Friday, December 31, 2010

Raja-Raja Melayu Perlu Berhati-Hati



Anak Bapa sememangnya seorang anak Melayu, dan akan kekal menjadi Melayu sehingga akhir hayat. Tetapi ini tidak bermakna Anak Bapa akan menggangguk apa saja yang dibuat atas nama Melayu.


Ini disebabkan ada pertimbangan lain yang lebih besar dan lebih aula dalam hidup Anak Bapa. Dengan menjadi seorang Muslim bermakna Anak Bapa terikat kepada kepatuhan mutlak kepada Allah swt dan bukan kepada makhluk lain, melaksanakan segala tuntutan agama dalam segala as

pek kehidupan.


Walaupun diakui terdapat kelemahan kepada undang-undang buatan manusia tetapi terbukti perlembagaan negara dan undang-undang tubuh negeri setakat ini masih mampu untuk menguruskan negara dan rakyat dengan adil dan saksama dengan syarat semua pihak mematuhinya dari segi semangat dan tujuan.

Tetapi malangnya apa yang berlaku di bawah pentadbiran UMNO/BN, terutama di zaman Dr.

Mahathir, Pak Lah dan kini Najib, kita lihat pencabulan dalam segala aspek perundangan secara berterusan oleh pihak eksekutif, legislatif dan kehakiman.


Peristiwa perbicaraan Anwar dalam kes Liwat I dan II, dan pengantungannya sebagai ahli parlimen bersama 3 lagi ahli parlimen pembangkang baru-baru ini, jelas memperlihatkan kerakusan pihak pemerintah dalam memperkosa undang-undang negara demi kepentingan nafsu politik mereka. Dan yang lebih malang lagi aktiviti mereka semakin ghairah dan semakin melampau di ambang kemusnahan UMNO/BN.


UMNO tidak segan silu untuk menggunakan apa saja cara demi kelangsungan hayat politik mereka termasuk mengheret raja-raja Melayu ke kancah permainan politik kotor mereka walaupun selama ini mereka merupakan puak yang telah merosakkan reputasi institusi berkenaan. Insiden memburuk-burukkan raja-raja Melayu ketika usaha mereka dalam menasahkan imuniti raja-raja Melayu dahulu, dan pertabalkan Sultan Kelantan baru oleh pemimpin UMNO ketika PAS baru mengambil alih pemerintahan Kelantan dari BN pada awal 90an dahulu adalah antara beberapa insiden malang yang dipelopori UMNO dalam mencemarkan institusi yang didokong rakyat.


Anak Bapa tidak tahu kenapa raja-raja Melayu mula dilihat bersekongkol dengan UMNO dalam membelakangkan undang-undang. Peristiwa rampasan kuasa di Perak jelas menunjukkan konspirasi pihak istana dan UMNO dalam menidakkan hak rakyat seperti yang terkandung dalam undang-undang tubuh negeri Perak. Beberapa kejadian di Selangor juga mula kelihatan seperti skrip yang sama seperti di Perak. Isu mutakhir pelantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri menunjukkan dengan jelas usaha berterusan UMNO dalam mengheret sama pihak istana dalam membelakangkan undang-undang tubuh negeri. Sedarkah Sultan bahawa peruntukan undang-undang berhubung pelantikan SUK perlu mendapat restu baginda telah dimansuhkan oleh UMNO dahulu?


Anak Bapa masih ingat ucapan Raja Nazrin, Raja Muda Perak, yang mengingatkan raja-raja Melayu bahawa jika mereka ingin kekal relevan maka mereka perlu dilihat adil kepada semua dan meletakkan undang-undang sebagai asas kepada segala tindak tanduk mereka.


Malangnya raja-raja Melayu semakin terbabas dalam tindak tanduk mereka. Malah sesiapa saja yang rapat dengan UMNO akhirnya akan terbabas. UMNO akan menjanjikan langit dan bumi untuk mencapai nafsu syahwat mereka. Adakah janji-janji projek, kemewahan dan kelangsungan bangsa Melayu (walaupun UMNO tak ada kuasa menentukannya) menyebabkan raja-raja Melayu terjebak dalam perangkap UMNO dan bersetuju bersama-sama menidakkan hak rakyat dan undang-undang?


Jika inilah pendekatan yang nak diguna oleh raja-raja Melayu, Anak Bapa ingin nasihatkan mereka supaya fikir balik habis-habis. Sokongan UMNO adalah sokongan membawa rebah. Jangan korbankan maruah dan kedaulatan institusi raja-raja Melayu dengan tindakan yang dilihat bertujuan menyambung hayat UMNO. Dan yang lebih utama jangan memandang rendah kepada kuasa rakyat dan apa yang mereka mampu lakukan.


Anak Bapa yakin raja-raja Melayu mampu berfikir secara objektif dan adil. Jika ada yang agak terbabas yang lainnya akan membantu membetulkannya. Tindakan kolektif raja-raja Melayu dalam memulihkan keyakinan rakyat kepada konsep raja berpelembagaan amatlah dialu-alukan sebelum ia terlambat. Raja juga adalah manusia dan mereka terdedah kepada kesilapan. Rakyat perlu menegur dan mereka perlu mendengar.


Anak Bapa: Berani kerana benar …….

No comments: