Persoalannya, adakah wajar kita menyamakan demokrasi dengan pilihanraya semata? Adakah benar apabila pilihanraya diadakan saban 5 tahun maka negara Malaysia adalah negara demokratik?
Perkataan demokrasi adalah daripada perkataan Greek "demokratia" yang bermaksud "pemerintahan oleh rakyat" (rule by the people). Pelbagai tafsiran telah diketengahkan berhubung bentuk demokrasi sebenar sesebuah negara tetapi sehingga hari ini masih belum ada persetujuan mutlak bagaimana rupabentuk sebenar negara demokrasi contoh berkenaan. Namun begitu, para ilmuan bersetuju beberapa garispanduan yang boleh digunapakai dalam mengukur tahap demokrasi sesuatu negara. Antara kriteria penting yang diperhatikan ialah tahap kebebasan bersuara, tahap kebebasan media, keluhuran perlembagaan, hak asasi manusia, dan tahap kebebasan sivil.
Pilihanraya adalah tentang membuat pilihan, tentang bagaimana rakyat memilih pemimpin untuk memerintah negara. Tanggungjawab kerajaan ketika pilihanraya di dalam negara yang demokratik bukan saja terhad kepada menyediakan kertas undi dan tempat membuang undi tetapi yang lebih penting memastikan pengundi mempunyai maklumat yang cukup sebelum membuat pilihan. Pengundi perlu peka tanggungjawab mereka sebagai pengundi, implikasi daripada pemilihan mereka dan kesan kepada negara hasil daripada tindakan penggundian mereka. Walaupun rakyat sesebuah negara itu tidak mempunyai tahap keilmuan dan kefahaman yang sama, kerajaan perlu sedaya upaya mencari jalan supaya maklumat ini sampai dan difahami oleh pengundi sebelum mereka membuang undi. Dan tidak kurang pentingnya, pengundi perlu diberi jaminan yang mereka boleh mengundi tanpa ada rasa takut atau gentar untuk memileh sesiapa yang mereka sukai. Segala peraturan yang boleh dianggap menimbulkan ketakutan kepada pengundi untuk bersikap adil perlulah dihapuskan. Apa yang berlaku di Malaysia hari ini adalah sebaliknya. Media yang dikuasai oleh parti pemerintah samada melalui UMNO, MCA, MIC atau proksi mereka telah menggunakan seluas-luasnya ruang komunikasi yang ada untuk samada memburuk-burukkan calun dan dasar parti pembangkang atau mengheboh-hebohkan kehebatan parti pemerintah tanpa memberi ruang kepada parti pembangkang untuk membela diri atau berkempen. Padang "permainan" media yang tidak rata ini akan menyekat pengundi daripada membuang undi berdasarkan maklumat yang tepat dan kebiasaannya akan menguntungkan parti pemerintah.
Kebebasan bersuara amat penting kerana ia akan membuahkan perbincangan dan penghujahan yang sihat dan rasional di kalangan rakyat. Tidak semua orang berkesempatan atau berkelayakan untuk memahami isu berkaitan kepentingan negara. Justeru itu mereka-mereka yang berkemampuan perlu diberi ruang mengeluarkan pendapat mereka walaupun pendapat ini bercanggah dengan kepentingan pemimpin kerajaan. Dalam masa yang sama, pihak kerajaan dan orang ramai juga berhak membalas atau mengkritik sebarang pandangan yang tidak serasi dengan mereka. Budaya dialog sebegini amat penting bagi menjamin kesuburan demokrasi. Tetapi amalan di negara ini amat jauh berbeda. Sebarang percanggahan pendapat rakyat dengan pemerintah dianggap tidak wajar dan biasanya akan berakhir dengan kecaman dan hukuman. Ia lebih ketara lagi jika insan berkenaan adalah kakitangan kerajaan. Bukan menjadi rahsia lagi kakitangan kerajaan ditukar tempat bekerja, dibekukan kenaikan pangkat dan diberi amaran keras oleh majikan jika mereka tidak tahu "tutup mulut". Derita rakyat ditambah lagi dengan undang-undang keras untuk menghalang mereka daripada "bercakap" termasuk antaranya Akta Polis, Akta Rahsia Resmi (OSA), Akta Mesin Cetak, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Usaha memburuk-burukkan sesiapa saja yang bercanggahan dengan pandangan parti pemerintah merupakan agenda berterusan UMNO dan BN untuk sekian lama dan dijangka terus bertambah hebat di masa-masa akan datang.
Undang-undang dan peraturan negara terutama yang berkaitan dengan hak asasi dan kebebasan sivil masyarakat sebuah negara demokratik perlu diberi perhatian serius dan sentiasa dikaji sepanjang masa. Saya tertarik dengan ucapan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas beberapa malam yang lepas, di mana beliau berkata undang-undang adalah sesuatu yang hidup dan perlu dikaji dari masa ke semasa supaya ia terus relevan. Undang-undang 20 tahun lepas jika di bandingkan dengan undang-undang hari ini adalah berbeda dan proses merubahnya walaupun berdikit-dikit tetapi tetap berlaku. Justeru itu dalam aspek undang-undang dan perlembagaan Malaysia, maka kajian menyeluruh perlu dibuat supaya keadilan rakyat dapat ditegakkan. Malah undang-undang dan peraturan berkaitan pilihanraya pun perlu banyak perubahan. Sebagai contoh, antaranya, sebagaimana yang dituntut segera oleh BERSIH seperti aspek pemutihan daftar pemileh, peruntukkan undi pos, celup jari dengan dakwat kekal dan akses media yang adil kepada semua yang bertanding. Dan banyak lagi peraturan yang perlu diperkenalkan seperti kaedah pendaftaran pemileh secara otomatik, pemantauan bajet calun di dalam pilihanraya, pembentukkan kerajaan sementara apabila parlimen dibubarkan, penggunaan harta benda kerajaan ketika berkempen, dan juga perubahan struktur juga perlu dipertimbangkan.
Sebagai contoh, dengan sistem "first-pass-the post" yang kita warisi daripada British ternyata begitu banyak kelemahannya dan telah dimanipulasi oleh UMNO melalui Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sejak sekian lama. Jika kita berpegang kepada prinsip satu rakyat, satu undi dan satu suara, ternyata kita telah gagal. Di kawasan bandar umpamanya, jumlah pengundi bagi satu-satu parlimen mungkin 3 kali ganda daripada jumlah pengundi kawasan parlimen di luar bandar tetapi kerusi yang diwakili tetap 1 kerusi. Dan apabila dijumlahkan keseluruhan undi popular dan dibandingkan dengan jumlah kerusi, kita akan dapati jurang perbedaan yang amat ketara. Perhatikan angka dan analisa ringkas keputusan undi pilihanraya 2004 di bawah untuk melihat dengan lebih jelas:
Parti % undi parlimen jumlah kerusi
Barisan Nasional 63.9% 198 (90.4%)
(MCA) (15.5%) 31 (14.2%)
Pembangkang 36.1% 21 (9.6%)
(PAS) (15.2%) 7 (3.2%)
Berdasarkan pemerhatian di atas, amat wajar sekali rakyat Malaysia terus bangun mendesak kerajaan membuat perubahan bukan saja kepada sistem pilihanraya negara tetapi juga kepada undang-undang yang mengugat kedemokratikkan Malaysia. Himpunan 100 ribu rakyat adalah permulaan yang sangat baik tetapi tidak memadai jika terhenti di situ saja. Pelbagai kegiatan dan aktiviti perlu dianjurkan untuk memberi tekanan kepada kerajaan yang ada. Berdasarkan komen pemimpin yang ada, saya yakin mereka tidak akan melakukan sebarang perubahan tanpa disertakan tekanan politik oleh rakyat. Dan itulah sebenarnya senjata yang paling ampuh yang ada pada kita. Demi kesejahteraan kita semua, kita perlu bersatu meledakkan lagi gelombang kuning ke tahap yang lebih besar.
Anak Bapa: Ketika menghadiri kursus Total Quality Management (TQM) beberapa tahun lepas, saya sentiasa diperingatkan dengan satu aspek penting mengenai Quality ialah "continuous improvement" atau pun "perubahan berterusan". Dalam apa jua bidang kehidupan, kita diajar supaya membuat perubahan ke arah yang lebih baik. Jadi apabila pimpinan UMNO diminta rakyat membuat perubahan yang lebih baik di dalam sistem pilihanraya, mereka sengaja buat pekak dan badak. Ini yang buat saya naik bingung. Dah banyak duit kerajaan habis kerana memberi kursus TQM kepada mereka, masih tak faham-faham. Akibat tidak mahukan perubahan, pemimpin UMNO makin hari makin jauh daripada rakyat. Lambat laun UMNO akan menjadi dinosaur, dan melayakkan mereka untuk dibakulsampahkan rakyat.
2 comments:
eh.. dah 50 tahun merdeka baru pandai kira perbandingan undi dan kerusi.. patutlah kalah manjang...
Sebenarnya kita telah lama bercakap mengenai penipuan UMNO di dalam pebagai perkara termasuk di dalam pilihanraya tetapi rakyat tak mahu dengar. Sekarang kita sedang menerima habuan daripada kedegilan dan kebodohan sendiri selama ini. Tapi walaubagaimanapun masih ada peluang lagi ...... kecuali masuk nak jadi hamba abdi UMNO lagi!!
Post a Comment