Monday, October 8, 2007

UMNO Tiada Pilihan


Mingguan Malaysia keluaran 7 Oktober 2007 telah menyiarkan satu wawancara menarik dengan Datuk Shaik Daud Md. Ismail, bekas Hakim Mahkamah Rayuan. Cuba perhatikan betul-betul jawapan Datuk Shaik Daud (SD) kepada pertanyaan Mingguan Malaysia (MM).

MM: Komen Datuk berhubung klip video VK Lingam…..

SD: Terkejut, tak sangka boleh terjadi….. Bagaimana dengan keputusan mahkamah yang lepas-lepas? Kesannya sangat besar dan akan mencemar keputusan mahkamah sejak 2002. Sekarang pun dah ada orang mula mempertikaikannya…..

MM: Bagaimana dengan penubuhan panel khas oleh kerajaan…..

SD: Banyak orang meraguinya. Perlu kepada Suruhanjaya Diraja, baru ada kuasa…..

MM: Jadi panel ini tidak ada makna?

SD: Kalau nak tentukan kesahihan video, lebih baik suruh polis atau BPR…..

MM: Adakah isu ini akan menjadi rumit?

SD: Memang rumit. Kebenaran akan keluar dengan Suruhanjaya Diraja. Contoh yang baik, kes mata lebam Anwar Ibrahim. Pegawai polis yang nampak perbuatan Ketua Polis pun tidak berani bersuara. Hanya dengan Suruhanjaya Diraja baru mereka berani tampil memberi keterangan…..

MM: Persepsi yang wujud sekarang?

SD: Sudah tercemar. Pergi bertarawih pun orang menyindir, “Awak dilantik oleh siapa?”

MM: Bagaimana menyelesaikan isu perlantikan hakim-hakim?

SD: Peliknya sistem kita, majistret dilantik oleh suruhanjaya sedangkan hakim-hakim dilantik oleh Ketua Hakim Negara. Ini bagi saya, tidak betul. Walaupun kaedah ini kita warisi daripada penjajah Inggeris, kita perlu ubah. Biar perlantikan hakim juga dibuat oleh suruhanjaya…..

MM: Apa yang berlaku ini mengecewakan Datuk?

SD: Ya. Kebanyakan bekas hakim kecewa dengan apa yang berlaku. Ia benar-benar memusnahkan imej badan kehakiman dan sukar nak memperbaikinya…..

MM: Bagaimana dengan perarakan Majlis Peguam?

SD: Mereka dah lama berusaha untuk memperbaiki badan kehakiman. Bukan saja isu video Lingam tetapi perkara-perkara yang lain tentang kehakiman, supaya lebih telus…..

MM: Dengan timbulnya isu Timbalan Pendakwa Raya malas, badan kehakiman tercemar, tentulah membimbangkan kita…..

SD: Ini sangat merbahaya. Jika masyarakat berpandangan bahawa mahkamah boleh dibeli, orang takut nak melabur dan akan memberi kesan besar ke atas negara…..

MM: Apa yang kerajaan perlu buat?

SD: PM mesti buat sesuatu dan cepat sebelum ia melarat. Jika dibiarkan kerajaan akan menerima kesan buruknya…..

Anak Bapa: Nampaknya bekas-bekas hakim pun senada dengan Majlis Peguam, parti-parti pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan di dalam menyatakan kebimbangan berhubung krisis badan kehakiman negara. Mereka juga bersependapat supaya Suruhanjaya Diraja dibentuk segera, sebagai langkah pertama, untuk membetulkan keadaan. Dan mutakhir ini, parti Gerakan, salah satu parti komponen di dalam BN, juga telah menggesa kerajaan supaya “menimbangkan dengan serius” penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat skandal Lingamgate. Cuma yang masih berdegil ialah UMNO dan kuncu-kuncu mereka yang berkepentingan. Sebabnya mudah saja. Bukan kerana Suruhanjaya Diraja ini membuang masa atau tak relevan, tetapi mereka sedar bahawa suruhanjaya ini akan mendedahkan pekung dan kudis mereka yang busuk lagi meloyakan. Ia akan mendedahkan bagaimana UMNO sanggup melakukan apa saja demi memuaskan nafsu serakah kepentingan kuasa dan dominasi mereka. Semua tahu bahawa UMNO tiada pilihan di dalam isu ini melainkan segera menubuhkan Suruhanjaya Diraja. "The clock is ticking while the pressure is mounting". Jadi Pak Lah, apa dok tunggu lagi, takkan nak terus tidur?

No comments: