan utama bangsa Melayu, tanpa politik, bangsa Melayu ibarat ular tanpa bisa dan harimau tanpa gigi. Jadi saya harus sedikit sebanyak menyuarakan pendapat saya sebagai salah seorang daripada generasi yang bakal menjadi penerus tampuk pemerintahan negara Malaysia merdeka ini.

Saya tidak boleh sekadar berdiam diri dan berpeluk tubuh sahaja menyaksikan kepincangan politik orang-orang Melayu lebih-lebih lagi selepas saya melihat ibu saya sendiri menitiskan air matanya dan berulang-ulang kali menyebut Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah melihat orang Melayu terkontang-kanting berlari tak cukup tanah semata-mata mahu berdemonstrasi mahukan keadilan kononnya.......

Semoga Allah melindungi kepimpinan yang ada sekarang dan Semoga bangsaku yang tercinta dan dikasihi ini dapat terus maju hendak-Nya. Allah Maha Besar.....

AZAB ALLAH SANGAT PEDIH UNTUK MEREKA YANG TIDAK TAHU BERSYUKUR..... Nauzubillah!...

--------------------------------------------------------

Daripada: Seorang Melayu biasa yang neutral daripada sebarang pengaruh politik tetapi tahu bersyukur dan hatinya bersih daripada nafsu busuk gilakan kuasa politik duniawi.

Sungai Petani, Kedah Darul Aman.

"Yang baik itu datang daripada Allah, yang buruk itu daripada diri saya sendiri."

Anonymous said...

Saya mahu mengucapkan syabas kepada Anak Bapa sekeluarga.

Juga jutaan terima kasih kerana berjalan "untuk kebenaran dan kebersihan" bagi pihak orang seperti saya yang tidak dapat bersama kerana tinggal jauh.

Kecekalan anak2 tuan amat membanggakan - mereka masa depan negara kita.

Anonymous said...

To syafiq (nov 12, 2.08 am),

Tanpa ego dan perjudis, bangsa meLAYU perlu bebas dari cengkaman UMNO yang tak habis2 memperalatkan org meLAYU utk kepentingan politik mereka.

MeLAYU kuat kerana UMNO?

Zaman kesultanan Melaka, tak ada UMNO. Melaka maju. Kerajaan Melaka jatuh kerana ada pembelot meLAYU.

Di zaman penjajahan Inggeris, Mat Kilau, Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela bangun menentang Inggeris. UMNO tak ada lagi. Pejuang2 ini tumbang kerana ada meLAYU yang menjual bangsanya sendiri.

Kesimpulannya, bangsa meLAYU perlu berubah untuk memperkuatkan jati diri sendiri; tak perlu bergantung kepada UMNO tapi dengan iltizam sendiri.

UMNO will be another history of traitors to the malay race!

Anonymous said...

Kepada Syafiq,
Bacalah komen saya tanpa rasa ego dan prejudis.
Memang benar pemimpin-pemimpin yang lalu telah berjuang untuk merdeka. Tetapi, perjuangan mereka adalah ikhlas dan tanpa sebarang "udang di sebalik batu" kerana mereka cintakan bangsa dan negara. Tengoklah secara betul pemimpin-pemimpin yang wujud hari ini, bagaimana egonya dan buruknya hati mereka terhadap rakyat. Kononnya ingin memajukan negara. Tetapi di sebalik tadbir, kita semua tahu apa yang sebenarnya berlaku. Taktik-taktik kotor politik, rahsuah dan salah guna kuasa adalah sebahagian sahaja daripada apa yang berlaku. Memang benar semua ini berlaku di negara-negara lain kerana kuasa dan duit. Tetapi, di Malaysia, kita masih ada harapan lagi untuk memperbaiki keadaan untuk masa depan, untuk anak-anak kita. Hari ini, kita menetap di sini hanyalah sekadar "menumpang" tanah ini daripada anak-anak kita. Semua ynag berlaku hari ini akan mengubah keadaan masa depan. Dan, perhimpunan Bersih ini membolehkan kita berjalan di atas jalan yang betul dan benar.
Lihatlah keadaan sekeliling kita sekarang, yang miskin semakin miskin, yang kaya semakin kaya. Kes rompak, rogol dan bunuh semakin terjadi-jadi. Negara-negara ASEAN yang lain seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand semakin maju kerana kerajaan mereka faham cara yang terbaik untuk maju ke hadapan. Pemimpin-pemimpin kita masih ghairah dengan projek-projek besar tetapi sebenarnya, sekatan-sekatan dalam pembangunan negara telah pun terjadi. Kemajuan hari ini hanya melibatkan segelintir golongan sahaja dan kita pun faham siapa mereka, tak payah cakap banyak lagi.......

Anonymous said...

mykeyboard says:

Sdr Syafiq, terimakasih di atas komen ikhlas anda. Seperti anda juga, saya tidak terikat kepada mana2 puak politik mahupun sebarang NGO yang 'berjuang' pada hari tersebut. Namun, saya tertarik untuk bersama2 rakyat yang lain untuk turut memperlihatkan kekuatan rakyat bila bersatu; itu sahaja.

Yang saya tuntut; sebagai seorang rakyat, adalah kebenaran, keadilan dan keikhlasan dalam menangani urusan rakyat & negara. Ini bukan soal mahu menjatuhkan bangsa sendiri; untuk apa kita meminta DYMM Sultan Mizan masuk campur sekiranya ketuanan dan mertabat Melayu mahu diketepikan?

Saya bukan seorang rakyat yang tertindas. Hidup saya boleh dikatakan mewah tetapi ini semua dari hasil titik peluh saya sendiri. Saya punya kawan2 rapat dari berbilang bangsa hingga ke luar negara. Itu kebenaran bagi hidup saya! Namun, saya tidak punya AP untuk dijual, tidak punya kuasa untuk mengarah pihak berkuasa atau media menindas sesiapa yang saya tidak suka, tidak boleh berkata apa2 sekiranya wang rakyat & negara digunakan untuk berbelanja ke atas sesuatu projek yang berjuta2 nilainya. Saya juga seorang pemimpin kepada keluarga serta beberapa orang pekerja, yang saya terima sebagai rezeki dari Allah swt. Itupun setelah bertahun2 memerah keringat dan bukan dipilih oleh orang2 yang mahukan balik pampasan dari saya.

Banyak penyelewengan yang sedang berlaku di negara kita yang akan membabitkan rakyat kita pada satu hari nanti dan ini yang perlu ditangani dari sekarang, sebelum ianya lebih melarat!

Saya bersetuju; pejuang Melayu terdahulu berjuang untuk membebaskan negara dan rakyat namun pemimpin yang ada sekarang nampaknya hanya berjuang untuk kesenangan masa hadapan mereka dan kaum kerabat sendiri. Saya punya 6 orang anak; yang dapat saya sediakan untuk masa hadapan mereka cuma insuran kemalangan dan pelajaran; bukannya rumah banglo dan kereta mewah yang tersedia menanti! Andainya satu hari nanti, jatuhnya nilai kekukuhan kewangan saya disebabkan oleh berbagai perbelanjaan yang tidak berasas, harga barangan harian yang semakin melambung dan segala keuntungan tak sepatutnya yang diraih oleh beberapa pihak tertentu yang tidak memikirkan hal-ehwal rakyat; siapa yang akan menangis pada waktu itu?

Keadilan yang saya tuntut adalah dalam bentuk perkongsian oleh semua; dari pemimpin hingga ke rakyat. Kalau jambatan bernilai RM 100 juta boleh dibina untuk kemudahan kita, takkan projek perumahan RM 10 juta tak boleh dibina untuk rakyat yang lebih memerlukan? Sekiranya saya terpaksa membayar denda RM 5,000 kerana mebuat sedikit extension pada bahagian dapur rumah saya, kenapa orang lain didenda RM 2,000 sahaja untuk membina istana berbelas bilik di atas tanah yang tidak didaftarkan, contohnya?

Memang bukan senang nak jadi PM, tetapi tak susah untuk menjadi PM yang lebih prihatin dan sentiasa sedar dengan apa yang berlaku di sekelilingnya! Itu keikhlasan bagi saya; bila dipertanggungjawabkan oleh rakyat (semestinya dengan kurnia dan izin dari Allah swt!) kita perlu jujur dengan tanggungjawab tersebut. Sekiranya rakyat punya rasa tidak puas hati; dengar dan cuba diikhtiarkan penyelesaiannya. Bukan dengar dari satu pihak yang cuba menguntungkan diri sendiri sambil mencari jalan menyelesaikan masalah rakyat dengan cara termudah!

Pastinya, hasil dari sesuatu perjuangan itu pasti menguntungkan beberapa pihak tertentu. Pastinya juga, ada pihak yang punya agenda tersendiri dalam menggalakkan hal tertentu. Kita, sebagai rakyat biasa, cuma boleh berharap sebarang perbuatan yang tidak elok itu terjadi kepada kita; dan sesiapa yang telah dipilih untuk menerajui tidak pula mensia-siakan hasrat kita.

Anonymous said...

saudara syafiq.pemimpin yg ada sekarang tidak menjalankan amanah.mereka memimpin seperti negara ini kepunyaan mereka sendiri atau dinasti keturunan mereka.rakyat malaysia terutamanya melayu kebanyakannya masih tidak mempunyai rumah sebab tidak mampu tidak seperti pemimpin kita yang banyak rumah hingga ke luar negara.tapi kita masih ada tanahair tempat tumpah darah kita ini.pemimpin yang ada sekarang bukan semua tapi kebanyakannya tidak boleh dibiarkan kerana kalau penyelewengan ini berlarutan, negara akan tergadai dan melayu akan hilang di dunia.semua keluarga saya masih menyokong parti pemerintah tapi pilihanraya kali ini kami tidak akan mengundi sbb masih tidak sanggup lagi undi kami jatuh pada pembangkang atas sbb yg saudara dah tulis dgn panjang lebar tu.tapi kami juga tak mahu mengundi PEMBELOT AGAMA, BANGSA DAN NEGARA.Assalamualaikum.

Anonymous said...

Nak tunggu UMNO buat perubahan? Tunggu ambang kiamat barulah UMNO leaders sedar.

Kita perlu berubah atau tidak?
Kalau nakkan perubahan , ubah siatem pentadbiran UMNO yang rasuah dan menguasai dan merajai ACA dan Sistem Kehakiman.

Nak kan demokrasi yang adil, jangan mencapuri dan menodai SPR.

Pemimpin UMNO mengusai semua institusi ini untuk mengekalkan kuasa. Tapi ketamakan mereka tidak mungkin dapat diubah dengan menunggu dan berteori plus beretorik. Paklah kata, makan babi itu haram, makan rasuah pun haram so, tak jauh beza makan babi dengan makan rasuah.. kalau pak lah tak mampu bendung rasuah samalah dengan beliau menggalakan orang UMNO makan babi mengikut logik yang beliau sendiri telah katakan.

UMNO tak akan berubah di bawah Pak Lah.. Fikirlah balasan dan natijahnya. Berundurlah dengan segera agar sejarah yang lebih buruk tidak terukir dalam sejarah Malaysia.

ALHS

Anonymous said...

saudara syafiq,
komen saya juga tanpa ego dan prejudis...
lihatlah dunia
lihatlah dunia
lihatlah dunia
100j untuk melancong ke angkasa dan diperbodohkan oleh negara Australia!!!rakyat masih makan siput babi dan bla bla bla, tahun ini saja gawat dengan harga gula, ayam dan terkini tepung, tahun 2008 minyak naik 0.70 sen, maka semua barangan PASTI dan WAJIB NAIK. ini hukum ekonomi. oh, syafiq lihatlah dunia dengan akal yang waras... tapa ego dan prejudis!

Anonymous said...

saudara syafiq, saya tak nak komen banyak, tapi saya ada satu soalan. awak dah bangun dari tidur awak? sejak bila, hanya umno mampu menjamin nasib orang orang melayu? apakah terlalu lemah orang melayu sehingga terpaksa bergantung harap dengan umno sehingga selama-lamanya? umno yang terus dengan retorik kosongnya, visi yang indah tapi langsung tidak membantu menyelesaikan rakyat bawahan?
fikirlah, apakah mungkin ramai orang melayu akan keluar menyokong 10 Nov tempoh hari (yang majoritinya rakyat biasa, pakai kereta proton, tidak ada drebar, tersepit di kala harga barang naik, harga tol naik) sekiranya umno boleh membantu mereka? umno hanya membantu segelintir masyarakat elit melayu yang mempergunakan politik untuk kesenangan diri. bangunlah dari tidur yang lena, hentikan bermimpi syafiq.

sedih tapi benar, umno terus berkuasa dengan berjaya menyematkan rasa takut dan khuatir di kalangan orang-orang melayu, dan orang orang bukan melayu sekiranya mereka tidak terus diberi mandat, orang melayu akan hilang segala-galanya, dan orang orang bukan melayu akan tidak selamat di negara ini. inilah yang dimainkan selama ini dan saudara syafiq adalah contoh yang terbaik.

Anonymous said...

Yes Anak Bapa. : We will meet again in next battle. Willing to fight along with all my friends anywhere and anywhere for a better Malaysia.
Take care...
ALHS : Betul, UMNO tak akan berubah di bawah Pak Lah.
Malaysia tak akan berubah selagi UMNO macam ini berkuasa. Hipokrit dan korup. Meluat....
If we allow this kind of government to continue, we are guilty to our children for failing to provide them a better country to live.
Today newspaper, Pak Lah said, Don't drag King into politics. Pak Lah has committed Lèse majesté by saying this. Tuanku is part of our country politics. Tuanku is part of the Parliment, Tuanku is part of the Constitution, Tuanku is part of the Judiciary. Tuanku ialah tempat rakyat mengadu.
Tuanku ialah payung negara. TUANKU IS NOT PUPPET. UMNO tries to make TUANKU as their puppet by forcing His Majesty to accept their choice of Chief Justice. UMNO ialah pengkianat Raja.
So, syafiq : Jatuhnya UMNO, Maka jatuhlah bangsa Melayu, jatuhlah kedaulatan orang Melayu, jatuhlah ketuanan Melayu, jatuhlah kedaulatan raja-raja Melayu, jatuhlah ekonomi orang Melayu, jatuhlah segala-galanya. Fikir betul-betul sebelum tulis. Jangan tulis membabi buta. UMNO sekarang bukan UMNO 1946. UMNO sekarang boleh blah.

Anonymous said...

Kepada Saudara Syafiq yang dikasihi,

Terima kasih kerana sudi memberi pandangan di dalam blog saya. Saya baca dan faham apa yang saudara cuba terangkan.

Saya yakin semua pembaca blog saya sayangkan bangsa sendiri dan negara Malaysia. Tetapi tentu kita sayang agama kita lebih dari segala-galanya, malah lebih dari nyawa kita kerana itu adalah ajaran Islam sebenar. Orang Melayu sangat rapat dengan Islam sehingga ke tahap tidak boleh dipisahkan. Maknanya ada Melayu ada Islam dan ada Islam ada Melayu. Malah perlembagaan negara kita pun mempunyai peruntukkan berkaitan Melayu dan Islam dan ia adalah "inseparable".

Tetapi perkembangan mutakhir ini menyaksikan bagaimana Melayu telah jauh meninggalkan Islam sampai ke satu tahap ada yang murtad. Ini membawa implikasi yang besar yakni memperkasakan Melayu belum tentu Islam menjadi perkasa. Lihat saja fenomena yang berlaku di sekeliling kita. Saya bukan bercakap mengikut emosi tetapi hakikatnya masyarakat Melayu sudah menyimpang jauh dari Islam. Akibatnya mereka telah rosak; menjadi perasuah, penagih dadah, hubungan bebas yang melampau, jenayah dan sebagainya. Tentu saudara akan berkata apa kena mengena dengan UMNO dan kerajaan.

Jawapannya mudah. UMNO telah memerintah negara ini sejak merdeka yakni dah 50 tahun. Kita tidak menafikan pembangunan material yang mereka dah buat. Tetapi sememangnya itu tugas mana-mana kerajaan yang dipilih rakyat. Di Singapura, Thailand, Britain, Amerika dan lain-lain lagi UMNO dan Barisan Nasional tidak memerintah, tetapi pembangunan tetap berjalan malah jauh lebih hebat. Sesiapa pun menjadi kerajaan ia kena membangunkan negara dan kebetulan UMNO/BN yang memerintah maka merekalah perlu membangunkan negara. Jadi tak perlu meletak papantanda "Satu Lagi Projek Kerajaan BN" kerana apabila mereka menjadi kerajaan, mereka adalah kerajaan untuk seluruh rakyat.

Tetapi malangnya dalam 50 pemerintahan, UMNO hanya memberi tumpuan kepada pembangunan material dengan mengabaikan pembangunan insaniyyah (Islam). Saya menyebut "abai" bukan "tiada" bermakna ia disebut secara sambil lewa dan dengan itu telah melahirkan manusia yang cerdik dan berkerjaya tetapi engkar kepada agama. Inilah hasil yang kita tuai pada hari ini.

Saya yakin jika kita berpandukan Islam sebenar, Melayu akan lebih kuat dan bangsa-bangsa lain pun selamat kerana Islam tidak pernah menindas sesiapa. Kita yang tidak pernah mahu menghayati Islam. Kita seronok dengan Islam yang kita pilih, dan yang mana tidak cocok dengan kita, kita buang. Rasuah, arak, judi, penyalahgunaan kuasa, menindas, penjara tanpa dakwaan, dan lain-lain kebobrokan lagi adalah salah dan kita orang Islam sepatutnya yang pertama menolak dan kerjaan perlu menghukum. Tetapi apa yang berlaku hukuman berpilih-pilih dan dibuat sambil lewa. Malah lebih teruk peringkat atasan yang terlibat sama melakukan perkara mungkar.

Saya lama di dalam alam perniagaan dan korporat, malah pernah menerajui syarikat yang disenaraikan di bursa saham KL. Saya sangat arif tentang perjalanan politik dan bisnes negara kita. Dan percayalah ia langsung tidak menepati Islam.

Saya tidak menafikan sumbangan pemimpin UMNO dahulu dan juga pejuang-pejuang lain yang tidak di dalam UMNO. (Mereka-mereka ini pun cuba dipadamkan daripada lipatan sejarah. Tengok sambutan 50 tahun kemerdekaan negara baru-baru ini, mana ada diwar-warkan sumbangan daripada Tok Kenali, Tok Janggut, Mat Kilau, Datuk Bahaman, Datuk Lela, Burhanuddin Al-Helmi dari PAS, Ahmad Boestaman dan lain-lain lagi tokoh Melayu, seolah-olah kemerdekaan hanya jasa pemimpin UMNO sahaja). Tetapi adalah tidak wajar kerana jasa pemimpin UMNO dahulu memberi hak kepada pemimpin UMNO hari ini untuk berbuat apa saja. Kalau saudara Syafiq benar-benar menghayati Islam tentu saudara akan bersetuju dengan saya bahawa benar salah, baik buruk sesuatu perkara adalah berasaskan kepada kebenaran Islam dan bukan kerana ia datang daripada pemimpin Melayu semata. Jangan kata pemimpin Melayu, sedangkan para sahabat Rasulullah saw dahulu pun jika silap mereka akan diperbetulkan oleh rakyat. Jangan kerana ia pemimpin Melayu maka kita memberikan ketaatan mutlak, tidak mempersoalkan lagi segala tindak tanduk mereka. Ini salah di sisi agama dan perlu dihindarkan.

Jangan kerana seorang dua orang PAS bercakap kasar kita terus menolak apa yang mereka katakan. Jika benar mereka silap, maka silaplah dan ukuran ini perlu kita gunakan ke atas semua orang dan buka dipilih-pilih. Maknanya ruang untuk berdialog tu kena ada dan apabila kebenaran terserlah maka semua pihak kena ikut. Ini yang Islam ajar dan kita akan ok kalau diikuti. Tetapi kita tak ikut ajaran Islam, dan akibatnya kita berpecah. Perpecahan bukan kerana Melayu benci Melayu tetapi kerana ada Melayu yang nak Islam cara dia dan ada Melayu yang nak Islam sebenar. Ruang muzakarah tak mahu digunakan kerana mereka tahu mereka salah dan tidak mahu diperbetulkan.

Tok sah bimbang pasal Melayu akan hilang. Percayalah orang PAS lebih ramai Melayu (dari segi peratus) berbanding UMNO kerana UMNO menerima Siam, Kadazan dan sebagainya sebagai ahli. Jika PAS dan PKR memerintah pun kuasa orang Melayu tidak tergugat cuma berpindah tangan. Nak gugat macamana kerana populasi Melayu jauh lebih ramai drp orang bukan Melayu dan Melayu beranak ramai. Tetapi UMNO guna Melayu sebagai senjata untuk mendapat sokongan politik saja. Jika benar dia perjuang Melayu kenapa dia sibuk ganggu gugat kerajaan PAS di Kelantan yang terdiri dari orang Melayu dan sanggup menipu untuk mengalahkan kerajaan PAS di Terengganu? PAS menentang UMNO kerana UMNO tidak mahu kembali kepada Islam sebenar dan memerintah dengan penuh ketidakadilan dan rasuah. Tok guru Nik Aziz dah cakap berkali-kali "kalau UMNO kembali kepada Islam kita bubar saja PAS". Dan saya pun tak berminat politik kerana lebih suka berniaga. Tetapi ini tidak bermakna saya akan duduk saja melihat penyelewengan dan kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin atas nama Melayu.

Dan lagi seperkara, kalau benar pemerintahan UMNO makin lama makin baik kenapa hak dan kepentingan orang Melayu seperti tanah, bahasa, agama, biasiswa dan lain-lain semakin terhakis?

Dan cuba lihat fakta bagaimana Tunku Rahman dan Tun Hussein tidak pernah menyertai semula UMNO selepas ia diharamkan dahulu. Kenapa?

Dan juga apa komen Tun Mahathir sebelum ia dibedah baru-baru ini "UMNO tidak boleh diubah lagi, hanya rakyat (bukan ahli) yang boleh membetulkannya". Dan bagaimana perwakilan Kubang PAsu dirasuah supaya Tun kalah dalam pemilihan untuk menjadi perwakilan di dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun lepas. Kalau bekas PM mereka buat begini apa lagi yang lain? Bagaimana pula UMNO melayan bekas Timbalan Presiden mereka Dato Seri Anwar? Jijik dan memalukan!

Saudara Syafiq, saya boleh bercakap berjam-jam kenapa UMNO perlu ditolak dan ia bukanlah kerana saya bemci Melayu. Kerana kecintaan saya kepada bangsa saya dan negara maka UMNO kena ditolak. Yakinlah orang Melayu dan bangsa lain di Malaysia akan jauh lebih baik dengan kerajaan yang baru kelak. Perhimpunan 100 ribu Sabtu lepas adalah permulaan kepada zaman yang lebih gemilang untuk kita semua......

Anonymous said...

Salute Anak Bapa. Clap-clap....