Thursday, December 9, 2010

Sebut Saja Ketuanan UMNO


Sabanhari UMNO dan kuncu-kuncunya melalak tentang Ketuanan Melayu, betapa Melayu adalah tuan di negara ini dan seluruh rakyat wajib mematuhinya jika ingin terus kekal menjadi warga di sini.

Dikaitkan pula Ketuanan Melayu ini dengan ketaatan kepada raja-raja Melayu, betapa siapa yang menentang Ketuanan Melayu adalah penderhaka kepada Raja dan Sultan.

Apa yang menarik ialah perkataan “Ketuanan Melayu” ini tidak kedengaran sebelum ini. Apa yang ada ialah “hak istimewa kaum Bumiputera” yang diakui semua termaktub dan terpelihara di dalam perlembagaan negara. Konsep Ketuanan Melayu ini hanya timbul apabila UMNO/BN kalah teruk dalam PRU ke-12 pada Mac 2008 dahulu.

Maknanya isu Ketuanan Melayu ini timbul apabila UMNO tergugat dengan kekalahan teruk mereka, apabila kuasa mula terhakis dari tangan mereka, dan apabila rakyat mula celik dan nampak kepalsuan UMNO dan BN lantas beramai-ramai mula menolak mereka daripada persada kuasa negara.

Hebat sangat ke bangsa Melayu ini (baca UMNO) sehingga “Ketuanan” adalah hak mutlak mereka sampai bila-bila. Jangan salah faham kerana Anak Bapa pun berbangsa Melayu. Lepas ini puak-puak UMNO akan mengelar Anak Bapa sebagai penderhaka, kacang lupakan kulit, dan pelbagai istilah hina yang lain.

Jika kita renung sejarah negara kita, kita akan dapati sejak sebelum merdeka lagi negara sentiasa dikuasai oleh orang-orang Melayu melalui UMNO. Tapi lihatlah natijah daripada Ketuanan Melayu ala-UMNO.

Ketuanan Melayu ala-UMNO berjaya menjadikan orang Melayu kuat rasuah, rakus kepada kuasa dan sanggup berbuat apa saja demi kuasa termasuk menyumbat sesiapa saja ke dalam penjara atau dibunuh, berlaku zalim, menolak agama dalam kehidupan, dan pelbagai macam kejijikan dan kebobrokan lagi.

Sejarah telah membuktikan bagaimana Ketuanan Melayu ala-UMNO berjaya melahirkan pemimpin yang dok fikir nak penuhi tembolok mereka dengan apa cara sekali pun, menindas orang yang tidak sealiran dengan mereka termasuk dari kalangan orang Melayu sendiri dengan menyumbat ke dalam penjara Kemunting di bawah Akta ISA , penjara Sungai Buloh dengan pendakwaan yang menjadi tawaan dunia, menidakkan peruntukkan yang sewajarnya disalurkan ke Kelantan, yang majoritinya adalah orang-orang Melayu, buat sekian lama semata-mata kerana ia diperintah oleh pembangkang.

Puak-puak inilah juga yang menarik balik biasiswa untuk orang-orang Melayu dan diganti dengan pinjaman, menghakis kewibawaan bahasa Melayu dengan buat “reverse gear” menggunapakai semula Bahasa Inggeris untuk pelajaran Sains dan Matematik, menghina raja-raja Melayu dengan tindakan merubah perlembagaan negara, dan antara yang paling memalukan ialah menghina agama Islam dengan pelbagai ucapan dan tindak-tanduk pimpinan mereka.

Apa yang paling menakutkan ialah mereka telah berjaya hari ini, melahirkan satu keturunan orang-orang Melayu yang rakus pada kuasa dan harta, buruk akhlak, dan memiliki minda yang rasis dan bodoh, yang boleh diperalatkan untuk menyambung hayat UMNO dan BN. Lihat saja tindakan dan ucapan pemimpin UMNO dan balaci mereka daripada PERKASA dan NGO lain yang sewaktu dengannya. Anda sendiri buat kesimpulan.

Masanya sudah tiba kita bawa perubahan baru untuk negara tercinta. Anak Bapa yakin ramai orang Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan di luar sana yang masih waras, berakhlak dan berketrampilan untuk mengambil alih kepimpinan negara daripada UMNO/BN yang sudah reput. Pakatan Rakyat merupakan wadah terbaik ketika ini bagi mengembeling seluruh rakyat yang sayangkan negara agar memacu perubahan kearah Malaysia yang gemilang dan bermaruah. Majoriti penyokong PR adalah orang-orang Melayu. Adakah kami ini tidak cukup Melayu berbanding puak-puak UMNO?

Kita tidak ada pilihan lain buat masa ini. UMNO dan BN berterusan membuktikan jangka hayat mereka sudah sampai ke penghujung. Mereka umpama bangkai bernyawa yang “busuk sampai ke usus” dan tidak boleh dipulihkan lagi. Persoalannya adakah kita akan berdiam diri dan melihat negara kita tercampak ke dalam kebinasaan di tangan puak-puak ini?

Anak Bapa: Tak ada tempat dalam Islam Ketuanan berasaskan kaum atau bangsa …….

1 comment:

IbnAbdHalim said...

Ketuan UMNO telahpun dipraktikkan dalam BN. Semua parti komponen akur kepada UMNO sebagai "big brother". Kalau adapun penentangan, suara2 tersebut dimatikan dengan tikaman bertubi-tubi oleh hulubalang2 UMNO.

Ketuanan tersebut setelah berjaya di kalangan BN maka UMNO berasa ia boleh diketengahkan kepada seluruh rakyat. Maka itulah sekarang timbul pula Perkasa bagi meneruskan perjuangan UMNO. Bertambah parah lagi pihak istana juga turut mencanangkan ketuanan tersebut.

Ketuan tersebut boleh disanggah dengan ketuanan rakyat kalau rakyat Malaysia bersatu. Kalau nak diharapkan penyokong UMNO, sampai kiamatpun isu tersebut akan dijadikan modal politik UMNO.